KUALA LUMPUR 24 Julai - Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Tun Razak mahu umat Islam di negara ini sentiasa bersyukur
dengan keamanan yang dikurniakan oleh Allah kerana dengan adanya nikmat
itu mereka boleh melaksanakan ibadah termasuk berpuasa tanpa rasa takut.
Hakikatnya beliau berkata, keamanan merupakan sesuatu yang tidak
ternilai, malah ia merupakan satu rahmat Allah yang wajib dipelihara.
Mengambil contoh apa yang berlaku di Syria beliau berkata, umat Islam
di Malaysia wajar mengambil situasi di negara itu sebagai satu iktibar
serta pengajaran ekoran berlakunya pergolakan.
"Kita wajib berasa bersyukur bahawa dalam bulan yang penuh kemuliaan
dan kerahmatan daripada Allah kita dapat menjalankan ibadah puasa dalam
keadaan yang begitu selamat, tenang, tanpa rasa gentar dan takut.
"Sebagaimana kita tahu juga satu demi satu negara Islam tidak melalui
kenikmatan yang sama. Kita di sini anggap biasa dan kita juga tidak
anggap ia sebagai rahmat yang disyukuri," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa
Sempena Penyampaian Sumbangan Aidilfitri dan Pelajar Cemerlang Persatuan
Kebajikan Anak-Anak Yatim Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
(Perkayatim) di Dewan Besar Tabung Haji di sini hari ini.
Hadir sama isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Yang
Dipertua Perkayatim yang juga Pengerusi Tabung Haji, Tan Sri Abi Musa
Asa'ari Mohamed Nor dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Ismee
Ismail.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, atas faktor keselamatan
kerajaan telah membuat keputusan untuk membawa balik rakyat Malaysia
yang berada di Syria.
"Walau apa pun saya amat berharap kita semua sentiasa memanjatkan doa
kepada Allah supaya keamanan yang kita dikecapi selama ini sentiasa
berpanjangan," ujarnya.
Sementara itu, beliau meminta umat Islam di negara ini sentiasa
membantu anak-anak yatim kerana mereka merupakan golongan yang mempunyai
kedudukan mulia di sisi Allah.
Beliau berkata, di dalam kitab suci al-Quran sendiri ada dinyatakan
sebanyak 23 kali perihal anak yatim dan begitu juga dalam hadis-hadis
Rasulullah SAW.
"Sekali gus ia memberitahu kita betapa mulianya kedudukan anak-anak
yatim di sisi Allah, malah junjungan besar Rasulullah SAW juga merupakan
seorang anak yatim piatu," katanya.
Najib di dalam ucapannya turut memetik sebuah hadis Rasulullah mengenai balasan mereka yang memelihara anak yatim dengan baik.
"Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh ibn. Abbas, Rasulullah telah
bersabda; Orang yang memelihara anak yatim di kalangan umat Islam
dengan memberi makan minum kepada mereka pasti Allah memasukkannya ke
dalam syurga," kata Perdana Menteri lagi.
KOMEN : SEGALA KEBAIKAN AKAN DIBALAS DENGAN KEBAIKAN... SYUKUR ALHAMDULILLAH ,MALAYSIA NEGARA AMAN....
No comments:
Post a Comment