Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Friday, 25 April 2014

Kerajaan tidak tolak hudud

Najib Tun Razak bersalaman dengan pelajar-pelajar pondok pada Majlis Penutupan Ijtimak Pondok Malaysia 2014, di Dewan Seri Mentaloon, Alor Setar, Kedah, semalam. - UTUSAN/SAFRIZAL AZMI

ALOR SETAR 24 April - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menegaskan kerajaan tidak pernah menolak hudud sebagai hukum yang ditetapkan oleh Allah SWT.

Namun, kata beliau, banyak kekangan dan keutamaan yang perlu diselesaikan dan diperhalusi sebelum hukum hudud itu dapat dilaksanakan tanpa menjejaskan matlamat hukum yang sebenar.

“Terdapat perbezaan yang cukup ketara antara menolak hukum hudud dengan tidak melaksanakannya kerana kekangan dan kesulitan yang pelbagai.

“Sebab itulah kita memerlukan ulama di kalangan mujtahid untuk memperhalusi dan melakukan ijtihad baru dalam menentukan perlaksanaan hukum hudud supaya keadilan yang menjadi matlamat mampu ditegakkan," katanya ketika berucap di majlis penutupan Ijtimak Pondok Malaysia 2014 di Dewan Seri Mentaloon di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata, kerajaan menyokong niat baik pihak mana sekalipun untuk melaksanakan hukum hudud tetapi ia perlu mengambil kira hal-hal lain yang menuju ke arah Islam yang sejati.

“Sebelum melaksanakan hudud, pastikan masyarakat Islam bersedia untuk melaksanakannya baik dari segi pemahaman, penghayatan, mental mahupun pemikiran.

“Begitu juga dengan masyarakat bukan Islam, perlu diberi kefahaman yang betul dan menyeluruh tentang hukum-hakam Islam supaya tidak wujud pandangan yang salah terhadap ajaran Islam yang suci ini," katanya.

Tambah beliau, pada masa yang sama, kerajaan istiqamah memartabatkan syiar serta syariat Islam dan mengamalkan pendekatan wasatiyah yang bercirikan keadilan, kecemerlangan dan keseimbangan.

“Kerajaan juga komited melaksanakan Maqasid Syariah di dalam sistem pentadbiran negara (menjaga dan memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

“Sebagai ajaran agama samawi, syariat dan akidah bergandingan menjadi teras dalam Islam. Dalam syariat, inilah intipati teras daripada Allah SWT untuk membimbing manusia dalam mengharungi kehidupan bersosial, berpolitik dan menjalankan misi khalifah di atas muka bumi. Ini termasuklah hukum hudud yang kembali hangat diperbincangkan,’’ katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140425/dn_02/Kerajaan-tidak-tolak-hudud#ixzz2zrXL2QKi  © Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: