PKR Selangor seleweng RM1b?
KUALA LUMPUR 3 Julai - Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor
didakwa terbabit dalam penyelewengan bernilai hampir RM1 bilion dan ia
dikatakan dibuat dengan berselindung di sebalik pelan ‘menyelamatkan’
Talam Corporation Bhd. (Talam) yang dibebani hutang, dua tahun lalu.
Penyelewengan didakwa berlaku dalam dua bentuk iaitu membabitkan
pembelian ‘penuh tanda tanya’ ke atas aset Talam berjumlah RM676 juta
serta ‘misteri’ ke mana peruntukan RM392 juta yang diluluskan pada 2009
bagi menyelesaikan hutang syarikat itu dibelanjakan.
Perkara itu didedahkan Ketua Biro Muda Profesional MCA, Datuk Chua
Tee Yong, selepas terkejut apabila mendapat maklumat kerajaan PKR
Selangor belum menjelaskan hutang milik Talam ke atas beberapa buah
syarikat meskipun bajet sudah diluluskan.
Menurutnya, Talam berhutang sejumlah RM392 juta dengan anak syarikat
milik kerajaan negeri Selangor iaitu RM227 juta melibatkan Universiti
Selangor (Unisel) serta Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) dan
baki RM115 juta lagi dengan SAP Holdings Berhad.
Katanya, kerajaan PKR Selangor juga mendapat peruntukan RM392 juta
daripada Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menyelesaikan masalah hutang
itu sebelum pengumuman dibuat kononnya kerajaan negeri berjaya mengutip
semula semua hutang daripada Talam yang pengerusinya adalah Tan Sri Chan
Ah Chye (gambar).
“Bagaimanapun, berdasarkan laporan kewangan tahunan pada 30 Mac 2012,
Kumpulan Hartanah Selangor Bhd. (KHSB) menjelaskan kerajaan PKR
Selangor masih berhutang sebanyak RM115 juta, ini menunjukkan tiada
sebarang bayaran diterima oleh SAP Holdings seperti yang didakwa.
“Unisel juga tidak menerima sebarang bayaran. Jika sudah menerima
kutipan semula hutang daripada Talam, Unisel tidak perlu menjual aset
untuk mendapatkan RM30 juta bagi menyelesaikan isu pembekuan Permodalan
Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) baru-baru ini.
“Kemudian kita dikejutkan dengan pembelian aset-aset Talam bernilai
RM676 juta ketika peruntukan RM392 juta sudah diluluskan. Persoalannya
ke mana semua duit itu dibelanjakan kerana hutang belum juga selesai,"
katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Sehubungan itu, beliau mencabar Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul
Khalid Ibrahim mendedahkan semua aset Talam yang dibeli, cara penilaian
dibuat serta asas yang digunakan semasa pelan ‘menyelamat’ dibuat
kerana banyak kecurigaan di sebalik transaksi berkenaan.
Selain itu, beliau yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri
Asas Tani menuntut Abdul Khalid membentangkan kertas putih mengenai
langkah pengutipan semula hutang daripada Talam jika benar kerajaan PKR
Selangor mengamalkan akauntabiliti seperti didakwa.
“Sebelum ini, kerajaan PKR Selangor berjanji untuk membentangkan
kertas putih mengenai kontroversi itu pada hujung tahun lalu, tetapi
sehingga sekarang ia tidak menjadi kenyataan. Mengapa sehingga sekarang
pembentangan kertas putih itu tertangguh," soalnya.
Menjawab soalan kemungkinan wang tersebut disalurkan kepada badan
politik atau pihak ketiga, Tee Yong dalam nada sinis berkata, Abdul
Khalid yang perlu menjawab persoalan tersebut kerana selaku Menteri
Besar sudah tentu beliau lebih tahu.
Jelasnya, pendedahan yang dibuat kali ini baru permulaan kerana lebih
banyak bukti penyelewengan dalam transaksi itu akan diketengahkan
untuk perhatian rakyat sebelum ia dibawa kepada Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia (SPRM) bagi siasatan lanjut.
KOMEN : DAH LALI SANGAT, YANG TETAP SALAH ADALAH UMNO/BN SEBAB KELUARKAN CERITA DALAM KAIN PKR SELANGOR... ORANG BODOH AJE YANG MASIH SOKONG PUAK PEMBANGKANG NI...
No comments:
Post a Comment