SHANGHAI - Pemandu Britain, Lewis Hamilton melengkapkan kemenangan hatrik apabila mengetuai penguasaan 1-2 Mercedes pada Grand Prix Formula Satu China, semalam.
Juara dunia 2008 itu meninggalkan rakan sepasukan, Nico Rosberg di tangga kedua dengan 19 saat di belakang. Ini merupakan podium naib juara ketiga berturut-turut buat Rosberg, namun dia masih mengekalkan kedudukan pendahulu pemandu dunia dengan empat mata mengatasi Hamilton.
Mercedes kini memenangi semua empat perlumbaan pertama musim 2014, di mana Hamilton memenangi dua perlumbaan terakhir pada Grand Prix Malaysia (30 Mac) dan Bahrain pada 4 April lalu. Rosberg pula menjuarai kejohanan pembuka tirai di Australia pada 16 Mac.
"Saya seperti tidak percaya melihat betapa hebatnya kereta kami.
"Pasukan ini sedang berada di landasan yang sempurna, itu sudah pasti," kata Hamilton.
Fernando Alonso dari Ferrari, yang merupakan juara Grand Prix China 2013, menamatkan perlumbaan di tangga ketiga, iaitu podium pertamanya tahun ini. Dia meninggalkan pemandu Red Bull, Daniel Ricciardo di tempat keempat.
Bagi Hamilton, ini adalah kemenangan ke-25 dalam kariernya, sekali gus membolehkan dia menyamai rekod dua legenda Formula Satu, Niki Lauda dan Jim Clark. Malah, ia juga kejuaraan hatrik pertama dilakar pemandu Mercedes itu.
Rosberg, 28, kini mengumpul 79 mata selepas empat perlumbaan, manakala Hamilton mengekori dengan 75 mata, diikuti Alonso, 41.
Pemandu Red Bull dan juara dunia empat kali, Sebastian Vettel sekadar menamatkan cabaran di tangga kelima, dikuti Nico Hulkenberg di tempat keenam. - REUTERS
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140421/sl_04/Hamilton-raih-gelaran-hatrik#ixzz2zTfp74xj © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment