Pilih pemimpin berwibawa - PM
PEKAN 6 Julai - Datuk Seri Najib Tun Razak
berkata, kisah manis Malaysia yang sarat dengan kejayaan sejak dulu
sampai sekarang bukanlah sesuatu yang boleh berlaku dengan sendiri
sebaliknya bergantung kepada faktor kepimpinan.
Menurut Perdana Menteri, jika kepimpinan yang dipilih tidak mempunyai
kemampuan, kewibawaan dan wawasan sehingga tidak mampu melaksanakan apa
yang dirancang maka kisah kejayaan itu akan bertukar menjadi igauan dan
cerita menyedihkan.
''Dan perubahan besar yang kita alami sejak dulu hingga sekarang
bukan hanya tertumpu di bandar utama seperti Kuala Lumpur dan Lembah
Klang tetapi turut menjalar di kawasan luar bandar.
''Daripada perkara besar sehinggalah yang kecil, hampir semua dapat
diusahakan kerajaan kita dan ini bukanlah sesuatu yang boleh berlaku
dengan sendirinya, tetapi ia adalah soal kepimpinan," katanya.
Beliau berucap pada majlis penyampaian bantuan pakaian hari raya
kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta penyerahan enjin bot dan
bot fiber kepada nelayan di Bangunan UMNO Pekan, di sini hari ini.
Hadir sama, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan kepimpinan UMNO Bahagian Pekan.
Sehubungan itu, Perdana Menteri mengingatkan rakyat supaya tidak
mengambil mudah nikmat yang diperolehi terutama keamanan dan kestabilan
kerana semua itu akan terlepas jika tersilap membuat perhitungan.
Dalam pada itu, Najib sekali lagi mengingatkan mengenai sikap
pembangkang yang gemar mengajar perkara-perkara yang tidak baik kepada
rakyat menerusi tiga perkara yang pernah disebutnya sebelum ini.
Katanya, sedangkan tiga perkara berkenaan yang cuba diterapkan kepada
rakyat iaitu hutang tak perlu dibayar, budi tidak perlu dikenang dan
janji tidak perlu ditunai bertentangan ajaran agama.
Sementara itu, Najib turut menyerahkan bantuan enjin sangkut Red 1 dan bot fiber kepada 52 nelayan dari sekitar daerah itu.
Bantuan enjin dan bot sumbangan daripada syarikat milik penuh
kerajaan, Technology Park Malaysia Corporation Sdn. Bhd. (TPM) itu
bernilai RM7,000 setiap satu.
Enjin 13 kuasa kuda itu mampu bergerak sehingga kelajuan 17 knot dan
memerlukan pengendalian seorang nelayan sahaja kerana ia mampu bergerak
lancar di setiap sudut berbanding enjin sangkut.
Pada majlis yang sama, Najib turut menyampaikan sumbangan baju raya
kepada 45 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di seluruh daerah itu.
Penyerahan baju raya itu disampaikan kepada wakil setiap NGO yang mewakili ahli mereka yang berjumlah kira-kira 8,000 orang.
Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pekan turut menerima
sumbangan sebanyak 1,000 kelambu berubat daripada syarikat Posco dari
Korea Selatan.
Kelambu terbabit akan diagihkan kepada penduduk luar bandar terutamanya masyarakat Orang Asli dan sekolah di luar bandar.
Kemudiannya, Najib turut menyerahkan lima buah van kepada UMNO Bahagian Pekan bagi membantu rakyat di Parlimen itu.
Penyerahan van terbabit disampaikan kepada setiap Ahli Dewan Undangan
Negeri (ADUN) di Parlimen Pekan iaitu ADUN Chini, Datuk Abu Bakar
Harun; ADUN Peramu Jaya, Ibrahim Awang Ismail; ADUN Bebar, Datuk Ishak
Muhammad dan ADUN Pulau Manis, Khairuddin Mahmud.
KOMEN : KEPADA PEMIMPIN-PEMIMPIN YANG MERASA DIRI TAK BERWIBAWA TU BELAJAR-BELAJARLAH UNDURKAN DIRI... DAN KALAU ADA YANG TERASA SINDIRAN PM TU, JANGANLAH JADI GUNTING DALAM LIPATAN...
No comments:
Post a Comment