SHAH ALAM 3 Julai - Polis percaya telah
melumpuhkan sindiket penipuan internet membabitkan kerugian RM15.98 juta
sejak tahun lalu dengan tertangkapnya 20 Awang Hitam dalam 20 serbuan
di dua buah kondominium di Petaling Jaya, di sini awal pagi ini.
Kesemua Awang Hitam itu ditahan bagi membantu siasatan selepas 371
laporan polis yang kebanyakannya dibuat oleh wanita-wanita yang kerugian
wang sehingga ratusan ribu ringgit selepas terjerat dengan godaan cinta
palsu mereka di Internet.
Turut ditahan bersama kesemua Awang Hitam itu ialah enam wanita tempatan.
Awang Hitam terbabit antaranya berasal dari Nigeria, Cameroon,
Somalia, Sierra Leone serta New Zealand dan masuk ke negara ini
menggunakan visa pelajar.
Polis juga merampas 25 unit komputer riba dan sejumlah buku akaun yang merupakan bahan bukti semasa serbuan itu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, serbuan
yang dinamakan Ops Tiong itu dibuat dengan kerjasama Jabatan Siasatan
Jenayah Komersial Bukit Aman, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian
Pelancongan dan Jabatan Imigresen.
Beliau berkata, kesemua 20 Awang Hitam dan enam wanita tempatan
terbabit itu ditahan bagi membantu siasatan 371 laporan kerugian yang
diterima daripada mangsa penipuan Internet.
Beliau menjelaskan, sebanyak 268 laporan yang membabitkan kerugian
RM6.7 juta diterima tahun lepas dan 103 laporan lagi (RM9.28 juta)
dibuat tahun ini.
"Siasatan mendapati anggota sindiket itu akan menyamar dengan meletakkan gambar lelaki kacak di Internet bagi menjerat wanita.
"Selepas berjaya memperdaya mangsanya, mereka akan berpura-pura
mengalami masalah membawa masuk barangan berharga seperti emas dan
meminta bantuan kewangan daripada mangsa terbabit dengan janji akan
membayarnya selepas mendapat pelepasan Kastam.
"Mereka juga akan mengupah seorang warga tempatan yang boleh bercakap
Melayu menjadi pegawai Kastam untuk meyakinkan mangsanya dan selepas
wang diperoleh mereka akan menghilang," kata beliau kepada pemberita di
Pusat Media Selangor, di sini petang ini.
Tambah Tun Hisan, kesemua wang yang diberikan oleh mangsa akan
dimasukkan ke dalam akaun bank tempatan milik rakan subahat mereka atau
akaun luar negara dan berdasarkan laporan seorang mangsa pernah kerugian
sehingga RM150,000 kerana terpedaya dengan cinta Internet Awang Hitam
itu.
"Kita kini menyiasat lebih lanjut kesemua suspek berusia 20 hingga 35 tahun mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
"Saya juga ingin menasihatkan agar semua pihak terutamanya wanita
tidak terpedaya dengan penipuan seperti ini dan segera membuat laporan
sekiranya mempunyai maklumat," katanya.
Dalam kejayaan lain, katanya, pihaknya turut menahan 18 Awang Hitam
dengan 15 daripadanya melakukan kesalahan Imigresen dan tiga lagi
melakukan kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya dalam Ops Tiong yang
bermula pukul 11.30 malam tadi hingga pukul 3 pagi ini.
KOMEN : SAMPAI BILA DUIT RAKYAT DIGUNAKAN UNTUK MEMBASMI JENAYAH YANG DILAKUKAN OLEH AWANG HITAM INI SEDANGKAN PINTU MASUK NEGARA KITA TERDEDAH KERANA DASAR SEPARUH MASAK YANG DIAMALKAN OLEH AGENSI KERAJAAN YANG KONONNYA UNTUK MENJADI HUB PENDIDIKAN ANTARABANGSA????
No comments:
Post a Comment