SETIAP kali apabila kita meletakkan kenderaan di mana-mana kawasan termasuk bangunan, pihak pengurusan bangunan atau kawasan tersebut akan memaparkan notis mereka tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kejadian yang berlaku kepada kenderaan berkenaan.
Bagaimanapun, ia tidak bermaksud pihak pengurusan mengamalkan sikap lepas tangan, mereka tetap berusaha melakukan langkah pencegahan termasuklah menempatkan pengawal keselamatan tetapi kalaulah sesuatu kejadian hendak berlaku juga ia sudah tentulah di luar kawalan.
Tetapi sekurang-kurangnya langkah pencegahan dilakukan dan bukannya hanya mahu mengaut keuntungan melalui bayaran parkir sahaja.
Namun kalau mengkaji sikap Malaysiakini, moral dan martabat mereka tidak setaraf dengan pengurusan tempat parkir kenderaan.
Mereka mewujudkan ruangan untuk pembaca portal berita propembangkang itu memberi sebarang ulasan atau komen tanpa kawalan. Untuk melepaskan diri, Malaysiakini meletakkan notis bahawa mereka tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang disiarkan.
Lebih menarik lagi Malaysiakini menggunakan istilah di laman sosial ini. Apabila istilah itu digunakan ia sudah tentu memberi pemahaman kepada kita bahawa pembaca boleh komen apa sahaja tanpa batas.
Sama ada komen itu boleh mendatangkan kemudaratan kepada masyarakat atau negara, itu soal kedua tetapi demikianlah kebebasan yang kononnya ingin dipaparkan oleh Malaysiakini.
Jika Malaysiakini benar-benar bertanggungjawab, mereka juga akan mencontohi pihak pengurusan tempat parkir, walaupun tidak akan bertanggungjawab kepada kenderaan yang diletakkan di kawasan seliaan, mereka namun langkah-langkah pencegahan tetap dilakukan.
Tetapi ini tidak dilakukan oleh Malaysiakini kerana sebagai portal berita yang mengamalkan kewartawanan zaman batu atau mungkin juga hukum rimba dengan membenarkan orang berkata apa sahaja terhadap sesuatu berita, Malaysiakini sememangnya tidak mahu bertanggungjawab apatah lagi berusaha mengawal sesuatu pandangan atau komen supaya ia tidak memudaratkan mana-mana pihak.
Malaysiakini begitu gembira apabila komen-komen negatif terhadap musuh mereka diterima bertubi-tubi. Tetapi jika ada komen positif sudah pasti sampai kiamat pun belum tentu Malaysiakini akan menyiarkan. Itu pun Malaysiakini masih mahu mendabik dada kononnya mereka mengamalkan kebebasan media dan kebebasan bersuara.
Kebebasan bersuara hanya layak untuk kelompok yang memihak kepada mereka sahaja, kalau kebebasan bersuara itu menghentam mereka sudah pasti ia disenyapkan dengan seribu satu alasan.
Jika benar Malaysiakini mengamalkan kewartawanan tulen maka mereka perlu mengamalkan sikap bertanggungjawab dengan menapis terlebih dahulu apa juga komen yang mereka fikirkan tidak sesuai disiarkan.
Tetapi ini bukanlah perkiraan Malaysiakini kerana dalam agenda kewartawanan Malaysiakini bukannya mahu mengamalkan kewartawanan yang profesional tetapi lebih banyak dipengaruhi oleh sentimen yang kadang kala pasti mengenepikan rasional.
Dengan berselindung di sebalik istilah Malaysiakini tidak akan bertanggungjawab dan laman sosial, Malaysiakini tidak boleh melenting jika mereka dianggap berbuat demikian untuk melakukan serangan kepada mana-mana pihak yang mereka tidak senangi termasuklah kerajaan Barisan Nasional (BN).
Baca dan kajilah komen-komen yang disiarkan oleh Malaysiakini, ia cukup memualkan dan mampu mewujudkan ketegangan kepada mana-mana pihak. Itupun Malaysiakini masih tergamak untuk membiarkan pembacanya menuduh media lain melakukan laporan sampah sedangkan mereka sendiri menyiarkan komen-komen bertaraf sedemikian.
Malaysiakini berbuat demikian kerana mereka begitu galak untuk melondeh atau memperlekehkan mana-mana juga pihak termasuklah media yang tidak sehaluan dengan mereka tetapi jauh sekali mahu mengkaji apatah bermuhasabah untuk mengubah corak kewartawanan yang diamalkan.
Sememangnya tidak sesiapa boleh berhak memaksa Malaysiakini untuk menyebelahi mana-mana pihak walaupun semua orang tahu bahawa portal berita itu amat-amat cenderung pembangkang tetapi apa yang orang ingin lihat ialah sikap bertanggungjawab dalam menyiarkan berita atau komen-komen dalam portal berita itu, bukannya menyiarkan keseluruhannya tanpa tapisan yang kadang kala komen tersebut bukan lagi bertaraf sampah malah sudah sama taraf dengan air kumbahan.
Keadaan itu berlaku kerana Malaysiakini membuka laluan dengan mengiktiraf komen-komen pembaca sebagai ruangan laman sosial, apabila disebut sahaja laman sosial ia samalah tarafnya dengan akaun facebook atau twitter yang pemilik akaunnya tidak mempunyai sebarang rasa tanggungjawab atau memikirkan apa juga risiko terhadap apa yang dipaparkan di laman itu.
Kalau begitulah keadaannya, bagaimana mungkin Malaysiakini mahu mendakwa mereka mengamalkan sikap bertanggungjawab. Apabila sesuatu media atau portal berita untuk menganggap sesuatu ruang yang mereka wujudkan bertaraf laman sosial dan disertakan pula dengan notis tidak akan bertanggungjawab jelaslah sememangnya mereka bukanlah golongan bertanggungjawab.
Penulis tidak mahu terlalu banyak mempersoalkan apakah agenda di sebalik kewujudan Malaysiakini tetapi apa yang pasti kecenderungan mereka melaporkan sesuatu berita dan menyiarkan komen tanpa batasan sudah boleh memberikan gambaran agenda sebenar portal berita itu.
Sebenarnya, Malaysiakini boleh terus berbuat demikian dengan tidak mahu bertanggungjawab terhadap sesuatu komen oleh pembacanya jika ia merasakan boleh menaikkan imej portal berita itu tetapi sikap Malaysiakini tidak ubah seperti kepala unta yang boleh melihat sekeliling tetapi badan sendiri tidak mahu dilihatnya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140412/re_01/Malaysiakini-dan-tabiat-kepala-unta#ixzz2ypuVrfPo © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment