SEBAGAI anak Selangor saya benar-benar berasa
kecewa dan kesal dengan apa yang berlaku dalam pentadbiran kerajaan
Parti Keadilan Rakyat (PKR) sekarang.
Terlalu banyak mainan politik yang berlaku sehinggakan soal kesejahteraan rakyat seolah-olah dipinggirkan begitu sahaja.
Selepas krisis air masih belum menampakkan sebarang penyelesaian
sebaliknya menampakkan kedegilan kerajaan negeri, kini timbul pula isu
pengambilalihan hutang Talam Corporation Berhad oleh Perbadanan
Kemajuan
Negeri Selangor (PKNS) berjumlah RM392 juta.
Saya bukan ahli politik dan saya tidak menyertai mana-mana parti
tetapi sebagai rakyat Selangor, saya ingin bertanya kepada PKNS, apakah
benar dakwaan ini?
PKNS terutama Pengurus Besarnya, Othman Omar tidak boleh mengamalkan
sikap mendiamkan diri sahaja dengan apa yang dibangkitkan oleh pelbagai
pihak dalam soal berkenaan.
Othman dan PKNS tidak boleh melihat bahawa isu hutang ini telah
dipolitikkan kerana jumlah yang terlibat bukan sedikit iaitu RM392 juta.
Kalaulah dakwaan yang dibuat oleh pihak-pihak berkenaan tidak betul
maka PKNS harus mengambil tindakan undang-undang.
PKNS ada hak dan kuasa untuk bertindak kerana ini melibatkan dakwaan
yang serius tetapi malangnya kita lihat PKNS hanya mendiamkan diri.
Biarpun diserang bertalu-talu dalam media sehingga mewujudkan pelbagai
persepsi tetapi PKNS masih 'kebal' bertahan dan sekali gus menimbulkan
persoalan mengenai kebenaran dakwaan berkenaan.
Ramai yang percaya kalau PKNS tidak menjadi penyelesai hutang kepada
Talam sebanyak RM392 juta itu, mereka sudah tentu akan menjawab semua
tuduhan tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.
Mungkin Othman dan PKNS telah diarahkan oleh pihak tertentu untuk
tidak memberikan sebarang ulasan tetapi persoalannya apakah ia tindakan
yang bijak? Kedua-dua pihak itu perlu faham bahawa rakyat Selangor
mahukan penjelasan dan bukannya hanya membiarkan sahaja isu berkenaan
terus menjadi perdebatan.
Saya percaya kalau isu ini melibatkan mana-mana anak syarikat
kerajaan negeri di bawah Barisan Nasional (BN) sudah pasti pakatan
pembangkang akan menyerang habis-habisan.
Mereka akan menuduh BN mengamalkan rasuah dan penyelewengan tetapi
kenapa dalam isu ini pakatan pembangkang boleh mendiamkan diri?
Saya ingin bertanya ke mana perginya pejuang-pejuang dalam pakatan
pembangkang yang sebelum ini ghairah menyerang pemimpin BN dengan
pelbagai tuduhan tetapi tidak berkata apa-apa apabila melibatkan
kerajaan negeri di bawah pentadbiran mereka.
Kalau benar mereka berjuang untuk rakyat dan menentang sebarang
penyelewengan, maka dalam isu penyelesaian hutang Talam oleh PKNS ini,
mereka juga perlu bersuara.
Kalau benar PKNS begitu bermurah hati membantu Talam maka saya juga
berharap ia akan bersedia memberi sumbangan bagi membolehkan golongan
bawahan di Selangor menduduki kediaman lebih selesa.
Cuba bayangkan berapa banyak rumah yang boleh dibina oleh PKNS dengan
jumlah RM392 juta itu. Tak kanlah wang sebanyak itu boleh digunakan
sewenang-wenangnya untuk menyelesaikan hutang pihak lain yang tiada
kaitan dengan rakyat Selangor?
Apa pun rakyat Selangor menanti penjelasan Othman dan PKNS. Janganlah
terus mendiamkan diri,kami rakyat Selangor ingin mengetahui kedudukan
sebenar. Bersuaralah dan berikanlah penjelasan.
Othman dan PKNS perlu membuktikan bahawa mereka berada di pihak yang
benar kerana tindakan mendiamkan diri hanya mengesahkan segala dakwaan
itu benar.
KOMEN : TAK PAYAH TANYALAH... ABIS-ABIS KAWAN NI AKAN KATA SAYA YANG MENURUT PERINTAH.... BALA JADINYA...
No comments:
Post a Comment