Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Thursday, 12 July 2012

Akta Keharmonian Nasional


Najib Tun Razak bersalam dengan jemputan sambil diperhati oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail pada Majlis Makan Malam Jabatan Peguam Negara bersama Perdana Menteri di Kuala Lumpur, malam tadi.

KUALA LUMPUR 11 Julai - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan telah mengambil keputusan untuk menguatkuasakan secara serta-merta semua akta baru serta memansuhkan Akta Hasutan 1948 dan digantikan dengan suatu rang undang-undang yang dikenali sebagai Akta Keharmonian Nasional.

Selain itu, kata Perdana Menteri, turut dikuatkuasakan serta-merta adalah pindaan terhadap akta-akta sedia ada yang berkaitan termasuk Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas), Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, Akta Universiti dan Kolej Universiti.

Beliau berkata, keputusan tersebut adalah untuk melengkapkan fasa pertama Program Transformasi Politik (PTP).

Menurutnya, kerajaan sedar umum menganggap Akta Hasutan 1948 sebagai alat kerajaan untuk merencatkan tindakan dan pandangan yang tidak sealiran dengan kerajaan.

''Walaupun anggapan sedemikian adalah tidak berasas sama sekali, kita perlu menghapuskan persepsi tersebut. Lantaran itu, peruntukan-peruntukan baru ini tidak akan menghalang rakyat untuk mengkritik kerajaan dan pentadbiran keadilan.

''Sebarang perbuatan menghina mahkamah akan dikendalikan sendiri oleh pihak Kehakiman melalui peruntukan-peruntukan di dalam Kaedah-Kaedah Mahkamah yang sedia ada,'' katanya semasa berucap pada Majlis Makan Malam Jabatan Peguam Negara di sini malam ini.

Perdana Menteri turut menekankan bahawa kebebasan bercakap dan bersuara hendaklah sentiasa diimbangi dengan keperluan untuk mengekalkan keharmonian, ketenteraman dan keselamatan awam. Katanya, sebagaimana negara-negara lain yang menjunjung prinsip Kedaulatan Undang-undang (Rule of Law), kebebasan bercakap dan bersuara bukanlah suatu hak yang diberikan secara mutlak sebaliknya dibatasi dengan sekatan-sekatan yang sewajarnya.

''Begitu juga di Malaysia. Kebebasan bersuara adalah tertakluk kepada sekatan-sekatan sebagaimana yang diperuntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan yang dirasakan amat perlu apatah lagi dalam suasana kemajmukan masyarakat Malaysia yang unik dan rumit sifatnya,'' kata beliau.

Najib berkata, kerajaan akan tetap memastikan peruntukan-peruntukan baru ini tidak akan menjejaskan kuasa untuk menangani perbuatan dan perlakuan yang berikut:

(i) Mendatangkan kebencian dan penghinaan atau bagi membangkitkan perasaan tidak setia kepada Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana Raja;

(ii) Mengembangkan perasaan niat jahat dan permusuhan antara kaum atau golongan penduduk yang berlainan di Malaysia; dan

(iii) Mempersoalkan apa-apa hak, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogatif sebagaimana yang ditetapkan atau dilindungi oleh peruntukan Bahagian III atau Perkara 152, 153 dan 181 Perlembagaan Persekutuan.

Najib berkata, sebelum menggubal Rang Undang-undang Keharmonian Nasional ini, kerajaan ingin menjemput pandangan dan pendapat rakyat Malaysia sama ada individu mahupun pertubuhan mengenai perkara yang perlu ditangani dalam merangka perundangan ini.

''Keputusan menggantikan Akta Hasutan dibuat kerana kita mahu mencari mekanisme yang dapat menentukan keseimbangan terbaik di antara keperluan menjamin kebebasan bersuara setiap warganegara sesuai dan selaras dengan peruntukan dan jaminan yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan dan keperluan untuk menangani kompleksiti kemajmukan yang wujud di negara ini.

''Tanpa keseimbangan yang ideal kita berkemungkinan merencatkan hak bersuara yang dijamin Perlembagaan, menumpulkan daya kreativiti serta sifat inovatif ataupun membebaskan semangat cauvinisme dan ekstremis,'' katanya.

Menurut beliau, keseimbangan ini perlu dicapai dalam persekitaran masyarakat yang lebih terbuka dengan akses kepada lebuh raya maklumat yang mampu menyebabkan 'limpahan maklumat', taraf pendidikan dan sosioekonomi yang semakin tinggi serta tahap jangkaan yang semakin meningkat.

''Peruntukan-peruntukan baru yang dicadangkan dalam Akta Keharmonian Nasional ini akan memberi penekanan kepada pemupukan semangat harmoni dan saling menghormati dalam masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama,'' katanya.

Kata Perdana Menteri, peruntukan-peruntukan akta baru ini akan mencerminkan komitmen jitu kerajaan untuk mempertahankan semua agama dan semua kaum yang membentuk negara bangsa Malaysia daripada perbuatan mereka yang tidak bertanggungjawab.

''Akta baru ini akan bersifat lebih spesifik dan membolehkan kita bertindak terhadap mereka yang menggunakan isu-isu sensitif untuk memecah-belahkan perpaduan nasional,'' katanya.

Beliau berkata, Jabatan Peguam Negara telah ditugaskan sebagai agensi yang bertanggungjawab untuk mendapat sudut pandangan semua 'pemegang saham'.

''Perbuatan adu domba seumpama ini akan dianggap sebagai satu jenayah terhadap rakyat Malaysia. Sebagai rakyat Malaysia, kita harus bersikap bahawa jika ada mana-mana kaum mahupun agama disakiti maka seolah-olah semua kaum dan semua agama rakyat Malaysia sama-sama disakiti, bak kata pepatah Melayu cubit paha kanan maka paha kiri akan terasa,'' katanya.

KOMEN : SEMOGA SELEPAS INI TIADA LAGI PIHAK YANG TAKUT UNTUK MENGGUNAKAN SEGALA PERUNTUKAN YANG ADA UNTUK MENDAKWA ORANG-ORANG YANG DIDAPATI MENGHASUT TANPA MENGIRA SIAPA MEREKA... JANGAN ESOK, UNDANG-UNDANG AJE CANTIK TAPI TAKUT UNTUK DILAKSANAKAN...

No comments: