KUALA LUMPUR 8 April - Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) menjelaskan, beliau mendedahkan bukti tentang kegiatan liwat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang Dewan Rakyat pada 1997 selepas beberapa individu menemuinya.
Menurut beliau, tindakan itu dibuat kerana melaksanakan tugasnya sebagai seorang ahli Parlimen yang mewakili pembangkang.
"Anwar ketika itu di dalam Barisan Nasional (BN) memegang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri. Saya telah dijumpai oleh beberapa orang yang membuat pertuduhan terhadap Anwar.
"Sebagai tugas saya dalam pembangkang, apabila mendapat aduan daripada seseorang, maka saya di dalam dewan ini membuat pertuduhan itu ke atas Anwar," katanya ketika mencelah semasa Mohamed Hanipa Maidin (Pas-Sepang) membahaskan Rang Undang-Undang Saraan Hakim (Pindaan) 2013 dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu, Zainuddin Ismail (BN-Jelebu) ketika mencelah perbahasan Mohamed Hanipa meminta Karpal menjelaskan tentang tuduhan liwat yang dikemukakannya terhadap Anwar dalam sidang Dewan Rakyat pada 1997.
Karpal juga menyifatkan kesediaannya menjadi peguam Anwar dalam perbicaraan kes liwat terhadap bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan adalah tindakan yang benar.
Beliau memberitahu, tindakan itu dilakukan selepas nama Anwar telah dibersihkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mokhtar Abdullah.
"Dr. Mahathir pada masa itu mempertahankan timbalannya dan menyatakan (tuduhan) itu adalah satu rancangan menjatuhkan maruah timbalannya.
"Peguam Negara juga ada membuat kenyataan umum iaitu tidak ada apa-apa yang berasas dalam pertuduhan itu," ujarnya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Tajuddin Abdul Rahman ketika mencelah perbahasan itu berkata, beliau juga pernah mempertahankan Anwar sejak 1982 kerana melihat Ahli Parlimen Permatang Pauh tersebut sebagai pemimpin harapan kepada orang Melayu dan Islam.
"Tetapi kita berubah. Mengapa kita berubah? Sebab di luar kawalan kita. Dia yang mencari masalah sendiri, pergi ke mahkamah dan mahkamah buat keputusan," jelasnya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Parlimen/20140409/pa_06/Karpal-tuduh-Anwar-meliwat-kerana-tugas#ixzz2yXVurNEL © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment