UTUSAN MALAYSIA
30/7/2012
KUALA LUMPUR 29 Julai - Legoland Malaysia, taman
tema baru yang terletak di Iskandar Malaysia, Johor Bahru bakal dibuka
kepada orang ramai pada 15 September ini.
Ketua Pegawai pembangunan Theme Attractions and Resorts Sdn. Bhd.,
Muhammad Zainal Ashikin berkata, taman tema itu telah 98 peratus siap
dengan sebahagian besar infrastruktur dan permainan sudah pun dipasang.
"Kami kini di dalam proses untuk meletakkan sentuhan terakhir dengan
pengujian permainan, pemasangan 15,000 model-model Lego menggunakan 50
juta kepingan Lego dan proses terakhir pengindahan taman mengikut tema,"
katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Legoland Malaysia adalah taman tema pertama seumpamanya di rantau
ini, diuruskan oleh Theme Attractions and Resorts, sayap operasi dan
pengurusan Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) bagi Bahagian Rekreasi dan
Pelancongan.
Taman tema Legoland itu adalah keenam di dunia selepas Legoland
Billund, Legoland Windsor, Legoland California, Legoland Deutschland dan
Legoland Florida.
Legoland Malaysia itu turut dibangunkan bersama Merlin Entertainments
dengan kos RM720 juta di kawasan seluas 31 hektar di Medini North,
pusat gaya hidup Iskandar Malaysia.
Muhammad Zainal berkata, pihaknya menyasarkan sejumlah sejuta pelancong pada tahun pertama operasi Legoland Malaysia.
Menurut beliau, setakat ini hampir 63,000 pas tahunan dan pas harian
telah dijual kepada orang ramai sejak ia dilancarkan lewat tahun 2011.
Mengulas mengenai perkembangan projek-projek lain di sekitar
Legoland, Muhammad Zainal menambah, pihaknya juga merancang pelbagai
pembangunan lain seperti taman tema air dan Hotel Legoland pada 2014.
No comments:
Post a Comment