RAMADAN menjelma lagi dan seperti biasa umat
Islam di seluruh dunia terus menunaikan ibadat berpuasa serta
menghidupkan malam harinya dengan melakukan ibadat tarawih di masjid dan
surau.
Ramadan adalah bulan sangat mulia, pada hakikatnya, kita perlu
bersedia untuk menyambut kedatangan bulan ini dengan sambutan dan
harapan agar ia akan menjadikan kita sebagai manusia lebih baik di sisi
Allah.
Laporan Khas Utusan Malaysia, 23 Julai 2012, berhubung berbuka
puasa ala bufet yang semakin popular dalam kalangan umat Islam di
negara ini menunjukkan kehidupan umat Islam di negara ini kini semakin
dilimpahi dengan kemewahan.
Setiap kali Ramadan menjelma, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)
tetap menyuarakan pandangan kepada umat Islam agar mengelakkan
pembaziran dan kegelojohan pada bulan Ramadan dan bulan-bulan yang lain
serta turut menginsafi akan nasib umat Islam di negara lain yang tidak
bernasib baik dalam memenuhi keperluan harian mereka.
Sepanjang Ramadan, umat Islam digalakkan memakan makanan berkhasiat
semasa berbuka dan bersahur, serta ditegah melakukan pembaziran, tetapi
malangnya masih ramai daripada kita memasak terlalu banyak hidangan atau
dengan jalan paling mudah ialah membeli pelbagai juadah yang begitu
banyak dijual di pasar dan bazar Ramadan yang dibuka bagaikan cendawan
tumbuh selepas hujan.
Disebabkan terlalu banyak makanan dihidangkan, kebanyakannya tidak
termakan dan akhirnya terbuang begitu sahaja, pembaziran seumpama ini
amat dilarang oleh Islam dan menyalahi konsep Ramadan itu sendiri.
Saban tahun apabila tiba sahaja Ramadan, hotel dan restoran mula
dibanjiri dengan iklan bufet Ramadan bagi mempengaruhi umat Islam agar
supaya berbuka puasa di sana dan pada tahun ini harga bufet Ramadan yang
ditawarkan oleh hotel dan restoran telah meningkat.
Dengan kadar bayaran dan harga serendah RM28++ hinggalah RM100++,
seseorang itu boleh makan dan minum seberapa banyak yang disukai dengan
pelbagai hidangan sehingga menjangkau lebih daripada 120 sajian bufet
dan makanan pencuci mulut yang begitu menyelerakan.
Bufet Ramadan ini juga turut diiringi dengan persembahan muzik dan
persembahan keroncong serta Ghazal malah ada menyediakan penghibur
tempatan secara langsung ketika pengunjung sedang menjamu selera yang
secara tidak langsung akan mengalih perhatian dan melalaikan daripada
menghayati hikmah ibadah puasa itu sendiri pada bulan mulia ini.
Terdapat juga hotel yang menyediakan kemudahan surau untuk memudahkan
pengunjungnya menunaikan solat wajib dan solat sunat tarawih,
memandangkan Ramadan bulan yang mulia, maka adalah lebih besar
fadhilatnya untuk kita mengimarahkan masjid.
Walaupun sikap melahap makanan ditegah dalam Islam, namun tiada apa
yang dapat menghalang umat Islam daripada tunduk kepada nafsu makan
mereka ketika berbuka. Ada pula sesetengahnya beranggapan mereka perlu
makan seberapa banyak yang mungkin supaya berbaloi dengan wang yang
dikeluarkan.
Disebabkan terlalu banyak makanan diletakkan ke dalam pinggan, ramai
orang tidak mampu menghabiskannya dan akhirnya makanan itu terbuang
begitu sahaja, sedangkan berlebih-lebihan sehingga mendatangkan
pembaziran adalah bukan sebahagian daripada ajaran Islam.
Adakah umat Islam tidak menyedari bahawa makanan adalah kurniaan
Allah SWT yang amat besar untuk kita dan kita akan disoal di akhirat
nanti mengenai pembaziran yang kita lakukan?
Ingatlah firman Allah SWT dalam Surah Al A'raaf, ayat 3, "Makan dan
minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak
menyukai orang yang berlebih-lebihan." Manakala Surah Al Israa', ayat 26
dan 27, "Dan janganlah kamu membazir, sesungguhnya orang yang membazir
itu saudara syaitan."
Sesungguhnya ketahuilah bahawa Ramadan adalah bulan suci antara semua
bulan dalam setahun dan Allah SWT menghendaki semua hamba-Nya memenuhi
bulan tersebut dengan amalan ibadat, ketaatan dan taqarrub kepada-Nya
untuk menyuci diri.
Kekenyangan berterusan dalam kehidupan seseorang akan memenuhi dan
menyuburkan jiwanya dengan sifat keras hati dan keterlaluan dan semoga
Ramadan ini akan dapat membangunkan masyarakat Islam dengan sifat kasih
sayang dan prihatin.
No comments:
Post a Comment