Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Thursday, 5 July 2012

Berlaku penetrasi ke atas Saiful - Hakim


DARI UTUSAN MALAYSIA
4/7/2012




KUALA LUMPUR 3 Julai - Mahkamah Tinggi di sini dalam alasan penghakiman penuh kes liwat melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mohd. Saiful Bukhari Azlan, menyatakan bahawa ada keterangan berlakunya penetrasi dubur bekas pembantu peribadi Ketua Pembangkang itu.

Ia berikutan keterangan tiga doktor Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang memberi pandangan berlakunya penetrasi tersebut berdasarkan rumusan pakar kimia, Dr. Seah Lay Hong yang menjumpai sampel-sampel diambil daripada dubur Mohd. Saiful Bukhari mengandungi sperma 'Lelaki Y'.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah (gambar) bagaimanapun berkata, disebabkan tiada bukti sokongan, adalah tidak selamat untuk mahkamah mensabitkan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu dengan tuduhan liwat memandangkan integriti sampel yang diambil telah tergugat sebelum dihantar untuk analisis kimia.

''Selepas meneliti keterangan kedua-dua pihak berhubung isu ini, saya dapati tidak sepatutnya ada sebarang bantahan terhadap pendapat yang diberikan oleh ketiga-tiga doktor terbabit untuk memberi pandangan berhubung penetrasi berdasarkan keterangan Saksi Pendakwa Kelima (Lay Hong) yang menjumpai sampel yang diambil dari rektum pengadu mengandungi sperma 'Lelaki Y'.

''Bagaimanapun, sama ada keterangan daripada ketiga-tiga doktor ini boleh menyokong SP1 berhubung fakta penetrasi bergantung sepenuhnya terhadap integriti sampel-sampel yang diambil,'' katanya.

Menurut Hakim Mohamad Zabidin lagi, adalah jelas keterangan saksi pendakwaan berhubung keputusan analisis kimia oleh Lay Hong terhadap sampel-sampel yang diambil daripada pengadu tidak selari dengan keterangan pakar barisan pembelaan.

''Pakar mana yang betul? Ini membawa kembali kepada isu integriti sampel-sampel. Adalah penting untuk melihat bagaimana sampel-sampel ini dikendalikan selepas diambil daripada pengadu dan sebelum diserahkan kepada Lay Hong untuk analisis,'' katanya.

Mengikut keterangan, ketiga-tiga doktor HKL terbabit, Dr. Khairul Nizam Hassan, Dr. Siew Sheue Feng dan Dr. Mohd. Razali Ibrahim mengumpul sampel-sampel daripada Mohd. Saiful Bukhari pada 28 Jun 2008, iaitu dua hari selepas kejadian dan kemudian merumuskan berlakunya penetrasi berdasarkan hasil ujian asid deoksiribonuleik (DNA) oleh Lay Hong.

Bagaimanapun, saksi pakar DNA di peringkat pembelaan, Dr. David Wells menyatakan, adalah salah untuk ketiga-tiga doktor HKL itu memberi pendapat mengenai penetrasi berdasarkan penemuan yang dibuat oleh Lay Hong.

Justeru, menurut Hakim Mohamad Zabidin, adalah tidak selamat untuk bergantung kepada keputusan DNA yang diperoleh oleh Lay Hong ke atas analisis yang dibuat terhadap sampel-sampel tersebut.

''Disebabkan itu, tiada sebarang bukti untuk menyokong keterangan SP1 (Mohd. Saiful Bukhari) berhubung faktor penetrasi,'' kata beliau.

Keadaan ini, menurutnya, menyebabkan mahkamah hanya boleh membuat keputusan berdasarkan keterangan Mohd. Saiful Bukhari untuk membuktikan penetrasi.

''Ini merupakan kesalahan seksual, adalah menjadi prinsip undang-undang bahawa mahkamah selalunya keberatan untuk mensabitkan seorang tertuduh semata-mata berdasarkan kepada keterangan pengadu tanpa keterangan sokongan.

''Oleh itu, tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan,'' kata Hakim Mohamad Zabidin dalam penghakiman penuhnya setebal 80 muka surat bertarikh 9 Januari 2012.

Pada tarikh tersebut, mahkamah melepas dan membebaskan Anwar, 65, daripada tuduhan meliwat Mohd. Saiful Bukhari, 26, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No. 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di sini antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Hakim Mohamad Zabidin memutuskan demikian di akhir kes pembelaan selepas mendapati tiada bukti kukuh bagi menyokong keterangan Mohd. Saiful Bukhari selain tidak selamat untuk mahkamah bergantung kepada bukti DNA.

Semasa keputusan di akhir kes pendakwaan pada 16 Mei tahun lalu, mahkamah tersebut memerintahkan Anwar membela diri atas tuduhan itu selepas mendapati Mohd. Saiful Bukhari adalah saksi yang benar dan keterangannya boleh dipercayai.

Anwar memilih untuk memberi keterangan tanpa mengangkat sumpah di kandang tertuduh dengan hanya membacakan kenyataan yang antara kandungannya adalah hanya menafikan melakukan perbuatan liwat selain menuding jari kepada hakim yang didakwa menyebabkannya tidak mendapat perbicaraan secara adil.

Mengenai integriti sampel-sampel tersebut, Hakim Mohamad Zabidin dalam penghakimannya berkata, adalah tidak disangkal bahawa pegawai penyiasat, Supritendan Judy Blacious Pereira ketika di pejabatnya telah membuka beg plastik (P27) yang mengandungi bekas-bekas kecil berisi sampel bahan bukti.

Menurut keterangan Judy lagi, ujar beliau, tindakan itu dibuat bagi tujuan melabel semula kesemua bekas tersebut satu demi satu.

''Pada pandangan saya, perbuatan ini tidak perlu kerana bekas-bekas tersebut telah dibungkus dan dilabel oleh pakar-pakar yang mengumpulnya. Tujuan utama pembungkusan, pelabelan dan memetarai bahan bukti dilakukan oleh pakar yang mengumpul spesimen adalah untuk menjaga integriti sampel dan rantaian kawalan (chain of custody),'' katanya.

Dengan membuka beg plastik tersebut, menurut Hakim Mohamad Zabidin, keyakinan terhadap integriti sampel tersebut telah hilang.

Terdahulu dalam penghakiman tersebut, beliau menyatakan, adalah mustahil untuk pegawai penyiasat tersebut menggunakan sampel DNA yang diperoleh dari lokap (yang menempatkan Anwar) digunakan untuk 'dicampurkan' dengan sampel-sampel yang diambil daripada SP1.

Ini kerana, pada waktu sampel dari lokap diambil dan diserahkan kepada pegawai pendakwa pada 17 Julai 2008, sampel-sampel yang diambil dari dubur Mohd. Saiful telah berada pada Lay Hong di Jabatan Kimia.

KOMEN : LIWAT TETAP LIWAT...

No comments: