Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Tuesday 1 April 2014

PRK BALINGIAN - Bukti PKR kalah teruk PRK DUN Balingian didedah

Adenan Satem (kanan) dalam sidang media mengenai pasca Pilihan Raya Kecil DUN Balingian di Wisma Bapa Malaysia, Kuching, Sarawak, semalam. - BERNAMA

KUCHING 31 Mac - Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem hari ini mendedahkan beberapa bukti yang menyebabkan kekalahan teruk Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian, Sabtu lalu.

Beliau berkata, perkara itu dapat dilihat apabila parti pembangkang hanya memperoleh dua daripada 170 jumlah keseluruhan undi pos dan kurang 100 undi di setiap pusat mengundi.

Katanya, dakwaan pembangkang kononnya mereka berjaya meningkatkan jumlah undi daripada 817 undi pada Pilihan Raya Negeri 2011 kepada 1,283 undi dalam pilihan raya kali ini sama sekali tidak tepat.

"Dakwaan pembangkang itu langsung tidak betul kerana angka yang dinyatakan mereka sebenarnya menurun dan merupakan salah satu bukti penduduk di Balingian tidak menyokong parti tersebut.

"Mereka terlupa pada Pilihan Raya Negeri 2011, terdapat tiga calon bertanding iaitu Barisan Nasional (BN) yang memperoleh 6,210 undi manakala calon Bebas (1,056 undi) dan PKR (871 undi), menjadikan jumlah keseluruhan undi dua calon itu adalah 1,927," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di pejabatnya di Tingkat 22, Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya, di sini.

Mengulas lanjut, Adenan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Datu berkata, situasinya berbeza dengan pilihan raya kali ini iaitu pertemuan satu lawan satu antara BN dengan PKR dan parti pembangkang itu hanya memperoleh 1,283 undi.

Katanya, sekiranya PKR melihat bilangan undi itu sebagai satu peningkatan, beliau berharap pembangkang meneruskan polisi yang sama pada Pilihan Raya Negeri akan datang.

"BN bukan hanya menang dengan majoriti lebih tinggi iaitu 6,911 pada PRK DUN Balingian, sebaliknya kita hampir berjaya menghapuskan wang pertaruhan pembangkang.

"Malah, peningkatan jumlah undi di dua kawasan yang terdiri daripada majoriti pengundi Cina iaitu Mukah (270) dan Kuala Balingian (465) juga membuktikan BN berjaya dengan cemerlang pada pilihan raya kali ini," katanya.

Jelas Adenan, kemenangan itu adalah hasil usaha seluruh barisan jentera dan pemimpin BN negeri serta Pusat yang bertungkus-lumus melakukan yang terbaik sepanjang 12 hari tempoh berkempen.

Katanya, beliau sebagai Ketua Menteri hanya memainkan peranan yang sangat kecil dalam memastikan kemenangan memihak kepada BN kerana realitinya penduduk Balingian semakin bijak dalam menilai parti mana yang boleh membantu mengubah masa depan mereka.

"Saya juga ingin menegaskan bahawa kerajaan negeri dan Pusat akan terus mengadakan pelbagai aktiviti pembangunan di Balingian untuk kemudahan penduduk di situ dan bukan kerana tuntutan daripada PKR.

"Ini jelas apabila kerajaan telah menyediakan pelbagai kemudahan seperti jalan raya, sistem sungai, bekalan elektrik, sekolah, hospital dan klinik sejak 1963 iaitu sebelum wujudnya parti PKR," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140401/po_03/Bukti-PKR-kalah-teruk-PRK-DUN-Balingian-didedah#ixzz2xbu0M4F5  © Utusan Melayu (M) Bhd



No comments: