Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Monday, 17 March 2014

MH 370 - Rakyat seluruh negara terus berdoa






Berserah menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan (tiga kiri) bersama jemaah mengaminkan doa memohon agar penumpang dan anak kapal MH370 selamat serta ditemui semula selepas solat hajat di Masjid Negeri, Seremban, semalam. - Abd Razak Aid

KUALA LUMPUR 14 Mac - Solat Jumaat hari ini lebih istimewa apabila masjid di seluruh negara mengadakan solat hajat memohon keselamatan penumpang dan anak kapal pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang sejak Sabtu lalu.

Di samping berdoa memohon Allah mempermudah usaha mencari dan menyelamat pesawat yang sudah tujuh hari hilang itu, terdapat juga masjid-masjid yang mengadakan solat istisqa bagi memohon hujan berikutan cuaca kering dan jerebu yang melanda kebanyakan negeri ketika ini.

Di JOHOR, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menitahkan lebih 800 buah masjid dan surau di negeri tersebut mengadakan solat sunat hajat selepas mengerjakan solat Jumaat hari ini.

Antara masjid yang berbuat demikian ialah Masjid Sultan Abu Bakar di sini membabitkan 2,000 jemaah diketuai oleh imam masjid itu, Khalid Sono dan turut disertai Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Nooh Gadut.

Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) Muar juga buat pertama kali mengadakan solat Jumaat dan solat sunat hajat di Surau As-Syakirin di pusat itu memohon misi mencari pesawat MH370 dipermudahkan.

Solat yang disertai oleh 81 orang tahanan turut memohon supaya masalah jerebu dan demam denggi mampu ditangani selain keamanan negara dapat dikekalkan.

Di PAHANG, kira-kira 1,000 orang menunaikan solat sunat hajat selepas selesai solat Jumaat di Masjid Sultan Ahmad 1.

Selain memohon keselamatan penumpang dan kru MH370, solat sunat hajat yang diimamkan oleh Shaifuddin Ngah turut memohon kepada Allah supaya memudahkan urusan mencari pesawat yang hilang berkenaan.

Para jemaah turut memohon doa kepada Allah agar diturunkan hujan bagi meredakan cuaca panas dan kering yang melanda negara kini.

Di KEDAH, cuaca terik tidak menghalang lebih 500 umat Islam menunaikan solat hajat mendoakan keselamatan pesawat MH370 serta solat istisqa di pekarangan Masjid Zahir.

Datuk Syeikh Muhamad Baderudin Ahmad memimpin solat hajat yang turut disertai Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr. Mahathir dan exco-exco kerajaan negeri.

Selain mengadakan solat hajat selepas solat Jumaat, ada juga tempat yang melakukannya lebih awal pada waktu pagi seperti di PERAK yang turut disertai oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir; Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd. Yusof Husin; Ahli Perhubungan Pas Perak, Abu Bakar Hussien dan ahli-ahli Exco kerajaan negeri.

Mereka bersama lebih 1,000 orang jemaah mengadakan solat sunat istisqa memohon hujan dan solat hajat memohon keselamatan penumpang pesawat Malaysia Airlines MH370 di ruang tempat meletak kenderaan di Masjid Sultan Idris Shah II pada pukul 9 pagi.

Solat itu diimamkan oleh Imam Besar masjid berkenaan, Abdul Farid Salleh dan turut disertai anggota pasukan keselamatan negara seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan pelajar-pelajar dari beberapa sekolah berasrama penuh sekitar Ipoh.

Di MELAKA, lebih 550 pelajar dan warga pendidik Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sultan Muhamad, Batu Berendam turut melakukan solat hajat bagi tujuan yang sama pagi ini yang dipimpin Khairil Anuar Salin dan disertai Exco Pemuda UMNO, Mohd. Rafiq Naizamohideen.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140315/dn_27/Rakyat-seluruh-negara-terus-berdoa#ixzz2wBLHcwDa  © Utusan Melayu (M) Bhd


No comments: