Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Tuesday, 31 July 2012

Othman, PKNS jangan diam diri




SEBAGAI anak Selangor saya benar-benar berasa kecewa dan kesal dengan apa yang berlaku dalam pentadbiran kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sekarang.

Terlalu banyak mainan politik yang berlaku sehinggakan soal kesejahteraan rakyat seolah-olah dipinggirkan begitu sahaja.

Selepas krisis air masih belum menampakkan sebarang penyelesaian sebaliknya menampakkan kedegilan kerajaan negeri, kini timbul pula isu pengambilalihan hutang Talam Corporation Berhad oleh Perbadanan 
Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berjumlah RM392 juta.

Saya bukan ahli politik dan saya tidak menyertai mana-mana parti tetapi sebagai rakyat Selangor, saya ingin bertanya kepada PKNS, apakah benar dakwaan ini?

PKNS terutama Pengurus Besarnya, Othman Omar tidak boleh mengamalkan sikap mendiamkan diri sahaja dengan apa yang dibangkitkan oleh pelbagai pihak dalam soal berkenaan.

Othman dan PKNS tidak boleh melihat bahawa isu hutang ini telah dipolitikkan kerana jumlah yang terlibat bukan sedikit iaitu RM392 juta. Kalaulah dakwaan yang dibuat oleh pihak-pihak berkenaan tidak betul maka PKNS harus mengambil tindakan undang-undang.

PKNS ada hak dan kuasa untuk bertindak kerana ini melibatkan dakwaan yang serius tetapi malangnya kita lihat PKNS hanya mendiamkan diri. Biarpun diserang bertalu-talu dalam media sehingga mewujudkan pelbagai persepsi tetapi PKNS masih 'kebal' bertahan dan sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kebenaran dakwaan berkenaan.

Ramai yang percaya kalau PKNS tidak menjadi penyelesai hutang kepada Talam sebanyak RM392 juta itu, mereka sudah tentu akan menjawab semua tuduhan tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Mungkin Othman dan PKNS telah diarahkan oleh pihak tertentu untuk tidak memberikan sebarang ulasan tetapi persoalannya apakah ia tindakan yang bijak? Kedua-dua pihak itu perlu faham bahawa rakyat Selangor mahukan penjelasan dan bukannya hanya membiarkan sahaja isu berkenaan terus menjadi perdebatan.

Saya percaya kalau isu ini melibatkan mana-mana anak syarikat kerajaan negeri di bawah Barisan Nasional (BN) sudah pasti pakatan pembangkang akan menyerang habis-habisan.

Mereka akan menuduh BN mengamalkan rasuah dan penyelewengan tetapi kenapa dalam isu ini pakatan pembangkang boleh mendiamkan diri?

Saya ingin bertanya ke mana perginya pejuang-pejuang dalam pakatan pembangkang yang sebelum ini ghairah menyerang pemimpin BN dengan pelbagai tuduhan tetapi tidak berkata apa-apa apabila melibatkan kerajaan negeri di bawah pentadbiran mereka.

Kalau benar mereka berjuang untuk rakyat dan menentang sebarang penyelewengan, maka dalam isu penyelesaian hutang Talam oleh PKNS ini, mereka juga perlu bersuara.

Kalau benar PKNS begitu bermurah hati membantu Talam maka saya juga berharap ia akan bersedia memberi sumbangan bagi membolehkan golongan bawahan di Selangor menduduki kediaman lebih selesa.

Cuba bayangkan berapa banyak rumah yang boleh dibina oleh PKNS dengan jumlah RM392 juta itu. Tak kanlah wang sebanyak itu boleh digunakan sewenang-wenangnya untuk menyelesaikan hutang pihak lain yang tiada kaitan dengan rakyat Selangor?

Apa pun rakyat Selangor menanti penjelasan Othman dan PKNS. Janganlah terus mendiamkan diri,kami rakyat Selangor ingin mengetahui kedudukan sebenar. Bersuaralah dan berikanlah penjelasan.

Othman dan PKNS perlu membuktikan bahawa mereka berada di pihak yang benar kerana tindakan mendiamkan diri hanya mengesahkan segala dakwaan itu benar.
                           
 KOMEN : TAK PAYAH TANYALAH... ABIS-ABIS KAWAN NI AKAN KATA SAYA YANG MENURUT PERINTAH.... BALA JADINYA...        

Legoland Malaysia dibuka 15 September ini


UTUSAN MALAYSIA
30/7/2012
SEORANG pekerja menyiapkan miniatur stesen kereta api Kuala Lumpur yang diperbuat daripada Lego di Legoland Malaysia.

KUALA LUMPUR 29 Julai - Legoland Malaysia, taman tema baru yang terletak di Iskandar Malaysia, Johor Bahru bakal dibuka kepada orang ramai pada 15 September ini.

Ketua Pegawai pembangunan Theme Attractions and Resorts Sdn. Bhd., Muhammad Zainal Ashikin berkata, taman tema itu telah 98 peratus siap dengan sebahagian besar infrastruktur dan permainan sudah pun dipasang.

"Kami kini di dalam proses untuk meletakkan sentuhan terakhir dengan pengujian permainan, pemasangan 15,000 model-model Lego menggunakan 50 juta kepingan Lego dan proses terakhir pengindahan taman mengikut tema," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Legoland Malaysia adalah taman tema pertama seumpamanya di rantau ini, diuruskan oleh Theme Attractions and Resorts, sayap operasi dan pengurusan Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) bagi Bahagian Rekreasi dan Pelancongan.

Taman tema Legoland itu adalah keenam di dunia selepas Legoland Billund, Legoland Windsor, Legoland California, Legoland Deutschland dan Legoland Florida.

Legoland Malaysia itu turut dibangunkan bersama Merlin Entertainments dengan kos RM720 juta di kawasan seluas 31 hektar di Medini North, pusat gaya hidup Iskandar Malaysia.

Muhammad Zainal berkata, pihaknya menyasarkan sejumlah sejuta pelancong pada tahun pertama operasi Legoland Malaysia.

Menurut beliau, setakat ini hampir 63,000 pas tahunan dan pas harian telah dijual kepada orang ramai sejak ia dilancarkan lewat tahun 2011.

Mengulas mengenai perkembangan projek-projek lain di sekitar Legoland, Muhammad Zainal menambah, pihaknya juga merancang pelbagai pembangunan lain seperti taman tema air dan Hotel Legoland pada 2014.


3 golongan ancam keselamatan


KUCHING 29 Julai - Tiga kategori golongan pelampau iaitu ekstremis agama, politik dan sosial dikhuatiri mampu mengancam keselamatan negara sekiranya ia tidak ditangani lebih awal.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Ancaman Ekstremis Sosial Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Datuk Mohd. Sofian Md. Makinuddin (gambar) berkata, ledakan teknologi maklumat yang berkembang pesat pada masa kini menjadikan ancaman era baru itu lebih berbahaya berbanding ancaman komunis.

Ini kerana kata beliau, menerusi teknologi itu terutama media sosial baharu, golongan pelampau berpeluang menyebarkan setiap idealisme songsang dan mempengaruhi pemikiran rakyat dengan cepat ke seluruh negara.

“Dulu kita diancam komunis, namun ia telah pun berakhir dan negara berjaya mengharunginya dengan baik.

“Kini kita berdepan dengan ancaman pihak tertentu yang berselindung di belakang pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan menggunakan agama, kaum serta sosial sebagai alat untuk mempengaruhi rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Menangani Isu Keselamatan Dalam Program Transformasi Kerajaan pada Forum Program Transformasi dan Isu-Isu Keselamatan anjuran Persatuan Graduan Dayak Sarawak (SDGA) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Sofian berkata, antara budaya negatif yang dibawa masuk golongan pelampau terbabit adalah demonstrasi jalanan serta amalan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dengan alasan memperjuangkan hak asasi manusia.

“Memandangkan pilihan raya semakin dekat, kita percaya golongan itu akan mengeksploitasi apa sahaja isu berkaitan agama, kaum dan sosial untuk meraih undi serta sokongan rakyat," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Sofian bersetuju dengan saranan seorang peserta forum supaya istilah pengebom berani mati digantikan dengan ‘pengebom taksub’ atau ‘pengebom sesat’.


Thursday, 26 July 2012

PUNCANYA SI KHALID

BN persoal niat sebenar kerajaan negeri salahkan Syabas, Pusat
DARI UTUSAN MALAYSIA
25/7/2012


SHAH ALAM 24 Julai - Barisan Nasional (BN) Selangor mempersoal niat sebenar kerajaan negeri yang dilihat sering menjadikan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) sebagai 'sasaran' bagi melepaskan tanggungjawab berhubung krisis bekalan air terawat di negeri ini.

Koordinatornya, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan sikap kerajaan negeri terhadap Syabas itu hanya untuk kepentingan politik bertujuan menyalahkan syarikat tersebut serta kerajaan Persekutuan kononnya sebagai punca kepada krisis air.

Katanya, kerajaan negeri perlu sedar mereka sebenarnya mempunyai 30 peratus saham dalam Syabas yang mana pegangan ekuiti itu sudah cukup signifikan bagi mempengaruhi dasar syarikat tersebut dalam memastikan perkhidmatan perbekalan air terawat di negeri ini.

"Jika mereka mengatakan Syabas kroni kepada BN, apakah mereka lupa mereka ada pegangan saham 30 peratus dalam syarikat tersebut. Malah, mereka perlu akui pembinaan Langat 2 itu mampu menampung krisis bekalan air terawat di negeri ini.

"Apabila kerajaan negeri mengatakan Syabas gagal melaksanakan perbelanjaan modal (Capex) untuk menangani masalah kadar air tidak terhasil, kerajaan negeri sepatutnya sedar merekalah yang membekukan Syabas daripada melaksanakan Capex sejak 2008," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengagihkan 1,000 juadah berbuka puasa kepada para pengguna Komuter di Stesen Komuter Seksyen 19, di sini hari ini.

Turut hadir, Presiden Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Datuk Elias Kadir; Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Shah Alam, Azhari Shaari dan Pengerusi Sekretariat Orang Muda Selangor (Serang), Budiman Mohd. Zohdi.

Pada masa sama, Mohd. Zin turut mempersoalkan mengapa kerajaan negeri tidak merujuk kepada dua lagi syarikat konsesi air di negeri ini iaitu Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn. Bhd. (Splash) dan Konsortium Abass Sdn. Bhd. (Abass) mengenai situasi bekalan air terawat di negeri ini.

"Abass dan Splash sudah tentu tahu mengenai fakta sebenar bekalan air terawat yang dihasilkan kerana masing-masing menguruskan loji rawatan air Semenyih dan loji rawatan air Sungai Selangor bagi fasa 2 dan fasa 3," katanya.

Selain itu, beliau turut menyifatkan keputusan kerajaan Persekutuan menolak cadangan kerajaan negeri mengambil alih Syabas keputusan tepat dan menganggap tindakan kerajaan negeri yang mahu melaksanakan referendum rakyat ekoran keputusan tersebut hanyalah helah politik semata-mata.

"Apa perlunya referendum jika pelan menangani krisis bekalan air terawat telah pun ada menerusi pembinaan Langat 2. Kenapa pula kerajaan negeri tidak mengaitkan Abass dan Splash dalam cadangan mengadakan referendum itu?

"Apa yang jelas cadangan referendum itu hanya merujuk kepada Syabas dan kerajaan Pusat semata-mata. Maka, kita melihat cadangan itu seolah-olah helah politik semata-mata," tegasnya.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Zin yang juga Ahli Parlimen Sepang mendesak kerajaan negeri mengemukakan kertas putih berhubung proses kutipan hutang Talam Corporation Bhd. (Talam) yang tidak dilaksanakan sehingga ke hari ini.

Pada masa sama, beliau mempersoalkan tahap ketelusan kerajaan negeri dalam membekalkan maklumat proses kutipan hutang Talam kepada firma audit bebas yang dilantik untuk tujuan itu.

Selain itu, beliau turut meminta kerajaan negeri memberikan penjelasan mengenai peruntukan RM300 juta Geran Selangorku sama ada diperoleh daripada kutipan hutang Talam selain kriteria yang digunakan kerajaan negeri dalam memilih tanah yang dibeli daripada Talam untuk menampung kutipan hutang berkenaan.


Jangan siakan Ramadan


Kemuliaan Ramadan janganlah dicemari dengan berlebih-lebihan dalam soal penyediaan makanan. - Gambar hiasan

ALHAMDULILLAH, syukur tidak terhingga kepada Allah SWT kerana kita telah dianugerahkan sekali lagi kesempatan untuk menjadi tetamu Ramadan. Ia seumpama tempat persinggahan sementara yang mempunyai timbunan rahmat dan kasih-sayang daripada Allah SWT, sebelum kita meneruskan perjalanan ke negeri yang abadi.

Seorang cendekiawan Islam pernah berkata bahawa hidup ini umpama perjalanan sebuah kereta api. Setiap tempat yang menjadi persinggahan tidak akan dijumpai lagi selepas itu. Perjalanannya akan berakhir apabila sampai ke destinasi yang sepatutnya.

Itulah perumpamaan yang boleh dibuat untuk menggambarkan kehidupan kita di dunia yang fana ini. Setiap masa yang dilalui tidak akan kembali lagi. Semalam semestinya tidak sama dengan hari ini dan hari ini tidak mungkin sama dengan esok.

Ramadan yang telah berlalu juga tidak akan sama dengan Ramadan kali ini. Kita tidak akan dapat melalui semula perhentian Ramadan yang telah berlalu. Apa yang boleh dibawa adalah nilai dan hasilnya bersama.

Berapa ramai di kalangan orang yang rapat dengan kita tidak sempat bersama-sama dengan kita pada Ramadan hari ini. Mereka mungkin berbuka puasa dan menunaikan solat terawih bersama kita pada Ramadan yang lalu, namun malangnya mereka sudah tidak berkesempatan untuk bersama-sama dengan kita pada kali ini.

Mereka yang sedang membaca tulisan ini perlu merasa bertuah dan beruntung kerana dipilih oleh Allah SWT sekali lagi untuk menggarap sebanyak mungkin pahala yang disediakan oleh Allah SWT.

Pepatah Melayu ada menyebut; "Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna." Pepatah ini cukup bermakna kerana ia menganjurkan kita supaya sentiasa membuat muhasabah terhadap kehidupan kita sebelum ini. Allah SWT sengaja menyebutkan beberapa ayat yang menjelaskan penyesalan mereka yang mensia-siakan kehidupan di dunia ini.

Antaranya ialah firman Allah SWT: Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin. (al-Sajadah: 12)

Dan firman Allah SWT: Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang daripada kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka dia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi daripada orang-orang yang soleh. (al-Munafiqun: 10)

Demikian juga hari-hari yang berlalu dalam hidup kita. Setiap masa yang dilalui sepatutnya digunakan semaksima mungkin kerana ia pastinya tidak berulang lagi. Umur yang dimiliki oleh kita mempunyai "tarikh luput"nya yang tersendiri.

Bahkan Allah SWT akan membangkitkan persoalan umur dan bagaimana kita memanfaatkannya di akhirat kelak. Sabda Nabi SAW: "Tidak akan terlepas dua kaki anak Adam di akhirat di hadapan Allah SWT, kecuali setelah ditanya dengan LIMA perkara; tentang umurnya bagaimana dia habiskan, tentang masa mudanya bagaimana digunakan, tentang hartanya dari mana datangnya, ke mana dibelanjakan harta tersebut dan apakah yang dilakukan dengan ilmunya. (riwayat Tirmidzi)


YANG PENTING JANJI DITEPATI

Peluang cerah BN menang PRU-13
Mohamed Mustafa Ishak (tiga dari kiri) Syed Arabi Aidid (kiri) Rohana Yusof, Zakri Abdul Hamid (tiga dari kanan), T. Selvakumar dan Fuad Mohd. Jali berbincang secara ringkas selepas Sesi Roundtable Discussion 'PRU13: Malaysia Pilih Siapa? di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 25 Julai - Barisan Nasional (BN) dilihat mempunyai peluang yang cerah untuk memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 termasuk menawan semula Selangor dan Kedah yang dikuasai pembangkang.

Pengerusi Pusat Kajian Sosial, Pembangunan dan Persekitaran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Fuad Mohd. Jali berkata, kesimpulan itu dibuat menerusi hasil kajian terhadap 1,400 responden di sekitar Kedah dan Selangor pada Mac dan April lalu.

Menurut beliau, pengundi di Selangor lebih memihak kepada BN manakala sokongan pengundi di Kedah terbahagi sama rata antara BN dan pembangkang.

''Secara keseluruhannya, sebanyak 69.6 peratus responden menyatakan BN akan memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 dengan 37.5 peratus yakin BN akan memperoleh majoriti dua pertiga dan 32.1 peratus berpandangan BN mendapat majoriti mudah.

''Di peringkat Parlimen pula, 57 peratus responden menyatakan akan memilih BN dan 54.1 peratus responden memilih BN di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN)," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kajiannya dalam sesi bertajuk 'Prestasi dan Potensi BN di Empat Negeri: Siapa Jadi Pilihan?' pada Perbincangan Meja Bulat bertema 'PRU13: Malaysia Pilih Siapa?' anjuran Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara di sini hari ini.

Selain Fuad, ahli-ahli panel sesi tersebut ialah bekas Rektor UIAM, Prof. Datuk Seri Dr. Syed Arabi Aidid dan Pengarah Koridor Utara UUM, Prof. Madya Dr. Rohana Yusof manakala Ketua Pengarang Berita The Star, T. Selvakumar bertindak sebagai moderator.

Selain itu, tambah Fuad, kajian sama mendapati 76 peratus rakyat berpandangan imej Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah lebih baik berbanding Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Kata beliau, secara purata 87.4 peratus daripada rakyat yang dikategorikan dalam kumpulan umur layak mengundi menyokong Najib dan Perdana Menteri juga mendapat sokongan daripada 75 peratus kaum Melayu, 69.6 peratus kaum Cina, 71 peratus kaum India, 85.5 peratus kaum Iban dan 84 peratus kaum bumiputera di Sarawak.

''Keyakinan yang tinggi terhadap kepimpinan Najib yang menerajui BN adalah berpunca daripada pelbagai transformasi bersifat populis dan praktikal yang berupaya menarik sokongan semua golongan.

''Antaranya pendekatan yang digunakan ialah media sosial seperti Facebook dan Twitter, konsep 1Malaysia, transformasi politik, petunjuk prestasi utama (KPI), Model Baru Ekonomi (MBE), Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Skim Rumah Pertamaku dan program pembangunan luar bandar," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, kata Fuad, kajian sama menunjukkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mencatatkan prestasi tercorot dalam kalangan tokoh kepimpinan negeri.

Sementara itu, Rohana ketika membentangkan kertas kerja bertajuk 'Perbandingan Prestasi dan Potensi BN Vs Pas di Negeri Kedah' memberitahu, kira-kira 54 peratus rakyat Kedah menolak kepimpinan kerajaan negeri yang diterajui Pas.

''Ini dapat ditafsirkan menerusi pandangan mereka yang menyatakan kegagalan kerajaan Pas Kedah menunaikan janji-janji yang dibuat pada PIlihan Raya Umum Ke-12. Mereka juga berpandangan Pas kecundang dengan konsep negara berkebajikan yang dijajanya," ujarnya.

Jelas beliau, kajian tersebut turut mendapati UMNO dan BN mempunyai kelebihan untuk merampas Kedah dari tangan Pas dan sekiranya senario itu berlaku, Timbalan Menteri Perdagangan  Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Tun Mahathir menjadi pilihan rakyat sebagai Menteri Besar.


BONUS RAYA BUKAN PILIHANRAYA....

Bonus kakitangan awam
DARI UTUSAN MALAYSIA
26/7/2012
NAJIB Tun Razak beramah mesra bersama pelajar Ma'ahad Tahfiz Akademi Iqro' Al-Quran, Bandar Baru Ampang pada Majlis Iftar Perdana Menteri Bersama Rakyat Selangor sempena Ramadan di Taman Nirwana, Ampang, Selangor, semalam. Turut sama Penyelaras Parlimen Ampang, Datuk Ismail Kijo (kiri). - UTUSAN/ABDUL RAZAK LATIF

KUALA LUMPUR 25 Julai - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju membayar bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju memberi Bayaran Khas Kewangan sebanyak RM500 kepada pesara kerajaan.

Bayaran itu akan dibuat pada 9 Ogos ini, katanya dalam kenyataan di sini.

Pemberian bonus dan bayaran khas itu akan memanfaatkan seramai 1.27 juta penjawat awam persekutuan dan 657,000 pesara kerajaan.

Najib berkata pemberian bonus dan bayaran khas kewangan itu dibuat berdasarkan kedudukan dan kemampuan kewangan kerajaan.

Beliau berkata bayaran itu akan melibatkan anggaran perbelanjaan sebanyak RM2.2 bilion.

Najib berkata, pemberian bonus dan bayaran khas itu merupakan penghargaan kerajaan kepada seluruh penjawat awam dan pesara kerajaan.

"Kerajaan sentiasa prihatin dan sangat menitikberatkan kebajikan penjawat awam dan para pesara kerajaan," katanya.

Beliau berharap langkah itu dapat membantu mereka membuat persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Najib berkata pembayaran bonus kepada penjawat awam itu bagi menghargai sumbangan dan dedikasi mereka dalam melaksanakan program pembangunan negara.

Sementara itu Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) hari ini menghargai usaha dan keprihatinan Perdana Menteri yang telah mengumumkan bonus dan bayaran khas kepada penjawat awam dan pesara kerajaan.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, pemberian berkenaan dapat meringankan beban penjawat awam dan pesara kerajaan dalam menghadapi musim perayaan akan datang.

"Saya amat berterima kasih kepada Datuk Seri Najib Tun Razak di atas pengumuman tersebut dan berharap setiap penerima menggunakan wang berkenaan secara bijak.

"Pemberian bonus ini menjadi suntikan semangat kepada setiap penjawat awam agar menjalankan tugas dengan lebih komited manakala bagi pesara pula terus menyokong program pembangunan negara,'' katanya ketika dihubungi di sini. - BERNAMA

KOMEN : SYUKUR ALHAMDULILLAH....AMIN....

Wednesday, 25 July 2012

TAKAN NAK TUNGGU 5 TAHUN LAGI?

Dilema rakyat Kedah selepas dikuasai Pas


TATKALA meraikan kemenangan Pas menguasai kerajaan Kedah mulai malam 8 Mac 2008, sikap optimis dalam kalangan pendokong gerakan Islam begitu terserlah.

Dengan komposisi penduduk Islam yang mewakili 75 peratus daripada 1.9 juta penduduk tentulah tidak mustahil untuk proses Islamisasi dilaksanakan.

Pun begitu, harapan demi harapan menemui kebuntuan. Paksi kebenaran, istiqamah memperjuangkan hudud, negara Islam, amal maaruf nahi mungkar, world view Islam, kepimpinan beramanah, berlaku adil dan ihsan kepada rakyat seolah-olah tidak lagi serasi dengan kepimpinan Pas Kedah.

Tanpa perlu menoleh kepada isu lebih rumit, teliti sahaja persoalan akhlak muda mudi di Kedah. Dahulunya Pas begitu mengambil serius peranannya sebagai 'penjaga moral'.

Apa jua keramaian melibatkan percampuran lelaki perempuan yang bukan muhrim pasti dipandang jelek. Kini, realitinya di Kedah tidak lagi. Malah menjadi satu sifat rencam dan bertambah momentumnya penyakit moral itu tatkala lebih 300 karaoke dibenarkan beroperasi selain beberapa buah kelab malam yang saiznya cukup luar biasa dan tidak pernah terbayang akan dibenarkan beroperasi pada zaman BN dulu.

'House Bar' di kawasan majoriti Melayu di Alor Mengkudu dan 'View Nite' di belakang Tesco Mergong yang menggabungkan dan mempamerkan toleransi pemerintahan Islam Pas yang jauh tersasar daripada kehendak ahli dan dasar mereka cita-citakan selama ini.

Ini belum dihitung keberanian gerombolan anak muda yang bersantai di dalam kenderaan masing-masing di hadapan Balai Besar mengadap Masjid Zahir saban malam, sambil melabuhkan tubuh badan mereka untuk aksi yang kurang menyenangkan.

Tidak boleh dilupakan juga aksi-aksi hebat lagi berani anak muda di Jalan Pegawai, Jalan Kuala Kedah dan beberapa jalan utama lain dalam Bandaraya Alor Setar yang sering menjadi trek perlumbaan bagi golongan istimewa yang dikenali 'Mat Rempit'.

Jika mahu ditambah kepada peningkatan gejala jenayah jalanan (misalnya kecurian motosikal, ragut) ketagihan gam, air ketum tentulah satu kajian empiris lain yang menggabungkan sumber data daripada pihak berkuasa boleh dilakukan.

Namun, secara generalisasi umum tidak boleh diketepikan bahawa angka dan peratusnya pasti bertambah kerana kepimpinan dan kerajaan Pas Kedah yang dulunya cukup konsisten memperjuangkan isu moral belia, kini sudah agak keletihan daripada memperkatakannya.

Apatah lagi menguat kuasa dan mempamerkan usaha tindakan.

Lantas tatkala kelemahan demi kelemahan, dasar Islamisasi yang gagal diupayakan dengan penuh komited oleh kerajaan Pas secara meluas, kini masalah lain pula timbul yang pada akhirnya merugikan imej Islam Pas dan rakyat negeri Kedah sendiri.

Sikap dan pendekatan kepimpinan Menteri Besar Kedah yang sudah sinonim dalam kalangan rakyat Jelapang Padi sebagai Menteri Besar serba tidak tahu.

Walhal perkara yang disoal dan dituntut penjelasan lazimnya adalah di bawah bidang kuasa dan domain dirinya selaku Menteri Besar.

Misalnya, sebarang cek pembayaran bagi PKNK, Menteri Besar adalah salah seorang yang wajib menandatanganinya selaku Pengerusi.

Jadi, tatkala timbul isu pembelian saham FGV, bagaimana mungkin Ustaz Azizan boleh menyalahkan Ahli Lembaga Pengarah PKNK dan menyatakan bahawa beliau tidak dimaklumi tentang pembelian lebih 500,000 unit saham berkenaan.

Jika demikian tandatangan siapakah di atas cek bayaran yang melebihi RM2 juta yang dibuat PKNK untuk pembayaran harga saham berkenaan?

Demikian juga permasalah induk lain seperti isu berleluasanya pusat hiburan dan himpitan hidup rakyat Baling kesan pembalakan menggila hingga air paip di rumah daripada jernih bertukar menjadi keruh menyala.

Apabila diajukan soalan; dengan selamba Menteri Besar yang bergelar Ustaz ini sekali lagi melepaskan tanggungjawabnya dengan kata sinis: 'Saya tidak tahu, kelulusan pusat hiburan di bawah bidang kuasa PBT, Pejabat Daerah dan polis."

Dan untuk jawapan bagi masalah air paip keruh di Baling jawapan mudahnya: "Itu semua kuasa Allah menurunkan hujan dan hujan lebat menyebabkan hakisan tanah lalu masuk ke dalam aliran sungai utama. Maka sungai menjadi keruh sebab itu air paip turut menjadi keruh."


Dr. MAHATHIR YES... ANWAR NO...NO...NO...

Kalau diberi peluang antara Dr. Mahathir dan Anwar


HANYA orang lembap sahaja yang menjajakan nama Dr. Mahathir Mohamad sebagai diktator.

Saya pernah bekerja di bawah pentadbiran Dr. Mahathir secara tidak langsung sebagai Ketua Pengarah Imigresen, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak dan secara langsung sebagai Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Perlaksanaan di Jabatan Perdana Menteri.

Memang benar beliau terlalu ketat menetapkan sasaran kerja pegawai dan menteri Kabinet. Semasa di Bahagian Pencen, saya pernah menerima arahan daripadanya untuk menyediakan kertas Kabinet pada pukul 4.30 petang dan perlu disiapkan malam itu juga untuk mesyuarat Kabinet pada keesokan harinya.

Alhamdulillah, Allah bukakan minda saya untuk menyiapkan kerja yang diberi, tanpa bantuan setiausaha kerana ketika arahan diterima melalui telefon, beliau telah pulang.

Saya bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada Dr. Mahathir kerana diberi peluang melakukan ujian seperti itu semasa saya bekerja sebagai Timbalan Pengarah Bahagian Pencen lagi.

Semasa saya bekerja di Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan di bawah Dr. Mahathir dan Anwar Ibrahim - iaitu sebagai Setiausaha Majlis Pembangunan Negara dan Setiausaha Kabinet mengenai Infrastruktur dan sebagai ahli dalam pelbagai mesyuarat penting lain, Dr. Mahathir sentiasa serius tetapi memberi peluang berbincang dengan bebas tanpa meninggikan suara.

Arahannya mudah difahami dan sasaran kerja yang ditetapkannya sentiasa mencabar minda dan kesabaran.

Kenapa begitu? Beliau pernah menyatakan bahawa 'minda seseorang itu kalau tidak dicabar atau tidak tahan diuji, tidak akan berkembang'.

Berlainan pula Datuk Seri Anwar Ibrahim. Dalam mesyuarat saya pernah menyaksikan beliau meninggikan suara menegur kesilapan seseorang termasuk Timbalan Menteri, ahli Exco Negeri Pulau Pinang dan Ketua Jabatan.

Alhamdulillah, saya tidak pernah menjadi sasarannya. Dalam hal memberi keputusan Dr. Mahathir sentiasa konsisten berpandukan dasar yang telah ditetapkan. Ini menyebabkan kerja kami di UPP menjadi 'mudah' walaupun tanggungjawabnya amat berat. Tetapi Anwar Ibrahim ada sekali sekala memberi kami kesulitan apabila keputusan dan arahannya bercampur baur dengan kepentingan politik.

Walaupun saya bukan ahli politik, tetapi pilihan saya antara kedua-duanya sebagai ketua yang berwibawa dan berjiwa besar adalah Dr. Mahathir.

KOMEN : JASA TUN. M TETAP DIKENANG....

Elak gelojoh pada bulan Ramadan




RAMADAN menjelma lagi dan seperti biasa umat Islam di seluruh dunia terus menunaikan ibadat berpuasa serta menghidupkan malam harinya dengan melakukan ibadat tarawih di masjid dan surau.

Ramadan adalah bulan sangat mulia, pada hakikatnya, kita perlu bersedia untuk menyambut kedatangan bulan ini dengan sambutan dan harapan agar ia akan menjadikan kita sebagai manusia lebih baik di sisi Allah.

Laporan Khas Utusan Malaysia, 23 Julai 2012, berhubung berbuka puasa ala bufet yang semakin popular dalam kalangan umat Islam di negara ini menunjukkan kehidupan umat Islam di negara ini kini semakin dilimpahi dengan kemewahan.

Setiap kali Ramadan menjelma, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) tetap menyuarakan pandangan kepada umat Islam agar mengelakkan pembaziran dan kegelojohan pada bulan Ramadan dan bulan-bulan yang lain serta turut menginsafi akan nasib umat Islam di negara lain yang tidak bernasib baik dalam memenuhi keperluan harian mereka.

Sepanjang Ramadan, umat Islam digalakkan memakan makanan berkhasiat semasa berbuka dan bersahur, serta ditegah melakukan pembaziran, tetapi malangnya masih ramai daripada kita memasak terlalu banyak hidangan atau dengan jalan paling mudah ialah membeli pelbagai juadah yang begitu banyak dijual di pasar dan bazar Ramadan yang dibuka bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan.

Disebabkan terlalu banyak makanan dihidangkan, kebanyakannya tidak termakan dan akhirnya terbuang begitu sahaja, pembaziran seumpama ini amat dilarang oleh Islam dan menyalahi konsep Ramadan itu sendiri.

Saban tahun apabila tiba sahaja Ramadan, hotel dan restoran mula dibanjiri dengan iklan bufet Ramadan bagi mempengaruhi umat Islam agar supaya berbuka puasa di sana dan pada tahun ini harga bufet Ramadan yang ditawarkan oleh hotel dan restoran telah meningkat.

Dengan kadar bayaran dan harga serendah RM28++ hinggalah RM100++, seseorang itu boleh makan dan minum seberapa banyak yang disukai dengan pelbagai hidangan sehingga menjangkau lebih daripada 120 sajian bufet dan makanan pencuci mulut yang begitu menyelerakan.

Bufet Ramadan ini juga turut diiringi dengan persembahan muzik dan persembahan keroncong serta Ghazal malah ada menyediakan penghibur tempatan secara langsung ketika pengunjung sedang menjamu selera yang secara tidak langsung akan mengalih perhatian dan melalaikan daripada menghayati hikmah ibadah puasa itu sendiri pada bulan mulia ini.

Terdapat juga hotel yang menyediakan kemudahan surau untuk memudahkan pengunjungnya menunaikan solat wajib dan solat sunat tarawih, memandangkan Ramadan bulan yang mulia, maka adalah lebih besar fadhilatnya untuk kita mengimarahkan masjid.

Walaupun sikap melahap makanan ditegah dalam Islam, namun tiada apa yang dapat menghalang umat Islam daripada tunduk kepada nafsu makan mereka ketika berbuka. Ada pula sesetengahnya beranggapan mereka perlu makan seberapa banyak yang mungkin supaya berbaloi dengan wang yang dikeluarkan.

Disebabkan terlalu banyak makanan diletakkan ke dalam pinggan, ramai orang tidak mampu menghabiskannya dan akhirnya makanan itu terbuang begitu sahaja, sedangkan berlebih-lebihan sehingga mendatangkan pembaziran adalah bukan sebahagian daripada ajaran Islam.

Adakah umat Islam tidak menyedari bahawa makanan adalah kurniaan Allah SWT yang amat besar untuk kita dan kita akan disoal di akhirat nanti mengenai pembaziran yang kita lakukan?

Ingatlah firman Allah SWT dalam Surah Al A'raaf, ayat 3, "Makan dan minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berlebih-lebihan." Manakala Surah Al Israa', ayat 26 dan 27, "Dan janganlah kamu membazir, sesungguhnya orang yang membazir itu saudara syaitan."

Sesungguhnya ketahuilah bahawa Ramadan adalah bulan suci antara semua bulan dalam setahun dan Allah SWT menghendaki semua hamba-Nya memenuhi bulan tersebut dengan amalan ibadat, ketaatan dan taqarrub kepada-Nya untuk menyuci diri.

Kekenyangan berterusan dalam kehidupan seseorang akan memenuhi dan menyuburkan jiwanya dengan sifat keras hati dan keterlaluan dan semoga Ramadan ini akan dapat membangunkan masyarakat Islam dengan sifat kasih sayang dan prihatin.


IMPIAN KHALID NAK KEMBONG PERUT

Pusat tolak Selangor ambil alih Syabas
MUHYIDDIN Yassin berbincang bersama Peter Chin Fah Kui (kiri) pada Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Isu Bekalan Air Selangor di Putrajaya, semalam. - UTUSAN/HANAFI KHAMIS

PUTRAJAYA 23 Julai - Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet mengenai Isu-isu Air Selangor hari ini menolak cadangan kerajaan negeri Selangor untuk mengambil alih pengurusan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas).

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jawatankuasa tersebut mendapati ada beberapa perkara substantif dan membabitkan prosedur yang tidak dapat dipenuhi oleh kerajaan negeri dan juga Syabas.

Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan akan meminta pandangan muktamad daripada Peguam Negara berhubung perkara tersebut secepat mungkin.

''Mesyuarat hari ini berpendapat walaupun ada peruntukan klausa 32 dalam perjanjian konsesi yang mengatakan dengan persetujuan Kerajaan Pusat, maka kerajaan negeri boleh mengambil alih pengurusan Syabas.

''Tetapi kita mendapat nasihat bahawa cadangan itu tidak boleh dipertimbangkan kerana ada beberapa yang dianggap substantif dan prosedural gagal dipenuhi oleh kerajaan negeri dan juga Syabas," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet mengenai Isu-isu Bekalan Air Selangor di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala.

Pada 19 Julai lalu, kerajaan negeri memberi tempoh dua minggu kepada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air untuk memberi jawapan berhubung niatnya mengambil alih pengurusan Syabas.

Cadangan pengambilalihan itu dibuat kerana kerajaan negeri mendakwa telah bersedia sepenuhnya untuk berbuat demikian serta memastikan peralihan pengurusan berjalan lancar.

Menurut Muhyiddin, antara perkara substantif tersebut adalah berhubung air tak berhasil (NRW) yang diletakkan di bawah tanggungjawab Syabas sebagaimana termaktub dalam perjanjian konsesi.

Beliau menambah, ia juga ada kaitan dengan kegagalan kerajaan negeri membuat keputusan membenarkan kenaikan kadar tarif air pada tahun 2009.

''Ia tidak diluluskan oleh kerajaan negeri dan dalam perjanjian itu disebut tentang pampasan yang perlu dibayar berikutan keputusan itu dan perkara itu kini dalam mahkamah," katanya.

Ditanya jika kerajaan negeri boleh memenuhi perkara substantif dan prosedural itu, beliau berkata, ia mesti berpandukan kepada perjanjian konsesi dan kedua-dua pihak mesti bersetuju berhubung cadangan tersebut.

''Perlu ada pihak yang ingin membeli dan masa yang sama, perlu ada pihak yang ingin menjualnya," katanya.

Menjawab soalan mengenai ketiadaan wakil kerajaan negeri Selangor, beliau berkata, mesyuarat pada hari ini adalah untuk peringkat Persekutuan meneliti pelbagai isu tersebut daripada pelbagai sudut.

''Tetapi dalam beberapa perkara tertentu, kerajaan negeri akan terlibat," katanya.

KOMEN : KHALID NI FIKIR PASAL KLAUSA PIHAK DIA AJE... PIHAK LAIN PUNYA KLAUSA DIA TAK AMBIL PEDULI... KITA SEBAGAI RAKYAT JUGA YANG JADI MANGSA... BINGAI BETUL...

Malaysia hampir lakar kejutan


Pemain Malaysia, Norshahrul Idlan Talaha diasak pemain Arsenal pada perlawanan persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi. - UTUSAN/AHMAD ZAKKI JILAN

KUALA LUMPUR - Kebangkitan pada tiga minit terakhir permainan memusnahkan harapan Harimau Malaya untuk melakar kejutan seperti mana kemenangan 2-0 pada tahun 1975, apabila tewas 1-2 kepada Arsenal dalam perlawanan persahabatan Jelajah Asia 2012 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Biarpun memperagakan aksi penuh berdisiplin di sebahagian besar perlawanan, skuad bimbingan Datuk K. Rajagobal gagal mengekalkan fokus sehingga penghujung perlawanan sehingga menghadiahkan dua gol mudah hasil kelekaan pertahanan.

Di hadapan 40,000 penonton, bek kiri Harimau Malaya, Azmi Muslim mengejutkan Arsenal pada masa kecederaan separuh masa pertama dengan gol berkelas dunia.

Namun jaringan itu tidak mampu dikekalkan apabila Thomas Eidfeld dan Chuck Aneke menjaringkan gol pada minit ke-87 dan ke-90 untuk menyelamatkan maruah Arsenal daripada dimalukan.

Tanda-tanda melawan skuad Harimau Malaya terserlah menerusi percubaan pada minit ketujuh apabila Norshahrul Idlan Talaha yang berada berhampiran kotak penalti Arsenal berjaya melepaskan rembatan leret namun, dinafikan Vito Mannone.

Pada penghujung babak pertama, tanpa diduga Azmi melepaskan rembatan kencang menarik dari jarak 30 meter tanpa dapat dijangkau oleh Mannone untuk skuad kebangsaan memimpin perlawanan.

Bermula babak kedua, Wenger memasukkan Alex Song, Theo Walcott, Benik Afobe, Alex Orlade-Chamberlain, Ryo Miyaichi, Kyle Bartley dan Nico Yennaris.

Namun, perubahan itu gagal memberi impak segera sebaliknya Harimau Malaya tetap ampuh bertahan dan turut melancarkan beberapa serangan berbahaya.

Penyerang Pelita Jaya, Mohd. Safee Sali hampir menghadiahkan gol kedua Malaysia pada minit ke-59 selepas bijak memperdayakan pertahanan Arsenal tetapi rembatannya dapat ditangkap kemas oleh Mannone.

Farizal Marlias membuktikan ketiadaan Khairul Fahmi Che Mat bukan masalah besar apabila menafikan percubaan Afobe di minit ke-66 ketika situasi satu lawan satu.

Gol penyamaan Arsenal akhirnya hadir pada minit ke-87 melalui gerakan Yennaris di sebelah kiri yang disambut oleh Eisfeld lalu merembat masuk dari jarak dekat di hadapan pintu gol Harimau Malaya.

Aneke muncul wira Arsenal pada minit ke-90 apabila bola rembatannya yang terkena Amiridzwan Taj Tajudin dan tidak dapat dibaca oleh Farizal sebelum masuk ke dalam gawang Harimau Malaya.

KOMEN : PERMAINAN NOT BAD, TAPI BILA FIRST ELEVEN DI TUKAR SESUKA HATI MENJADI SECOND ELEVEN, APA PUN TAK MENJADI... SEBALIKNYA MALAYSIA MENJADI KELAM KABUT....

Syukur dengan keamanan - PM


Najib Tun Razak dan isteri, Rosmah Mansor memberi kek kepada anak-anak yatim, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada Majlis Berbuka Puasa di Menara Tabung Haji, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/Safiyana Salim

KUALA LUMPUR 24 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu umat Islam di negara ini sentiasa bersyukur dengan keamanan yang dikurniakan oleh Allah kerana dengan adanya nikmat itu mereka boleh melaksanakan ibadah termasuk berpuasa tanpa rasa takut.

Hakikatnya beliau berkata, keamanan merupakan sesuatu yang tidak ternilai, malah ia merupakan satu rahmat Allah yang wajib dipelihara.

Mengambil contoh apa yang berlaku di Syria beliau berkata, umat Islam di Malaysia wajar mengambil situasi di negara itu sebagai satu iktibar serta pengajaran ekoran berlakunya pergolakan.

"Kita wajib berasa bersyukur bahawa dalam bulan yang penuh kemuliaan dan kerahmatan daripada Allah kita dapat menjalankan ibadah puasa dalam keadaan yang begitu selamat, tenang, tanpa rasa gentar dan takut.

"Sebagaimana kita tahu juga satu demi satu negara Islam tidak melalui kenikmatan yang sama. Kita di sini anggap biasa dan kita juga tidak anggap ia sebagai rahmat yang disyukuri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Sempena Penyampaian Sumbangan Aidilfitri dan Pelajar Cemerlang Persatuan Kebajikan Anak-Anak Yatim Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Perkayatim) di Dewan Besar Tabung Haji di sini hari ini.

Hadir sama isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Yang Dipertua Perkayatim yang juga Pengerusi Tabung Haji, Tan Sri Abi Musa Asa'ari Mohamed Nor dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Ismee Ismail.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, atas faktor keselamatan kerajaan telah membuat keputusan untuk membawa balik rakyat Malaysia yang berada di Syria.

"Walau apa pun saya amat berharap kita semua sentiasa memanjatkan doa kepada Allah supaya keamanan yang kita dikecapi selama ini sentiasa berpanjangan," ujarnya.

Sementara itu, beliau meminta umat Islam di negara ini sentiasa membantu anak-anak yatim kerana mereka merupakan golongan yang mempunyai kedudukan mulia di sisi Allah.

Beliau berkata, di dalam kitab suci al-Quran sendiri ada dinyatakan sebanyak 23 kali perihal anak yatim dan begitu juga dalam hadis-hadis Rasulullah SAW.

"Sekali gus ia memberitahu kita betapa mulianya kedudukan anak-anak yatim di sisi Allah, malah junjungan besar Rasulullah SAW juga merupakan seorang anak yatim piatu," katanya.

Najib di dalam ucapannya turut memetik sebuah hadis Rasulullah mengenai balasan mereka yang memelihara anak yatim dengan baik.

"Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh ibn. Abbas, Rasulullah telah bersabda; Orang yang memelihara anak yatim di kalangan umat Islam dengan memberi makan minum kepada mereka pasti Allah memasukkannya ke dalam syurga," kata Perdana Menteri lagi.

KOMEN : SEGALA KEBAIKAN AKAN DIBALAS DENGAN KEBAIKAN... SYUKUR ALHAMDULILLAH ,MALAYSIA NEGARA AMAN....

Monday, 23 July 2012

Alonso gah takluk GP Jerman


DARI BERITA HARIAN
23/7/2012

Alonso mengucup trofi selepas menjuarai GP Jerman sambil perhatikan Button (kanan) dan Vettel, semalam.  
Alonso mengucup trofi selepas menjuarai GP Jerman sambil perhatikan Button (kanan) dan Vettel, semalam.

Vettel turun ke tempat kelima kerana kesalahan memintas Button

Hockenheim: Fernando Alonso melebarkan pendahuluannya untuk kejuaraan Formula Satu (F1) musim ini apabila memandu jentera Ferrari dengan sempurna untuk memenangi Grand Prix, Jerman semalam.

Pelumba Sepanyol berusia 30 tahun itu yang bermula dari petak utama dan menguasai perlumbaan 67 pusingan di litar Hockenheim itu untuk menamatkan perlumbaan 3.7 saat lebih pantas daripada hero tempatan yang juga juara bertahan, Sebastian Vettel dari Red Bull yang kemudian dikenakan penalti 20 saat kerana kesalahan ketika memotong pemandu McLaren, Jenson Button, mengakibatkan dia diturunkan ke tempat kelima dari kedudukan asal di tempat kedua.

Keputusan itu menyaksikan Button mengambil alih tempat kedua, manakala pelumba Lotus dari Finland, Kimi Raikkonen melengkapkan senarai pemenang podium di tempat ketiga.

“Kami akan meraikan kemenangan ini,” kata Alonso. “Bermula dari petak utama adalah faktor utamanya kerana adalah sukar untuk memotong dan kami bukan yang terpantas, namun kami berjaya mengekalkan kedudukan.”

Ia adalah kemenangan ke tiga bagi Alonso tahun ini selepas meraih kejayaan di Malaysia dan Grand Prix Eropah untuk membolehkannya melonjak 34 mata mengatasi pelumba Red Bull dari Australia, Mark Webber dalam persaingan kejuaraan dengan pungutan mata 154 berbanding 120 buat pelumba Australia itu.

Penalti 20 saat dikenakan terhadap Vettel menjejaskan peluangnya mengekalkan kejuaraan.

“Saya tidak pasti sama ada dia (Button) berada di sebelah dalam atau tidak. Perkara terakhir perlu dielak ialah pelanggaran. Apabila kami bersebelahan, saya cuba memberinya cukup ruang tetapi sukar untuk melihat. Saya terbabas,” kata Vettel sebelum keputusan berhubung insiden membabitkannya dengan Button itu diumumkan. - Agensi

TERSILAP TAKSIR KE ATAU MEMANG NAK MEROMPAK?

Selangor terlebih bayar RM100 juta
CHUA Tee Yong (tujuh dari kiri) melihat pelan tanah lombong yang dibeli oleh kerajaan negeri dengan harga yang tinggi dari harga pasaran di Bestari Jaya, Kuala Selangor, semalam.

KUALA SELANGOR 20 Julai - Bayaran terlebih bayar yang dibuat kerajaan negeri untuk membeli tanah daripada Talam Corporation Bhd. (Talam) di Bestari Jaya di sini, bukan sebanyak RM42 juta seperti yang didakwa sebelum ini sebaliknya RM100 juta lebih mahal.

Perkara itu didedahkan Ketua Biro Muda Profesional MCA, Datuk Chua Tee Yong hari ini sewaktu membawa sekumpulan media melihat sendiri tanah seluas 916 hektar berkenaan di Bestari Jaya, di sini.

Tee Yong mendakwa, maklumat itu diperoleh berdasarkan laporan kewangan Kumpulan Hartanah Sdn. Bhd. (KHSB) pada 2009 yang juga memiliki tanah di kawasan sama.

"Pada 2010, kerajaan negeri telah membeli tanah tersebut dengan harga RM181 juta atau bersamaan dengan RM80,000 seekar (0.4 hektar) sementara laporan kewangan KHSB yang juga memiliki tanah di kawasan sama pula menilai tanah tersebut pada 2009 dengan harga RM36,000 seekar.

"Sekiranya penilaian KHSB itu boleh dianggap tepat ia bermakna jumlah keseluruhan tanah tersebut adalah RM81 juta dan ini menunjukkan kerajaan negeri terlebih bayar sebanyak RM100 juta daripada harga pasaran," dakwanya.

Hadir sama, Ahli Parlimen Hulu Selangor, P. Kamalanathan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Bharu, Wong Koon Mun dan Sekretariat Orang Muda Selangor (Serang), Budiman Mohd. Zohdi.

Pada 5 Julai lalu, Tee Yong mendakwa, kerajaan PKR Selangor membeli tanah sama dengan harga RM42 juta lebih tinggi berbanding harga pasaran dan dakwaan itu dibuat berdasarkan penilaian Talam sendiri.

Dua hari selepas itu, Ahli Parlimen DAP, Tony Pua pula mengakui perkara berkenaan.

Mengulas lanjut, Tee Yong berkata, apa yang lebih memeranjatkan jumlah keseluruhan tanah berkenaan sebanyak 438 ekar (177 hektar) daripadanya merupakan lombong yang dipenuhi dengan air dan 575 ekar (232.7 hektar) lagi didapati terletak dalam kawasan hutan simpan.

Sehubungan itu, katanya, tanah tersebut langsung tidak memberi pulangan menguntungkan sebaliknya lebih banyak kerugian kepada kerajaan negeri.

"Berdasarkan pemerhatian yang dibuat, kawasan tanah tersebut langsung tidak ada pembangunan atau infrastruktur asas," jelasnya.

Pada masa sama, Tee Yong mempersoalkan tindakan kerajaan PKR Selangor itu kerana ia merupakan pembaziran wang rakyat.

"Bagaimana kerajaan negeri membuat penilaian terhadap harga tanah terbabit dan mengapa mereka sanggup membuat pembayaran yang begitu mahal kepada Talam meskipun mengetahui tanah itu tidak memberi pulangan," soalnya.

Tee Yong berkata, pihaknya bersedia mengemukakan bukti kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya diminta untuk membantu siasatan.

KOMEN : LEPAS NI SELCAT MESTI MATI LEMAS...

Khalid didesak buat penjelasan segera - NGO


MINGGUAN MALAYSIA
22/7/2012



KUALA LUMPUR 21 Julai - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim didesak membuat penjelasan segera berhubung kontroversi pembelian tanah di Bestari Jaya, Selangor yang didakwa terlebih bayar sebanyak RM100 juta daripada harga pasaran.

Yang Dipertua Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwandin Hamzah berkata, Abdul Khalid juga perlu berani mendedahkan individu-individu terlibat yang mendapat 'untung atas angin' daripada pembelian tanah bernilai RM181 juta atau bersamaan dengan RM80,000 seekar (0.4 hektar) itu.

"Sebagai pemimpin yang memperjuangkan gagasan 'telus, adil dan cekap' di Selangor, Abdul Khalid seharusnya tampil menjelaskan dakwaan tersebut.

"Beliau tidak seharusnya memberi penjelasan yang hanya mahu menutup kelemahan pentadbiran sendiri," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas pendedahan Ketua Biro Muda Profesional MCA, Datuk Chua Tee Yong berhubung tindakan kerajaan negeri Selangor yang terlebih bayar sebanyak RM100 juta untuk membeli tanah tersebut daripada Talam Corporation Bhd. (Talam).

Menurut Tee Yong, pembelian tanah seluas 916 hektar pada 2010 itu dibuat dengan harga RM181 juta sedangkan laporan kewangan Kumpulan Hartanah Sdn. Bhd. (KHSB) pada 2009 yang juga memiliki tanah di kawasan sama menilai jumlah keseluruhan tanah tersebut sebanyak RM81 juta.

Sementara itu, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed Maliki Mohamed Rapiee berkata, pendedahan tersebut tidak boleh dibiarkan begitu sahaja kerana wang tersebut merupakan milik rakyat tetapi dilaburkan secara tidak berhati-hati.

"Jika sebelum ini, mereka sering menuduh kerajaan membuat pembangunan yang merugikan di kawasan-kawasan tertentu, apa kurangnya tanah di Bestari Jaya itu yang jelas merupakan pembaziran?

"Tanah itu langsung tidak memberi pulangan menguntungkan kerana tiada pembangunan atau infrastruktur asas, apatah lagi 438 hektar daripada jumlah keseluruhannya merupakan lombong yang dipenuhi air," katanya.

Menurut Pengerusi Sekretariat Orang Muda Selangor (Serang), Budiman Mohd. Zohdi, rakyat negeri itu sudah terlalu lama menanti jawapan telus daripada Abdul Khalid berhubung segala penyelewengan yang berlaku.

"Banyak yang tidak kena dengan pengurusan wang rakyat Selangor di bawah pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Walaupun Abdul Khalid berkali-kali berjanji akan buat penjelasan tetapi selepas pembongkaran penyelewengan demi penyelewengan, kerajaan negeri masih tetap 'cakap tak serupa bikin'," katanya.

KOMEN : SELCAT AKAN KATA RAKYAT SELANGOR BOLEH MINUM AIR BAWAH TANAH, TAPI DENGAN SYARAT KENA GUNAKAN TALAM.... MANA DIA BERANI NAK JAWAB PUNYA... PENAKUT TU...