JASIN 10 April - Solat sunat hajat memohon petunjuk Allah SWT agar pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 ditemui dalam keadaan apa sekali pun terus diadakan selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang masuk hari ke-33.
Namun bagi penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai, bukan sahaja solat hajat dan doa telah diadakan sejak kehilangan pesawat tersebut pada 8 Mac lalu, terbaharu sebanyak lapan papan iklan tertera Doa Untuk MH370 didirikan di beberapa lokasi di DUN berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Datuk Hasan Rahman berkata, lapan papan iklan yang didirikan bersaiz 12x40 kaki dan 20x10 kaki itu didirikan bagi menyokong usaha kerajaan yang bertungkus lumus dalam usaha pencarian pesawat MH370 yang sehingga kini belum ditemui.
Menurutnya, papan iklan yang berharga RM3,000 setiap satu itu diusahakan oleh Japerun Sungai Rambai dengan kerjasama pelbagai pihak dan ditempatkan di tepi jalan Lebuh AMJ bersempadan dengan Muar serta beberapa lokasi lain.
"Beberapa papan iklan lain pula didirikan di pekan Sungai Rambai dan beberapa kawasan lain seperti di Batu Gajah dan Kampung Parit Penghulu.
"Sebanyak 17 lagi papan iklan tertera Doa Untuk MH370 akan didirikan dalam tempoh seminggu ini untuk menjadikan sebanyak 25 kesemuanya akan ditempatkan di seluruh pintu masuk ke DUN Sungai Rambai.
"Ini bertujuan untuk mengajak seluruh masyarakat di sini terus mendoakan dan membuat solat hajat sehingga pesawat MH370 ditemui. Kami rakyat di Sungai Rambai tidak dapat untuk membantu melainkan hanya doa dan solat hajat diadakan,'' katanya.
Hasan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Usahawan negeri berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan papan iklan `Doa Untuk MH370' di Lebuh AMJ hala ke Muar di sini hari ini.
Pada majlis tersebut juga satu majlis doa selamat turut diadakan disertai sebanyak 50 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Rambai.
Menurutnya, Japerun Sungai Rambai tidak akan putus-putus menganjurkan solat sunat hajat dan doa kepada Allah SWT memohon petunjuk agar pesawat MH370 yang hilang lebih sebulan ditemui semula.
"Bagi masyarakat DUN Sungai Rambai menyokong penuh usaha yang dilaksanakan kerajaan Malaysia mengetuai operasi mencari dan menyelamat bersama beberapa negara lain walaupun ada segelintir pihak tidak bertanggungjawab mengecam tindakan kita," katanya.
Beliau melahirkan kesal dengan sikap segelintir rakyat Malaysia yang sanggup menidakkan usaha tungkus-lumus kerajaan sejak kehilangan pesawat itu pada 8 Mac lalu.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Selatan/20140411/ws_02/DUN-Sungai-Rambai-dirikan-25-papan-iklan-?Doa-Untuk-MH370?#ixzz2ypPDaUXK © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment