KUALA LUMPUR 14 April - Kerjasama serantau untuk memperkukuhkan ASEAN dan hubungan lebih erat dengan negara-negara lain di dunia perlu sebagai persediaan menghadapi pelbagai cabaran keselamatan pada masa akan datang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, peningkatan pengaruh global di Asia termasuk Asia Tenggara datang bersama peluang dan juga risiko.
Menurut beliau, negara-negara ASEAN boleh memilih untuk bekerjasama bagi meraih manfaat hasil daripada kestabilan dan bukannya menanggung kesan akibat konflik.
Kita mesti meneruskan usaha generasi terdahulu iaitu memperkukuhkan ASEAN, ekonomi serantau, kumpulan sosial dan keselamatan yang memberikan setiap negara anggota kekuatan kolektif jauh melebihi keupayaan individu.
Sebagai salah sebuah negara pengasas, dasar luar Malaysia tanpa ASEAN adalah sukar difahami. Kami percaya kekuatan dan kejayaan ASEAN bukan sahaja perlu dari segi ekonomi, malah dari segi kepentingan strategik," katanya ketika berucap merasmikan Forum Putrajaya 2014 di sini hari ini.
Yang turut hadir Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Forum berkenaan dianjurkan sempena pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini mulai hari ini sehingga 17 April ini.
Najib seterusnya mengiringi Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah melawat pameran DSA 2014 dan menyaksikan demonstrasi ketenteraan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Perdana Menteri memberitahu, Malaysia sedang dalam proses membuat persiapan untuk mempengerusikan ASEAN tahun depan dan juga bidaan untuk menganggotai Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Beliau menjelaskan, pada masa sama Malaysia akan terus memainkan peranan sebagai fasilitator dalam menangani konflik-konflik dalaman apabila diperlukan.
Terdapat beberapa contoh positif dalam menangani situasi sedemikian. Pertikaian antara Malaysia dan Indonesia berhubung Pulau Sipadan dan Ligitan telah diselesaikan secara baik di Mahkamah Keadilan Antarabangsa.
Selain itu, pertikaian antara Malaysia dan Singapura tentang Pedra Branca (Pulau Batu Putih) turut diselesaikan menerusi kaedah yang sama sekali gus membuktikan diplomasi serta pematuhan undang-undang antarabangsa mesti diutamakan," ujarnya.
Najib menambah, ASEAN juga membuka ruang untuk penyelesaian konflik dan usaha itu berjaya mengurangkan ancaman keselamatan di rantau berkenaan.
Dalam ucapannya, Perdana Menteri turut melahirkan penghargaan kepada Presiden Filipina, Benigno Aquino III dan pihak berkuasa negara itu di atas bantuan yang diberikan kepada Malaysia ketika menghadapi krisis Lahad Datu tahun lalu.
Dengan sukacitanya saya memaklumkan kita telah membalas jasa Filipina itu dan menunjukkan komitmen kita terhadap kedamaian berkekalan di rantau ASEAN menerusi penglibatan dalam proses rundingan Perjanjian Komprehensif Bangsamoro yang memasuki fasa terakhir tahun ini," jelasnya.
Beliau berkata, perjanjian itu merupakan contoh yang jelas tentang bagaimana kerjasama erat dan semangat persahabatan boleh mengatasi konflik serta memadamkan pergolakan di rantau ASEAN.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140415/dn_01/Kerjasama-keselamatan-ASEAN#ixzz2yulbFBx9 © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment