Oleh SAYED HESHAM IDRIS
sukan@utusan.com.my
IPOH - Dua gol menerusi pukulan penalti sudut membantu skuad negara bangkit untuk mengikat juara Asia empat kali, Korea Selatan 2-2 pada kejohanan hoki Piala Sultan Azlan Shah di sini semalam yang turut disaksikan oleh Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah.
Shahril Saabah memulakan kebangkitan skuad negara yang ketinggalan 0-2 pada babak pertama menerusi jaringannya pada minit ke-58 untuk kedudukan 1-2. Faizal Shaari memastikan skuad negara berkongsi mata hasil jaringan penyamaan pada minit ke-65.
Sebelum itu, skuad Muhammad Dharma Raj Abdullah, yang turun dengan penuh semangat ke padang Stadium Azlan Shah setelah mengalahkan Afrika Selatan 3-2 dalam perlawanan pembukaan Khamis lalu, bermula hambar apabila ketinggalan dua gol pada babak pertama.
Korea Selatan yang membariskan skuad terkuatnya pada kejohanan kali ini mudah membolosi pintu gol skuad negara pada minit ke-10 menerusi jaringan padang Oh Dae Keun.
Juara Asia empat kali itu terus mengukuhkan kedudukan 2-0 pada minit ke-30, sekali lagi menerusi Dae Keun yang menahan bola dan membuat kuisan untuk menewaskan penjaga gol muda negara, Hafizuddin Othman.
Skuad negara cuba bangkit pada babak kedua dengan beberapa asakan namun tidak menjadi sebaliknya hampir dikejutkan dengan gol ketiga Korea Selatan pada minit ke-38, namun Hafizuddin lebih bersedia menampan percubaan pemain lawan susulan daripada pukulan penalti sudut.
Kelemahan meraih gol menerusi pukulan sudut yang menjadi masalah sebelum ini ternyata berjaya diperbaiki apabila menerusi dua situasi itu berjaya menghasilkan gol penyamaan.
Ia bermula pada ke-58 apabila Shahril Saabah bijak melakukan pukulan yang menewaskan penjaga gol lawan Lee Myung Ho untuk kedudukan 1-2.
Pada minit ke-65, Malaysia memperoleh satu lagi pukulan sudut penalti dan Faizal Shaari melakukan tolakan kemas untuk gol penyamaan.
Sementara itu, dalam perlawanan awal, Australia meneruskan pesta gol apabila membelasah Kanada 6-0 setelah mengalahkan China 7-0 dalam aksi pembukaan kejohanan Khamis lalu.
Pasukan juara bertahan itu mendahului 3-0 pada babak pertama menerusi Glenn Simpson (m-10), Jeremy Hayward (m-26) dan Nicholas Budgeon (m-35).
Australia meneruskan penguasaan pada babak berikutnya untuk menambah tiga lagi gol menerusi Rusell Ford (m-46) dan dua jaringan Jacob Whetton (m-54 dan m-64).
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140317/su_01/Malaysia-bangkit-ikat-Korea#ixzz2wC3u6Ukm © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment