PM lancar Kedai Kain Rakyat 1Malaysia
DARI UTUSAN MALAYSIA15/7/2012
KUALA LUMPUR 14 Julai - Sebanyak 30 lagi Kedai Kain Rakyat 1Malaysia
(KKR1M) akan dibuka di seluruh negara dalam tempoh dua tahun ini, kata
Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata, antara kain dijual di kedai itu ialah kain
batik jacquard dijual dengan harga RM15 berbanding RM35 sepasang di
pasaran, baju kemeja linen RM45 sehelai berbanding RM79 di pasaran serta
kain satin RM40 sepasang berbanding RM50 di pasaran.
Selain keperluan pakaian, kata beliau, kedai itu turut menawarkan
barangan lain seperti langsir, kelengkapan sekolah dan kelengkapan
bersolat seperti sejadah dan songkok.
Sehubungan itu, kata beliau, usaha kerajaan memperkenalkan produk
serta perkhidmatan jenama 1Malaysia tidak ada 'noktah' sebaliknya
bersifat 'koma' (berterusan) setelah didapati ia banyak meringankan
beban hidup seharian rakyat di negara ini.
"Semua pihak tidak boleh menafikan bahawa produk dan perkhidmatan
jenama 1Malaysia berjaya menjimatkan perbelanjaan rakyat memandangkan
harganya ditetapkan lebih rendah dari pasaran.
"Atas asas itu juga, kerajaan menetapkan tiga kriteria penting
sebelum satu-satu produk atau perkhidmatan itu dibenar menggunakan
jenama 1Malaysia, pertama, untuk rakyat; kedua, kualitinya baik dan
ketiga, harganya murah daripada harga biasa atau pasaran," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan KKR1M milik Peluang Karisma Sdn. Bhd. di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan
Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Pertanian dan
Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar; Ahli Dewan Undangan Negeri
(ADUN) Dusun Tua, Ismail Sani dan Ketua Pegawai Operasi KKR1M, Mohd.
Noor Mohd. Amin.
Sebelum ini, kerajaan telah memperkenalkan beberapa produk serta
perkhidmatan jenama 1Malaysia, antaranya Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M),
Klinik 1Malaysia, Menu Rakyat 1Malaysia, Bantuan Rakyat 1Malaysia
(BR1M), Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) serta baucar subsidi tayar Teksi
Rakyat 1Malaysia (TR1Ma).
Perdana Menteri berkata, walaupun harga produk serta perkhidmatan
jenama 1Malaysia lebih murah, namun pihak kerajaan tidak akan
berkompromi dalam soal kualiti.
Sementara itu, Pengarah Urusan KKR1M, Mohd. Noor Mohd. Amin berkata,
Hulu Langat dipilih sebagai lokasi pertama premis berkenaan berdasarkan
faktor lokasi yang strategik dan tidak jauh dari bandar.
Kata beliau, berdasarkan kedudukan tersebut, kedai itu diyakini dapat
memberi peluang kepada seluruh rakyat Selangor untuk datang
membeli-belah.
Menurutnya, lebih 100 jenis barang ditawarkan di premis tersebut
termasuk kain ela, kain kurung, baju melayu dan kain langsir yang
kesemuanya produk tempatan.
KOMEN : SYUKUR ALHAMDULILLAH...
No comments:
Post a Comment