Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Monday 21 April 2014

ATM : Abdul Aziz: TLDM perlu aset pertahanan baharu

Abdul Aziz Jaafar menunjukkan buku Defining Moments yang akan dilancarkan pada 28 April semasa program wawancara Sambutan Hari Tentera Laut Diraja Malaysia Ke-80 di DSA 2014, PWTC, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 17 April - Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) memerlukan aset pertahanan baharu agar pasukan itu mampu terus memenuhi tuntutan geostrategik semasa yang terdedah dengan pelbagai bentuk ancaman.

Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata, TLDM yang bakal menginjak usia 80 tahun pada 27 April ini perlu memiliki kesiapsiagaan tertinggi dalam menangani sebarang ancaman dari segenap spektrum sekali gus menjamin kedaulatan negara.

Kata beliau, insiden melibatkan pencerobohan di Lahad Datu, penculikan di Sabah dan kehilangan pesawat MH370 telah menuntut ketumbukan itu untuk dilengkapi aset berteknologi tinggi dan selaras dengan keupayaan semasa organisasi ketenteraan.

"Kawasan maritim negara amat luas dan terdedah dengan pelbagai kemungkinan. Keluasan maritim yang dua kali ganda lebih besar daripada daratan adalah sesuatu yang mencabar bagi kita. Perkara ini kerana apa yang berlaku kelak (ancaman) pastinya bermula daripada perairan dahulu.

"Pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2014 ini, kita lihat pelbagai aset dipamerkan dan telah mengenal pasti sebahagian daripadanya untuk dijadikan perolehan TLDM. Boleh dikatakan kini kami berada dalam fasa perundingan perolehan.

"Walau bagaimanapun, semua perkara itu akan dimuktamadkan berdasarkan kemampuan kewangan semasa negara," katanya pada sidang akhbar sempena Sambutan Ulang Tahun TLDM Ke-80 pada DSA 2014 di sini hari ini.

Sambutan bertemakan 'TLDM Siaga Perairan Terpelihara' akan disambut di Lumut, Perak itu turut diisi dengan pelbagai program melibatkan elemen perbarisan, kerohanian dan pembangunan sosial.

Sempena sambutan kali ini juga, pasukan itu bakal melancarkan buku terkini bertajuk 'Detik-detik Kegemilangan' setebal 276 muka surat yang merekodkan kecemerlangan TLDM dalam mempertahankan negara sejak penubuhannya pada 1934.

Dalam pada itu, Abdul Aziz memberitahu, inventori aset TLDM akan dipertingkatkan lagi dengan perolehan kapal latihan pada tahun ini dan kapal tempur pesisir pantai (LCS) pada pertengahan 2019 dalam usaha memperkasakan keupayaan Armada TLDM.

Pada masa sama, beliau berkata, Kapal Diraja (KD) Kasturi dan KD Lekir melalui Program Pemanjangan Hayat Perkhidmatan (SLEP) akan dinaik taraf sebagai langkah perancangan serta pengurusan bijak sementara menantikan aset-aset baharu.

Abdul Aziz menambah, TLDM juga bakal mencatat satu sejarah apabila dianugerahkan serentak dua panji pasukan iaitu kepada KD Sri Semporna dan KD Duyong oleh Yang Dipertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah pada sambutan kali ini.

Sementara itu, ketika ditanya berhubung spekulasi misi mencari dan menyelamat (SAR) kehilangan MH370 sedikit sebanyak menjurus kepada kebocoran maklumat strategik negara kepada pihak luar, beliau menafikan perkara tersebut.

Abdul Aziz yang merupakan salah seorang anggota Pasukan Kerja Teknikal pencarian itu menjelaskan, setiap pergerakan misi tersebut dipantau secara dekat dan formasi operasi berada pada landasan yang sepatutnya.

"Saya telah berada dalam misi itu dan tiada ancaman intipan daripada mana-mana pihak, itu semua spekulasi. Kita telah melakukan terbaik bagi menjayakan SAR ini," tegasnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140418/dn_19/Abdul-Aziz-TLDM-perlu-aset-pertahanan-baharu#ixzz2zTpuwsWw  © Utusan Melayu (M) Bhd


No comments: