DARAH pahlawan yang mengalir dalam diri ini menyebabkan penulis terpanggil menulis artikel mengenai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ini.
Tajuk berita 'Rakyat diseru pertahan ATM' di muka surat tiga akhbar Mingguan Malaysia baru-baru ini menyuntik semangat berkobar-kobar dalam diri penulis. Hakikatnya, tidak dapat ditolak bahawa ATM adalah peneraju barisan pertahanan negara kita. Jika goyah pasukan keselamatan ini maka musnah sesebuah negara.
ATM adalah pasukan keselamatan yang terdiri daripada Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). ATM bertanggungjawab mempertahankan negara daripada ancaman luar yang mampu menggugat kedaulatan tanah air.
Mereka juga berperanan mengekalkan keamanan negara bermula daripada pasca pra merdeka hingga sekarang seperti Perang Dunia ke-2, Darurat 1948 (ancaman komunis), Konfrontasi Indonesia-Malaysia, Pencerobohan Lahad Datu, Sabah dan banyak lagi. ATM turut dihantar dalam misi pengaman dunia seperti di Kemboja, Somalia, Bosnia dan lain-lain.
Persoalan di sini, sejauh mana kita menghargai pengorbanan anggota tentera yang berjuang bermati-matian mempertahankan tanah air dari serangan musuh? Setiap kali bencana atau konflik berlaku di Malaysia, pasti ada suara sumbang yang mempersoalkan kemampuan dan memperlekeh usaha yang dilakukan anggota tentera kita.
Hal ini bukan sahaja terkesan kepada anggota ATM malah ahli keluarga turut merasakannya. Penulis sendiri tersentuh hati apabila ada pihak yang mempersoalkan pengorbanan ATM.
Mereka tahukah anggota tentera sanggup meninggalkan keluarga demi menyahut seruan negara? Anak-anak, isteri atau suami, harta diketepikan sementara hanya untuk memberi sepenuh perhatian memperjuangkan kedaulatan, keamanan dan ketenteraman awam.
Hal ini tidak terkecuali bagi keluarga penulis. Bapa yang menjadi ketua keluarga menyahut seruan semboyan berbulan-bulan lama di perairan laut. Sewaktu penulis masih kecil, ibu adalah tempat bermanja dan hari-hari menjadi `kaunter pertanyaan di mana bapa berada. Mujurlah ketika itu, penulis mempunyai adik-beradik, rakan-rakan, guru-guru dan Badan Kebajikan Angkatan Tentera (BAKAT) . BAKAT sering menganjurkan aktiviti bagi mengisi masa lapang. Mereka juga menjaga kebajikan dan hal ehwal keluarga tentera.
Namun begitu, seiring pertambahan usia penulis amat berbangga kerana lahir dalam keluarga pejuang. Jika tidak pasti penulis tidak dapat merasai erti sedih, rindu dan kesunyian. Walaupun berbulan lama tidak berjumpa, bapa penulis tetap memainkan peranan terbaik dalam keluarga kami sehingga bergelar veteran ATM. Ini semua mengajar kami sekeluarga menghargai keamanan yang perlu dikekalkan oleh semua pihak.
Penulis pernah ditanya tentang tugasan penjawat badan beruniform seperti tentera dan polis sewaktu kekecohan pencerobohan Lahad Datu tidak lama dahulu. Tanggapan sinis dan berat sebelah kebanyakan orang amat menguji kesabaran penulis. Mereka menganggap bahawa ATM hanya makan gaji buta dan apabila timbul isu besar seperti Lahad Datu baru mereka melihat keterlibatan ATM.
Ini sangat tidak adil. Jika diukur pengorbanan yang diberi anggota tentera dan polis demi mengekalkan sebuah kemerdekaan nescaya pihak yang memandang negatif peranan ATM akan terduduk malu. Bayangkan bagaimana keadaan negara ini tanpa ATM. Jika sesaat mereka leka pasti ketenteraman negara tergugat.
Bagaimana pula jika perairan laut tidak dikawal? Lanun dan penjenayah pasti bermaharajalela di mana laut dan kawasan sekitar tidak selamat. Pendatang asing tanpa izin mudah membolosi sempadan laut kita. Begitu juga hal dengan darat dan udara. Jika ATM tidak mengawal, mana mungkin kita bersenang-lenang di sini.
Terbaru, peristiwa kehilangan pesawat MH370. Ada pihak yang membuat kenyataan tidak adil seperti di papar dalam media massa. Ada juga pihak yang membuat kenyataan berat sebelah di dalam akhbar Daily Telegraph yang berpangkalan di United Kingdom. Ini sepatutnya tidak berlaku. Rakyat Malaysia dan semua pihak perlu mendoakan agar pencarian MH370 dipermudahkan .
Jika negara-negara lain berusaha mencari dan menyelamat bersama ATM dan tidak pula menyalahkan Malaysia. Kenapa kita perlu saling menyalahkan satu sama lain meskipun berbeza fahaman politik seperti stesen televisyen Cable News Network (CNN) cuba menimbulkan pelbagai andaian dan spekulasi menghentam kerajaan?
Berburuk sangka merugikan semua pihak dan setiap berita perlu diselidiki terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan seperti firman Allah dalam surah Al-Hujuraat ayat 6 bermaksud, "Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu lakukan."
Kepada semua perajurit tanah air, syabas dan teruskan menabur bakti demi kepentingan bangsa, agama dan negara. Kami tetap sentiasa bersama kalian dengan iringan doa dan pesanan selamat berjuang walau di mana sahaja anda ditugaskan.
OLEH NUR NABILA ZUKIFLI
PENULIS ialah pelajar Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140409/re_06/Cuba-fahami-pengorbanan-ATM-bukan-memperlekeh#ixzz2yXoSwWMi © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment