Dilema rakyat Kedah selepas dikuasai Pas
TATKALA meraikan kemenangan Pas menguasai
kerajaan Kedah mulai malam 8 Mac 2008, sikap optimis dalam kalangan
pendokong gerakan Islam begitu terserlah.
Dengan komposisi penduduk Islam yang mewakili 75 peratus daripada 1.9
juta penduduk tentulah tidak mustahil untuk proses Islamisasi
dilaksanakan.
Pun begitu, harapan demi harapan menemui kebuntuan. Paksi kebenaran,
istiqamah memperjuangkan hudud, negara Islam, amal maaruf nahi mungkar, world view Islam, kepimpinan beramanah, berlaku adil dan ihsan kepada rakyat seolah-olah tidak lagi serasi dengan kepimpinan Pas Kedah.
Tanpa perlu menoleh kepada isu lebih rumit, teliti sahaja persoalan akhlak muda mudi di Kedah. Dahulunya Pas begitu mengambil serius peranannya sebagai 'penjaga moral'.
Apa jua keramaian melibatkan percampuran lelaki perempuan yang bukan
muhrim pasti dipandang jelek. Kini, realitinya di Kedah tidak lagi.
Malah menjadi satu sifat rencam dan bertambah momentumnya penyakit moral
itu tatkala lebih 300 karaoke dibenarkan beroperasi selain beberapa
buah kelab malam yang saiznya cukup luar biasa dan tidak pernah
terbayang akan dibenarkan beroperasi pada zaman BN dulu.
'House Bar' di kawasan majoriti Melayu di Alor Mengkudu dan 'View
Nite' di belakang Tesco Mergong yang menggabungkan dan mempamerkan
toleransi pemerintahan Islam Pas yang jauh tersasar daripada kehendak
ahli dan dasar mereka cita-citakan selama ini.
Ini belum dihitung keberanian gerombolan anak muda yang bersantai di
dalam kenderaan masing-masing di hadapan Balai Besar mengadap Masjid
Zahir saban malam, sambil melabuhkan tubuh badan mereka untuk aksi yang
kurang menyenangkan.
Tidak boleh dilupakan juga aksi-aksi hebat lagi berani anak muda di
Jalan Pegawai, Jalan Kuala Kedah dan beberapa jalan utama lain dalam
Bandaraya Alor Setar yang sering menjadi trek perlumbaan bagi golongan
istimewa yang dikenali 'Mat Rempit'.
Jika mahu ditambah kepada peningkatan gejala jenayah jalanan
(misalnya kecurian motosikal, ragut) ketagihan gam, air ketum tentulah
satu kajian empiris lain yang menggabungkan sumber data daripada pihak
berkuasa boleh dilakukan.
Namun, secara generalisasi umum tidak boleh diketepikan bahawa angka
dan peratusnya pasti bertambah kerana kepimpinan dan kerajaan Pas Kedah
yang dulunya cukup konsisten memperjuangkan isu moral belia, kini sudah
agak keletihan daripada memperkatakannya.
Apatah lagi menguat kuasa dan mempamerkan usaha tindakan.
Lantas tatkala kelemahan demi kelemahan, dasar Islamisasi yang gagal
diupayakan dengan penuh komited oleh kerajaan Pas secara meluas, kini
masalah lain pula timbul yang pada akhirnya merugikan imej Islam Pas dan
rakyat negeri Kedah sendiri.
Sikap dan pendekatan kepimpinan Menteri Besar Kedah yang sudah
sinonim dalam kalangan rakyat Jelapang Padi sebagai Menteri Besar serba
tidak tahu.
Walhal perkara yang disoal dan dituntut penjelasan lazimnya adalah di
bawah bidang kuasa dan domain dirinya selaku Menteri Besar.
Misalnya, sebarang cek pembayaran bagi PKNK, Menteri Besar adalah salah seorang yang wajib menandatanganinya selaku Pengerusi.
Jadi, tatkala timbul isu pembelian saham FGV, bagaimana mungkin Ustaz
Azizan boleh menyalahkan Ahli Lembaga Pengarah PKNK dan menyatakan
bahawa beliau tidak dimaklumi tentang pembelian lebih 500,000 unit saham
berkenaan.
Jika demikian tandatangan siapakah di atas cek bayaran yang melebihi
RM2 juta yang dibuat PKNK untuk pembayaran harga saham berkenaan?
Demikian juga permasalah induk lain seperti isu berleluasanya pusat
hiburan dan himpitan hidup rakyat Baling kesan pembalakan menggila
hingga air paip di rumah daripada jernih bertukar menjadi keruh menyala.
Apabila diajukan soalan; dengan selamba Menteri Besar yang bergelar
Ustaz ini sekali lagi melepaskan tanggungjawabnya dengan kata sinis:
'Saya tidak tahu, kelulusan pusat hiburan di bawah bidang kuasa PBT,
Pejabat Daerah dan polis."
Dan untuk jawapan bagi masalah air paip keruh di Baling jawapan
mudahnya: "Itu semua kuasa Allah menurunkan hujan dan hujan lebat
menyebabkan hakisan tanah lalu masuk ke dalam aliran sungai utama. Maka
sungai menjadi keruh sebab itu air paip turut menjadi keruh."
No comments:
Post a Comment