Oleh NORAZLITA MOHD. SIES
dan NORLIZAH ABAS
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 14 April - Bimbang wujudnya unsur berat sebelah, Utusan Melayu (M) Bhd. (UMMB) memohon supaya Pesuruhjaya Kehakiman, Rosilah Yop menarik diri daripada mendengar kes saman fitnah RM100 juta oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap syarikat akhbar itu berhubung isu pencerobohan rakyat asing di Lahad Datu, Sabah.
UMMB memfailkan permohonan tersebut setelah mendakwa Rosilah dalam penghakimannya dalam satu kes saman lain pada 19 Februari lalu berpendapat Anwar merupakan pemimpin dan ahli politik yang terkenal di dalam negara mahupun peringkat antarabangsa, berperwatakan dan reputasi baik namun telah difitnah oleh defendan, Wan Muhammad Azri Wan Deris.
Dalam kes saman Anwar, 67, terhadap Wan Muhamad Azri, 31, Rosilah memutuskan bahawa defendan adalah pemilik blog, www.papagomo.com dan memerintahkannya membayar ganti rugi RM800,000 kepada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.
Di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, Peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin yang mewakili UMMB dalam hujahnya berkata, biarpun kes saman tersebut adalah kes yang berlainan namun pihaknya berpendapat adalah memalukan dan menimbulkan kesukaran kepada Rosilah untuk membuat suatu hasil penemuan ataupun dapatan yang berbeza daripada segi perwatakan dan reputasi Anwar yang pernah diputuskan olehnya sebelum ini.
Firoz Hussein memetik perenggan ke-11, pernyataan tuntutan Anwar yang menyatakan bahawa beliau digambarkan sebagai seorang yang mengancam keselamatan negara, pembelot, terlibat dalam aktiviti keganasan dan tidak layak menjadi Ketua Pembangkang di Malaysia.
Namun begitu menurut peguam itu, perwatakan dan reputasi Anwar selaku pihak plaintif sebenarnya telah pun dinilai dan diputuskan oleh Rosilah dalam penghakimannya dalam kes saman antara Anwar dan Wan Muhammad Azri.
Ia juga akan menimbulkan isu sama ada dalam pentadbiran keadilan, seseorang hakim boleh meminda semula penemuan sendiri berhubung reputasi atau menimbangkan reputasi pihak plaintif secara objektif, ujar Firoz Hussein.
Beliau berhujah, prinsip nemo judex in causa sua (perlu adil dalam sesuatu pertikaian tanpa sebarang kepentingan) mesti dipatuhi dengan ketat dan mahkamah tidak perlu meletakkan diri dalam kedudukan kebebasan kehakimannya diragui.
Katanya, fakta berhubung reputasi dan watak pihak plaintif yang telah diputuskan dalam penghakiman lalu dan perlakuan plaintif yang baharu didedahkan, telah mendedahkan mahkamah itu kepada bahaya berat sebelah yang nyata.
Adalah tidak dapat dipertahankan bagi mahkamah untuk membuat penemuan fakta yang berbeza melibatkan perkara yang sama dalam saman yang berlainan. Dengan lain perkataan adalah mustahil bagi hakim untuk memutuskan fakta yang telah pun diputuskan melainkan mahkamah yang lebih tinggi memutuskan sebaliknya, kata Firoz Hussein.
Anwar yang diwakili peguam Datuk S. Ambiga memohon permohonan itu ditolak atas alasan dapatan dan penemuan yang dibuat oleh Rosilah sebelum ini mengenai reputasi baik Anwar di negara ini mahupun peringkat antarabangsa merupakan fakta yang tidak dipertikaikan oleh UMMB sebelum ini.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Rosilah menetapkan Jumaat ini untuk membuat keputusan mengenai permohonan UMMB.
Ambiga mewakili Anwar selepas Rosilah pada 8 April lalu membenarkan permohonan UMMB untuk mengetepikan peguam N. Surendran daripada mewakili Penasihat PKR itu setelah syarikat akhbar tersebut mendakwa terdapat berkemungkinan berlaku konflik kepentingan berikutan kedudukan Surendran sebagai Naib Presiden PKR.
Sementara itu, Rosilah menetapkan petang esok untuk mendengar permohonan UMMB dan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak yang dinamakan sebagai defendan pertama dan kedua untuk memasukkan permohonan bagi meminda pernyataan pembelaan mereka.
Dalam pada itu, Mahkamah Rayuan, Putrajaya hari ini turut menolak permohonan UMMB untuk menangguhkan perbicaraan kes saman tersebut sementara menunggu rayuan berhubung pelantikan firma guaman, Tetuan Daim & Gamany mewakili Anwar.
Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk David Wong Dak Wah yang bersidang bersama Datuk Tengku Maimun Tuan Mat dan Datuk Umi Kalthum Abd. Majid sebulat suara memutuskan demikian dengan kos RM3,000.
UMMB mengemukakan permohonan untuk menangguhkan perbicaraan sementara menunggu rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 8 April lalu menolak permohonannya untuk mengetepikan firma guaman tersebut daripada mewakili Anwar.
Dalam saman yang difailkan pada 8 Mac tahun lalu, Anwar turut menamakan TV3; Pengarang Urusan Kumpulan, Berita dan Ehwal Semasa, Rangkaian Televisyen dan Radio, Media Prima Bhd., Datuk Shaharudin Abd. Latif dan Pengarang Berita Buletin Utama, Ing Boon Seng sebagai defendan ketiga hingga kelima.
Dalam pernyataan tuntutannya, Anwar menyatakan, Utusan Malaysia bertarikh 2 Mac 2013 di muka hadapannya, menyiarkan artikel bertajuk Ketua Pembangkang dikaitkan dengan pencerobohan? dan di muka surat sembilan pula bertajuk, Tiga kumpulan jadi dalang.
Ketua Pembangkang itu menyatakan, defendan ketiga hingga kelima, antara pukul 8 dan 9 malam, hari yang sama dalam Buletin Utama, TV3 turut menyiarkan berita mengenai pencerobohan di Lahad Datu.
Ahli Parlimen Permatang Pauh itu mendakwa berita di rangkaian televisyen swasta itu adalah berdasarkan laporan berita yang dikeluarkanoleh defendan pertama dan kedua.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140415/ma_01/UMMB-mohon-hakim-tarik-diri#ixzz2yv93UXFN © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment