Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Tuesday, 22 April 2014

Kim Swee masih mencongak nasib

Ong Kim Swee memberi penerangan kepada pemain-pemain kebangsaan pada sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam. - UTUSAN/MD. SHAHJEHAN MAAMIN

PETALING JAYA - Pada mulanya Datuk Ong Kim Swee hanya dijang­ka mengendalikan dua perlawanan selaku jurulatih sementara Harimau Malaya, namun sehingga kini masih tiada tanda-tanda Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan mendapatkan jurulatih tetap dalam masa terdekat.

Situasi itu nyata membebankan Kim Swee kerana terpaksa menggalas dua tugasan serentak kerana tugas hakiki beliau adalah menjaga skuad Harimau Muda A yang dipersiapkan untuk menghadapi Sukan Asia 2014 di Incheon, September ini.

Bagi Kim Swee, beliau tidak menafikan perkara itu memang sentiasa difikirkan, selain mengakui ha­nya bersedia memikul dua tugasan itu untuk jangka masa pendek dan bukan satu tugasan tetap.

"Apa yang saya boleh lakukan, saya hanya menunggu sebarang arahan sahaja daripada pihak atasan, semuanya bergantung kepada keadaan dan saya rasa tiada sebarang masalah jika bersifat jangka pendek.

"Kalau saya terpaksa melakukan kedua-dua tugasan bagi jangka panjang, saya rasa kami kena duduk semeja untuk berbincang. Saya tidak boleh memberi tumpuan kerana terlalu banyak pasukan yang perlu saya tengok.

"Saya hanya boleh membuat satu kerja sahaja, bukan satu tugas mudah jika saya menjadi jurulatih kebangsaan tetapi dalam masa sama kena memantau perjalanan Harimau Muda A, B dan C," katanya ketika ditemui di Wisma FAM pada sesi latihan sulung Harimau Malaya bagi berdepan Filipina, 27 April ini di Cebu.

Selepas gagal mendapatkan ­khidmat bekas pengendali Jepun, Phillippe Troussier, FAM terus berteka-teki soal pemilihan jurulatih bagi menggantikan Datuk K. Rajagobal yang tidak disambung kontrak pada 31 Disember tahun lalu.

Seramai 16 daripada 23 pemain menghadirkan diri pada hari pertama dengan Junior Eldstal memohon pelepasan ekoran menyelesaikan masalah peribadi serta pemain Kelantan dan Selangor yang akan beraksi pada perlawanan terakhir Piala AFC.

"Junior ada maklumkan pada saya yang dia ada masalah keluarga tetapi dia akan datang melaporkan diri pada bila-bila masa dan saya memberi kebenaran kepadanya, harap dia akan cepat datang menjalani latihan.

"Sementara para pemain Kelantan dan Selangor, saya harap mereka tidak mengalami sebarang kecederaan pada perlawanan terakhir dan saya perlu bersedia sebarang kemungkinan.

"Jika keadaan memerlukan, saya akan memanggil mana-mana pemain lain yang tidak berada dalam senarai menunggu kerana ini satu tugasan yang cukup penting kerana membawa nama negara," katanya.

Dalam masa sama, Kim Swee mempertahankan tindakannya tidak memanggil penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT), Norshahrul Idlan Talaha kerana berasakan lebih selesa dengan barisan pemain sedia ada.

Namun, beliau tidak mahu mengaitkan itu sebagai satu bentuk hukuman kepada pemain yang berasal dari Besut, Terengganu itu kerana gagal menghadiri latihan sebelum ini.

"Saya tidak membawanya ketika pergi ke UAE (berdepan Yemen) dan ketika menentang Filipina di Stadium Selayang kerana cukup yakin dengan pemain-pemain lain.

"Jika dia berfikir begitu (meng­hukum), terpulang kepadanya, saya tidak mahu komen," katanya.

Tambah Kim Swee, berdepan Fi­lipina bukan satu misi yang mudah bagi mendapatkan kemenangan kerana pasukan kendalian Thomas Dooley ini bukan sebuah skuad belasahan di rantau Asia Tenggara.

"Bukan sesuatu yang senang bagi mendapatkan aksi persahabatan ketika saingan liga masih rancak berlangsung di kebanyakan negara dan kita bertuah kerana Fi­lipina menjemput kita," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140422/su_02/Kim-Swee-masih-mencongak-nasib#ixzz2zaHJIk7L  © Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: