KUALA LUMPUR 29 Jun - Datuk Seri Najib Tun Razak
menegaskan keputusan beliau masih berteka-teki mengenai tarikh Pilihan
Raya Umum Ke-13 tiada kaitan dengan persoalan tidak yakin Barisan
Nasional (BN) akan menang sebaliknya ia demi menghormati mandat selama
lima tahun yang diberi rakyat kepada Kerajaan Pusat.
Perdana Menteri berkata, dakwaan pembangkang kononnya beliau tidak
yakin adalah tuduhan tidak berasas kerana ketika ini tahap sokongan
rakyat terhadap BN semakin meningkat dan ia terbukti melalui sambutan
diberi orang ramai dalam setiap program mahu pun lawatan.
Jelas beliau, walaupun mendapat sokongan padu, BN tidak mahu bersikap
takbur seperti pembangkang sebaliknya mahu menggunakan baki mandat yang
ada untuk berkhidmat dan terus membela rakyat melalui pelbagai program
yang telah dan bakal diadakan.
"Itu kata pembangkang, bila kita dipilih rakyat untuk tempoh lima
tahun, ia amat penting untuk lihat kemampuan BN mentadbir, bangunkan
negara dan bela nasib rakyat. Jadi kalau kita buat pilihan raya terlalu
awal, kita pendekkan tempoh lima tahun yang diberi rakyat.
"Tak timbul langsung soal tidak yakin kerana keyakinan kita
bersandarkan sambutan rakyat pada setiap lawatan, program, produk baru
serta pembaharuan yang diperkenalkan, penerimaan rakyat semakin
meningkat," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi
BN, di sini malam ini.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin,
Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek, Presiden MIC, Datuk Seri G.
Palanivel, Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan Setiausaha
Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Ditanya apakah beliau yakin jika pilihan raya umum diadakan sekarang
BN akan memperoleh kemenangan, Najib yang juga Pengerusi BN berkata,
pihaknya tidak mahu takbur tetapi yakin rakyat akan membuat pilihan
tepat berasaskan rekod perkhidmatan, segala janji ditepati serta
pembaharuan yang dilakukan kerajaan.
Terdahulu, beliau berkata, sokongan rakyat terhadap lawatan beliau
dan Muhyiddin ke seluruh negara sangat memberangsangkan sekali gus
memberi petunjuk bahawa keyakinan orang ramai terhadap BN juga semakin
kuat dan kukuh.
ehubungan itu beliau memberi jaminan lebih banyak program mesra rakyat seperti Teksi Rakyat 1Malaysia (TR1Ma) akan diadakan.
Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri berkata, semua ahli BN
diingatkan agar jangan menimbulkan sebarangan kenyataan yang menyentuh
sensitiviti mana-mana kaum atau menjejaskan hubungan antara komponen
parti.
No comments:
Post a Comment