Siapa sebenar 'serabut perut'?
DAKWAAN Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz
Nik Mat yang menyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak
dalam keadaan 'serabut perut' kerana dari sehari ke sehari belum mahu
membubarkan Parlimen bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-13 diadakan
boleh dianggap 'lawak yang tidak kelakar di tengah malam.'
Dalam satu majlis di Shah Alam beberapa hari lalu, Menteri Besar
Kelantan itu berhujah, ''Lepas sehari, sehari ditangguh tentu ada
sesuatu, masalah apa kita tak tahu yang pasti dia (Najib) serabut
perut." Dan selain itu Nik Abdul Aziz menganggap pakatan pembangkang
mencapai kemenangan moral kerana UMNO tidak berani membubarkan Parlimen.
Apa yang lebih melucukan, Nik Abdul Aziz berkata, 'ketakutan' UMNO
itu disebabkan "kebangkitan rakyat yang semakin ramai menyokong Pakatan
Rakyat…Ini membuktikan kesedaran dan gelombang perubahan itu wujud."
Itulah kata-kata Nik Abdul Aziz penuh yakin kepada anak-anak Kelantan di perantauan pada majlis berkenaan.
Oleh kerana Nik Abdul Aziz juga ahli politik maka tidak salah untuk
beliau membuat andaian politik dalam isu berkenaan. Tetapi pada masa
yang sama kita juga berhak untuk menilai dan mengkaji siapa sebenarnya
yang berada dalam keadaan 'serabut perut', pemimpin pembangkang atau
Perdana Menteri?
Berikut penulis paparkan perkara-perkara yang berkaitan dengan
kepimpinan pembangkang yang boleh memberikan kesempatan kepada kita
untuk menilai siapa sebenarnya 'serabut perut'.
l Siapa dominan dalam pembangkang? - Dalam keghairahan Pas menyatakan
Najib 'serabut perut' untuk membubarkan Parlimen, apakah Pas
benar-benar jujur untuk mengakui bahawa pembahagian kerusi dalam pakatan
pembangkang sudah selesai? Benarkah Pas tidak 'serabut perut' apabila
cita-cita parti itu untuk bertanding 80 kerusi dalam pilihan raya umum
akan datang tidak akan tercapai?
Ini memandangkan daripada 222 kerusi Parlimen yang akan
dipertandingkan dalam pilihan raya nanti, DAP dikatakan akan bertanding
90 kerusi dan ada pula yang mengatakan 89 kerusi tetapi yang pasti parti
itu akan dominan. Pas pula yang selama ini sentiasa sahaja patuh kepada kehendak DAP
dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) hanya dibenarkan bertanding antara 66
hingga 67 kerusi.
Apakah Pas tidak 'serabut perut' dengan situasi ini kerana jika
jumlah pembahagian kerusi ini benar, jelaslah DAP akan menjadi tonggak
utama sekaligus memusnahkan impian Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi
Awang untuk melihat parti itu menjadi tulang belakang pemerintahan jika
pembangkang memerintah.
Apakah Pas tidak 'serabut perut' untuk memikirkan bagaimana
seolah-olah ada pakatan antara DAP dan PKR dalam isu ini. Kalau
kedua-dua parti itu menghormati Pas sudah tentulah, mereka akan memberi
peluang kepada Pas bertanding lebih banyak kerusi.
Tetapi ini tidak berlaku, sebaliknya DAP dibenarkan oleh PKR untuk
dominan dan sekali gus menunjukkan apa pun keputusan pilihan raya nanti
yang akan untung adalah DAP, manakala Pas hanya menjadi alat.
Oleh itu, apakah kepimpinan Pas tidak akan 'serabut perut' untuk
meyakinkan penyokong-penyokong mereka bekerja bermati-matian dalam
pilihan raya tetapi yang akan untung ialah DAP dan PKR?
l Apa arah tuju perjuangan Pas - Berbanding dengan UMNO di bawah
kepimpinan Perdana Menteri yang tidak pernah mengubah dasar perjuangan
demi memburu kuasa politik, Pas jauh berbeza. Sampai ke hari ini, Pas
masih dilihat gagal untuk memberikan keyakinan dan pemahaman kepada
penyokong-penyokong tegarnya kenapa parti itu berubah daripada
perjuangan negara Islam kepada negara berkebajikan.
Semua orang tahu Pas terpaksa mengubah landasan perjuangannya
semata-mata kerana bimbang dengan tentangan DAP yang dalam kenyataan
terbaru terus menolak sebarang usaha melaksanakan hukum hudud apatah
lagi negara Islam.
Tambahan pula yang dominan dalam pakatan pembangkang ialah DAP yang
disokong kuat oleh PKR. Ia bermakna jika Pas terus bersama pakatan
berkenaan maka perjuangan Islamnya sudah berakhir dan matlamat negara
berkebajikan hanyalah retorik kerana apa pun yang hendak dilakukan oleh
Pas perlu mendapat restu kedua-dua parti tersebut.
l Masalah di negeri pakatan pembangkang - Terdapat empat negeri yang
berada di bawah pakatan pembangkang iaitu Pulau Pinang, Kedah, Selangor
dan Kelantan. Apakah negeri-negeri berkenaan berada dalam keadaan aman
tanpa sebarang kemelut? Apakah di Pulau Pinang, pemerintahan DAP tidak
'serabut perut' apabila berhadapan dengan pelbagai protes termasuklah
yang terbaru isu pembangunan di Kampung Genting, Balik Pulau.
Apakah di Kelantan, kerajaan Pas tidak 'serabut perut' apabila masih
gagal menangani masalah air dan isu dinar emas yang semakin 'panas'
serta kegagalan melaksanakan pelbagai janji yang dibuat semasa pilihan
raya.
Tidakkah Pas negeri itu tidak 'serabut perut' apabila satu demi satu
janji yang dibuat semasa pilihan raya termasuk pelaksanaan beberapa
projek pembangunan bernilai berbilion ringgit yang akhirnya sekadar
terpacak dengan papan tanda sahaja?
Bagaimana pula di Selangor, apakah kerajaan Parti Keadilan Rakyat
(PKR) Selangor tidak 'serabut perut' apabila berhadapan dengan dakwaan
oleh MCA mengenai isu Talam Corporation? Apakah Menteri Besar Selangor,
Tan Sri Khalid Ibrahim tidak 'serabut perut' apabila beliau turut
berhadapan dengan tekanan dari dalam parti sendiri untuk memecat
setiausaha politiknya?
Begitu juga di Kedah, tidakkah Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul
Razak tidak 'serabut perut' apabila satu demi satu masalah berlaku di
negeri berkenaan termasuklah yang terbaru bantahan oleh kakitangan Kolej
Universiti Insaniah (Kuin).
Dalam situasi ini, cuba kaji pula apakah di negeri-negeri diperintah
oleh BN ada apa-apa masalah besar seperti mana dihadapi oleh
negeri-negeri pakatan pembangkang? Oleh itu siapa sebenarnya 'serabut
perut'.
l Kepimpinan Najib - Turut menjadi faktor yang akan memungkinkan
pemimpin-pemimpin pembangkang 'serabut perut' ialah bagaimana mereka
hendak menahan arus penerimaan rakyat kepada kepimpinan Perdana Menteri.
Keikhlasan Najib yang muncul dengan gagasan 1Malaysia Rakyat
Didahulukan Pencapaian Diutamakan benar-benar memberi impak positif
untuk sokongan politik kepada BN. Ia ditambah pula dengan program Janji
Ditepati yang ternyata membela nasib seluruh lapisan rakyat.
Keadaan ini berbeza dengan pembangkang yang muncul dengan agenda
politik melalui slogan Bersama Rakyat Menuju Putrajaya. Langkah itu
jelas menunjukkan matlamat pembangkang hanya mahu menawan Putrajaya dan
merebut kuasa politik, tiada agenda yang jelas bagaimana hendak membantu
rakyat.
Penulis hanya memaparkan beberapa sahaja faktor yang memungkinkan kita bertanya siapa sebenarnya yang 'serabut perut'.
Mungkin benar wujud kesedaran dan gelombang perubahan di kalangan
rakyat tetapi ia bukannya memihak kepada pakatan pembangkang tetapi BN
kerana rakyat semakin memahami siapa sebenar sentiasa 'serabut perut'
dengan masalah demi masalah.
KOMEN : NIK AZIZ BERCAKAP IKUT KEPALA/OTAK DIA YANG MAKIN BERSERABUT.
No comments:
Post a Comment