KUALA LUMPUR 11 April - Jepun menawarkan bantuan khususnya dari segi kepakaran untuk membantu negara-negara ASEAN mempertingkatkan tahap keselamatan di rantau ini bagi mengelak tragedi seperti kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 berulang pada masa hadapan.
Duta Jepun ke Malaysia, Dr. Makio Miyagawa berkata, kehilangan secara misteri pesawat MH370 sejak 8 Mac lalu menunjukkan tahap keselamatan di rantau ini perlu diperkukuhkan.
Kes ini sangat unik dan ramai mengatakan tidak pernah berlaku dalam sejarah penerbangan dunia. Sudah tentu sukar untuk menjangkakan apa sebenarnya berlaku dan berapa lama operasi mencari dan menyelamat (SAR) akan berterusan.
Bagi mengelak insiden seperti ini berulang, negara-negara di Asia Tenggara perlu mengenal pasti punca dan langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil pada masa hadapan. Jepun bersedia memberikan apa jua bantuan kepada negara-negara ASEAN terutama Malaysia bagi mempertingkatkan tahap keselamatan di rantau ini," katanya.
Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas melakukan kunjungan hormat ke atas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang di bangunan Parlimen di sini hari ini.
Sambil melahirkan simpati kepada kerajaan dan rakyat negara ini berhubung kehilangan pesawat itu, Makio memberi jaminan bahawa Jepun akan terus membantu Malaysia mencari MH370.
Katanya, Jepun amat menghargai kemurahan hati kerajaan dan rakyat Malaysia menghulurkan bantuan ketika negara itu dilanda bencana tsunami pada 2011.
Disebabkan hubungan erat antara Jepun dan Malaysia, kita mengambil keputusan menghantar pasukan untuk membantu operasi SAR yang pada awalnya di Malaysia dan sekarang berpangkalan di Perth, Australia bagi pencarian di selatan Lautan Hindi.
Operasi ini akan diteruskan sehingga kerajaan Malaysia memberitahu kita bahawa seluruh operasi tamat," katanya.
Dalam pada itu, Makio melahirkan rasa gembiranya kerana berpeluang berjumpa dengan Yang Dipertua Dewan Negara hari ini.
Yang Dipertua Dewan Negara juga berpeluang berjumpa dengan Maharaja Akihito semasa lawatannya ke Jepun pada Februari 2012. Maharaja Akihito juga masih ingat dengan jelas lawatan Yang Dipertua Dewan Negara itu," ujarnya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140412/dn_06/Jepun-sedia-bantu-tingkat-keselamatan-ASEAN#ixzz2ypVKFmZk © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment