SEPANG 16 Mac - Usaha mencari dan menyelamat penumpang pesawat MH370 telah menjadi usaha multinasional melibatkan 25 negara dengan dipimpin oleh Malaysia.
Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, fasa baharu pencarian pesawat MH370 adalah lebih rumit dan susah kerana bukan sahaja melibatkan lautan dalam dan kawasan terpencil, tetapi turut membabitkan kawasan tanah luas menjangkau 11 negara.
Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menghubungi pemimpin tertinggi Bangladesh, Turkmenistan, Kazakhstan dan India untuk membantu dalam usaha mengesan pesawat MH370 yang hilang lebih seminggu lalu.
Menurutnya, Kementerian Luar pada masa yang sama turut memberi taklimat kepada wakil dari 22 negara serta meminta bantuan termasuk pembekalan data radar tentera, data satelit selain bantuan lain yang difikirkan sesuai.
"Negara-negara ini termasuk Kazakhstan, Turkmenistan, Uzbekistan, Pakistan, Bangladesh, India, China, Myanmar, Laos, Vietnam, Thailand, Indonesia dan Australia.
"Pencarian di kawasan yang lebih luas memberi cabaran baharu dalam soal penyelarasan usaha mencari dan menyelamat," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Turut hadir ialah Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam, Datuk Azharuddin Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS, Ahmad Jauhari Yahya.
Menurut Hishammuddin, Kuala Lumpur menghargai sokongan padu yang diberikan oleh masyarakat antarabangsa untuk membantu Malaysia mengesan pesawat MH370.
"Pasukan dari Satelit Inmarsat turut sampai di Malaysia untuk membantu mengenal pasti kedudukan pesawat ini," katanya.
Perdana Menteri sebelum ini berkata, berdasarkan komunikasi dengan satelit, pesawat MH370 boleh berada di koridor utara yang meliputi utara Thailand hingga sempadan Kazakhstan-Turkmenistan atau di koridor selatan meliputi kawasan dari Indonesia hingga selatan Lautan Hindi.
Mengenai andaian pesawat MH370 akan menuju ke koridor selatan jika individu yang mengawalnya berniat membunuh diri dan pesawat akan menghala ke koridor utara jika juruterbangnya menyimpan motif politik, Hishammuddin berkata, siasatan misteri kehilangan pesawat MH370 tidak dilakukan berdasarkan andaian tersebut.
Sementara itu, Kementerian Pengangkutan dalam satu kenyataan berkata, tumpuan sama akan diberikan kepada koridor utara dan selatan dalam usaha mengesan pesawat MH370.
Menurut kenyataan itu, Malaysia akan berbincang dengan rakan-rakannya mengenai cara terbaik untuk menghantar aset ke koridor utara dan selatan.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140317/dn_04/Kini-operasi-libatkan-25-negara#ixzz2wC0sWWgz © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment