KUALA LUMPUR 15 Julai - Kerajaan akan
menggerakkan satu gelombang untuk golongan muda secara besar-besaran
melalui platform 1Malaysia For Youth (1M4U) bagi mencetus kejayaan lebih
gemilang kepada negara menerusi idea serta sumbangan golongan belia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, berbeza dengan
pembangkang yang galak mencipta gelombang dalam kalangan orang muda bagi
tujuan rusuhan dan demonstrasi jalanan, kerajaan sebaliknya mahu
gelombang massa itu menjayakan transformasi Malaysia.
Menurutnya, sebagai komitmen untuk melonjakkan gelombang tersebut
dengan bersandar pada semangat sukarelawan para belia di atas platform
1M4U, kerajaan meluluskan penubuhan Dana Sukarelawan 1Malaysia (DRe1M)
berjumlah RM100 juta.
Jelasnya, dana tersebut akan diagih-agihkan dalam bentuk geran kepada
pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan belia serta badan
beruniform yang giat menjalankan aktiviti sukarelawan dengan beliau
sendiri bertindak sebagai Lembaga Pemegang Amanah 1M4U.
Pada masa yang sama, Perdana Menteri berkata, sebuah stesen radio
1M4U juga akan diwujudkan berteraskan minat serta cita rasa anak muda
untuk membolehkan mereka mengetengah bakat masing-masing sekali gus
menyemarakkan lagi usaha menggerak gelombang tersebut.
"Kita akan mencetuskan satu gelombang besar-besaran yang cukup hebat.
1M4U titik permulaan kepada gelombang massa ini dalam kalangan orang
muda. Gelombang ini bukan untuk membuat rusuhan atau demonstrasi jalanan
tetapi bagi membina Malaysia berjaya.
"Gelombang ini bukan untuk membawa kerosakan kepada negara tetapi
akan mengangkat Malaysia ke martabat yang lebih gemilang. Masa depan
negara kita ditentukan oleh belia, kalau belia cinta keamanan, aman
negara kita, kalau suka membela, maka masyarakat kita akan terbela.
"Sebab itu kita lancarkan 1M4U, ia bererti saya Perdana Menteri untuk
kamu, kami (Barisan Nasional) adalah kerajaan untuk belia pada hari ini
dan masa hadapan," katanya di hadapan lebih 50,000 belia sambil
disambut laungan 1Malaysia oleh anak-anak muda tersebut.
Perdana Menteri berkata demikian semasa berucap merasmikan Program
1M4U yang dijayakan bagi tujuan menggembleng belia pelbagai kaum dalam
aktiviti-aktiviti sukarelawan di Taman Esplanade
KLCC di sini hari ini.
Hadir sama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien;
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek serta
Timbalannya Datuk Razali Ibrahim; Menteri di Jabatan Perdana Menteri,
Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong
Lai.
Mengulas lanjut, Najib berkata, bagi merealisasikan hasrat kerajaan
untuk mencetus gelombang tersebut secara massa, tahun depan akan
diisytiharkan sebagai Tahun Sukarelawan bagi melahirkan lebih ramai ikon
belia dalam bidang sukarelawan negara.
Sambil memberi contoh, ikon belia, Mohd. Zhariff Afandi yang kudung
kedua-dua belah tangan tetapi aktif membantu masyarakat, beliau berkata,
platform 1M4U akan melahirkan ribuan lagi insan berhati mulia seperti
tokoh orang kurang upaya (OKU) tersebut pada masa hadapan.
"Ribuan terima kasih kepada semua pihak yang menggerakkan idea ini,
anggaplah 1M4U ini gerakan untuk kita dan saya sebagai Perdana Menteri
bersama rakan-rakan dalam kerajaan pada hari ini akan terus menyumbang
dan membantu para belia tanah air," katanya.
KOMEN : JADIKAN BELIA HARI INI LEBIH BERJATI DIRI UNTUK MENJADI BAKAL PEMIMPIN MASA HADAPAN...
No comments:
Post a Comment