Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Monday, 28 April 2014

HARIMAU MALAYA - Seri lagi, Safee gagal jaring penalti

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my



Safee Sali

KUALA LUMPUR - Diberikan sepakan penalti pada minit terakhir permainan, Safee Sali bagaimanapun meranapkan impian peminat Harimau Malaya apabila dia gagal menewaskan penjaga gol Filipina, Patrick Deyto untuk kedua-dua pasukan berpuas hati dengan keputusan seri 0-0 dalam perlawanan persahabatan di Cebu malam tadi.

Keputusan ini melebarkan rekod seri kedua-dua pasukan kepada empat sepanjang pertemuan mereka di peringkat antarabangsa dalam tempoh dua tahun.

Bagaimanapun, sekurang-kurangnya rekod tanpa kalah jurulatih sementara, Datuk Ong Kim Swee sejak menggantikan Datuk K. Rajagobal bersama Harimau Malaya masih kekal selepas tiga perlawanan.

Harimau Malaya kelihatan terkapai-kapai beraksi di atas padang yang jelas tidak sesuai untuk perlawanan antarabangsa dan sering kali terperangkap dengan pergerakan pemain Filipina.

Pendekatan Kim Swee memilih corak permainan bertahan dengan meletakkan Mohd. Norfarhan Muhammad sebagai penyerang tunggal menyebabkan mereka hanya berharap kepada serangan balas bagi mendapatkan jaringan.

Mujur aksi kemas di bahagian pertahanan yang diterajui Mohd. Aidil Zafuan Abdul Razak dan Fadhli Shas memastikan Filipina yang menguasai lebih 60 peratus permainan tidak mampu mendapatkan sebarang jaringan dan mengulangi keputusan yang sama di Stadium Selayang, 1 Mac lalu.

Kim Swee terpaksa memasukkan Baddrol Bakhtiar di bahagian tengah selepas Safiq Rahim disahkan tidak mampu bermain apabila gagal pulih daripada kecederaan tapak kaki dengan Junior Eldstal turut diletakkan di dalam kese­belasan utama bagi mengimbangi kelebihan fizikal yang dimiliki pemain Filipina.

Babak pertama memperlihatkan kelonggaran yang cukup ke­tara terutama di bahagian tengah dengan asakan menggila dilancarkan oleh tuan rumah terutama menerusi James Younghusband dan Simone Rota selain banyak melancarkan hantaran lintang ke dalam kotak penalti.

Harimau Malaya yang banyak mengharap serangan balas membuat percubaan terbaik menerusi Mohd. Amri Yahyah pada minit ke-11 yang sekadar menyepak lemah dan bola terus ke dakapan Patrick.

Kecekapan Patrick yang bijak mengagak gerakan solo Junior Eldstal yang sebelum itu menewaskan dua pertahanan Filipina menyelamatkan pintu gol tuan rumah daripada dibolosi pada minit ke-61.

Namun, dua minit kemudian Patrick nyaris menghadiahkan jari­ngan kepada skuad negara apabila tidak dapat menampan bola hantaran belakang rakan sepasukan, Martin Steuble namun bola tidak menepati ke arah pintu gol.

Kehadiran Nathaniel Burkey yang masuk selaku pemain gantian jelas memberikan banyak masalah kepada pertahanan negara yang mendapat banyak peluang ke­emasan memecahkan kebuntuan jaringan.

Pada minit ke 75, percubaan Nathaniel sekadar sipi walaupun berada di hadapan pintu gol dan tiga minit kemudian bola sepakannya singgah di palang gol hasil rembatan dari luar kotak penalti.

Skrip perlawanan hampir sahaja berubah pada minit ke-90 apabila bola mengenai tangan Steuble dan pengadil perlawanan dari Indonesia, Thoriq Munir menghadiahkan sepakan penalti kepada Harimau Malaya.

Safee, yang baru sahaja masuk menggantikan Amri dua minit sebelum itu dan belum menyentuh bola, merembat ke kanan pintu gol tetapi dikecewakan oleh Patrick sekali gus memberi kelegaan kepada 5,000 penonton tuan rumah yang hadir.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140428/su_01/Seri-lagi-Safee-gagal-jaring-penalti#ixzz309YrzbQz  © Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: