Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Wednesday 19 March 2014

MH370 - SAR fokus empat tugas utama


Oleh SHARAIMEI SHAIK 
AHMEDULLAH dan THOMAS CHONG
pengarang@utusan.com.my



HISHAMMUDDIN Tun Hussein menjawab soalan wartawan dalam sidang akhbar operasi mencari dan menyelamat MH370 di Pusat Media Hotel Sama-Sama, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang, semalam. Hadir sama, Anifah Aman (kanan) Azharuddin Abdul Rahman (dua dari kiri) dan Ahmad Jauhari Yahya (kiri).

SEPANG 18 Mac - Fokus utama operasi mencari dan menyelamat (SAR) kehilangan pesawat MH370 yang masuk hari ke-11 kini ditumpukan kepada empat tugas utama iaitu mengumpul maklumat dari radar dan satelit, analisis data radar, meningkatkan aset mencari dan menyelamat serta penglibatan lebih ramai pakar teknikal.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyifatkan operasi SAR itu yang masuk hari ketiga fasa baharu menjadi semakin kompleks, teknikal dan melibatkan banyak negara.

Berikutan itu, beliau berkata, semua 26 negara yang terlibat dalam operasi tersebut terpaksa meningkatkan keupayaan bagi mengesan pesawat jenis Boeing 777-200 itu di wilayah dan kawasan sektor pencarian masing-masing.

"Dari segi logistik, kita telah berusaha dalam tempoh 24 jam ini dengan negara terlibat untuk menumpukan operasi di kawasan koridor masing-masing. Kita telah berjaya memperoleh beberapa maklumat daripada data satelit negara terbabit.

"Berhubung analisis data radar, Australia dan Indonesia serta China dan Kazakhstan masing-masing bersetuju untuk mengetuai operasi di bahagian koridor selatan dan utara serta kawasan berdekatan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar operasi mencari dan menyelamat pesawat MH370 yang hilang sejak pagi Sabtu, 8 Mac di Pusat Media Hotel Sama-Sama di sini hari ini.

Yang hadir sama Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman; Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines (MAS), Ahmad Jauhari Yahya.

Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata, beliau juga telah menghubungi semua pemimpin utama negara ASEAN untuk meminta mereka terus menghulurkan bantuan dalam operasi tersebut termasuk menghantar aset yang mampu mengesan di lautan dalam.

Pada masa sama, katanya, pihaknya juga meminta beberapa negara yang telah membantu memberi maklumat tentang data radar primer mereka sebelum ini untuk melihat semula radar tersebut.

Mengulas tentang terdapat laporan bahawa radar primer pasukan keselamatan negara jiran, Thailand berjaya mengesan satu plot yang dipercayai pesawat tersebut, katanya, setakat ini pihaknya masih belum menerima maklumat lanjut.

"Saya sudah minta pihak keselamatan Thailand untuk kaji semula rakaman dari radar mereka, khususnya masa terakhir sejajar yang telah diputuskan untuk melihat semula di bahagian koridor selatan dan utara.

"Selain itu, saya juga telah menghubungi wakil dari Indonesia dan minta mereka untuk melihat semula radar primer dan maklumat satelit yang ada," katanya.

Dalam pada itu, menyentuh tentang operasi di kedua-dua koridor tersebut, beliau berkata, kawasan di koridor selatan dan utara masing-masing dipecahkan kepada tujuh kuadran.

Katanya, seluruh kuadran tersebut meliputi kawasan keseluruhan seluas 160,000 batu nautika persegi.

"Secara keseluruhan operasi mencari ini meliputi kawasan seluas 2.24 juta batu nautika persegi dan ini merupakan kawasan yang luas. Ini merupakan salah satu sebab Malaysia tidak mampu untuk menggerakkan operasi ini bersendirian.

"Sehubungan itu, saya gembira dengan kesanggupan banyak negara untuk tampil ke hadapan dan membantu dalam operasi ini," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140319/dn_01/SAR-fokus-empat-tugas-utama#ixzz2wNOs5i6i  © Utusan Melayu (M) Bhd


1 comment:

Anonymous said...

SLM BRO...ANUWAR HNTR BOMOH PON X GUNE..YG BESTNYE WAN JIJAH KENCING ATS PENTAS SALAHKAN 26 NEGARE YG X COMPETENT..SUH JEK DIA G CARI SENDIRI BARU DIA TAU HUHUHU