Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Monday, 28 April 2014

MALAYSIA-US - Terima kasih AS - Seri Paduka



Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah melihat Presiden Amerika Syarikat Barack Obama bersalaman dengan para peserta yang membuat persembahan selepas Majlis Jamuan Negara Meraikan Presiden Amerika Syarikat ke Malaysia di Istana Negara, Kuala Lumpur malam tadi. Turut sama Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah dan Najib Tun Razak. - BERNAMA

KUALA LUMPUR 26 April - Ketika usaha mencari pesawat udara Malaysia yang hilang sedang diteruskan, Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah menyampaikan ucapan terima kasih Malaysia kepada Amerika Syarikat (AS) kerana terus memberi sokongan dan kerjasama padunya dalam operasi itu.

Pada majlis jamuan negara meraikan Presiden Barack Obama malam ini, baginda bertitah kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 itu melibatkan penumpang pelbagai negara termasuk Malaysia dan AS.

Seri Paduka bertitah bantuan yang dihulurkan AS itu menjadi bukti wujudnya hubungan rapat antara kedua-dua negara.

"Sesungguhnya, penglibatan saudara sejak peringkat awal misi mencari dan menyelamat itu dan operasi pencarian yang dilakukan ketika ini mencerminkan komitmen kukuh yang wujud antara kedua-dua negara kita," titah baginda.

Tuanku Abdul Halim bertitah baginda gembira melihat hubungan antara Malaysia dengan AS semakin kukuh dan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kepentingan bersama dan nilai yang dikongsi kedua-dua negara, begitu pesat berkembang.

"Beta gembira kerana kedua-dua negara kita akan membincangkan cara untuk mengukuhkan lagi kerjasama dalam pelbagai bidang, termasuk ekonomi, keselamatan dan pertahanan, pendidikan, tenaga, sains dan teknologi serta hubungan antara rakyat dengan rakyat," titah Seri Paduka.

Obama dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang menghadiri majlis itu, dijadual mengadakan perbincangan dan menghadiri jamuan kerja tengah hari di Putrajaya, esok.



Ejen Perkhidmatan Rahsia AS mengawal kenderaan rasmi yang membawa Presiden Barack Obama di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Subang, semalam. - AFP

Sambil menyifatkan hubungan ekonomi antara kedua-dua negara berada dalam keadaan amat kukuh, Tuanku Abdul Halim bertitah sokongan berterusan AS terhadap pertumbuhan ekonomi Malaysia akan membantu mengemudi negara yang mempunyai 30 juta penduduk ini mencapai status negara maju.

Titah baginda, AS dialu-alukan untuk terus berganding bahu dengan Malaysia bagi menjamin keamanan dan kestabilan rantau ini.

"Ini boleh dicapai melalui nilai yang dikongsi bersama dan sikap saling menghormati, saling memahami dan kesederhanaan, disertai hubungan kukuh antara rakyat dengan rakyat," titah baginda.

Tuanku Abdul Halim bertitah Malaysia akan terus berusaha memupuk hubungan kukuh dan berkekalan dengan AS sebagai asas dalam usaha mewujudkan kestabilan dan kemakmuran bagi kedua-dua negara. - BERNAMA

Seri Paduka menyuarakan harapan agar Obama gembira dan berpuas hati dengan layanan Malaysia serta kembali ke AS dengan membawa kenangan manis tentang negara ini.

"Beta harap lawatan saudara ke Malaysia memberi penuh makna dan menyimpul pelbagai kenangan. Beta mendoakan agar saudara sekeluarga sentiasa sihat dan sejahtera, begitu juga bagi seluruh rakyat AS," titah baginda. --BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140427/dn_02/Terima-kasih-AS---Seri-Paduka#ixzz309EGwaeD  © Utusan Melayu (M) Bhd


No comments: