ALOR SETAR 24 April - Datuk Seri Najib Tun Razak berharap institusi pondok tetap aktif dalam menyuarakan nasihat beraspirasikan ajaran agama yang murni tanpa terikat kepada sentimen politik kepartian.
Menurut Perdana Menteri, ini kerana para umarak (pemerintah) sebagai pemikul amanah kepimpinan pentadbiran memang sentiasa mengharapkan pandangan, nasihat dan doa restu para ulama dalam menjalankan tugas mereka.
Tetapi situasi yang sebegini akan sukar dibentuk jika suara nasihat ataupun teguran yang dikemukakan terlalu menyerupai nada dan corak digunakan oleh persaingan politik kepartian.
Para ulama harus menasihati dan menegur sesiapa sahaja tetapi sudah tentu dengan kaedah dan budaya yang sesuai dengan wibawa dan kedudukan mereka yang tinggi dalam neraca Islam.
Adalah menjadi harapan saya agar warga pondok akan terus memainkan peranan sebagai benteng mempertahan kedaulatan dan kesucian Islam sebagai ad-din, berteraskan Perlembagaan Negara," katanya ketika berucap pada majlis penutupan Ijtimak Pondok Malaysia 2014 di Seri Mentaloon di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr. Mahathir dan Pengerusi Eksekutif Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM), Datuk Dr. Mashitah Ibrahim.
Ijtimak tersebut julung-julung kali dianjurkan oleh YPPM dengan menghimpunkan lebih 1,300 warga pondok bersama tokoh akademik dan cendekiawan agama dari dalam serta luar negara.
Perdana Menteri turut melahirkan kebimbangan tentang berlakunya ajaran liberalisme, sekularisme, pluralisme dan fahaman songsang yang bertentangan dengan Islam sejak kebelakangan ini.
Percayalah bahawa kerajaan menolak sebarang ancaman terhadap akidah umat Islam dan sebarang usaha memecahbelahkan perpaduan antara rakyat. Kita juga tegas menolak sebarang gerakan dan fahaman yang bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
Dalam konteks ini, saya amat menghargai pandangan dan pendirian para ulama dan warga pondok berserta badan bukan kerajaan (NGO) di dalam mempertahankan kesucian Islam.
Realitinya, hari ini wujud sesetengah kelompok yang bersikap liberal, secara terbuka dan bebas bersuara tanpa mengambil kira perasaan atau sensitiviti pihak lain. Walaupun mengetahui bahawa Islam adalah agama Persekutuan yang dijamin dalam Perlembagaan, mereka terus mencabar dan mahu mengubah apa yang sudah termaktub selama ini," katanya.
Najib turut menegaskan, kerajaan mahu melihat sistem pengajian pondok terus kekal dan relevan, serta pengiktirafan sewajarnya diberikan kepada para ulama dan guru pondok.
Insya-Allah, kerajaan akan terus mengarusperdanakan institusi pondok bagi mengangkat agenda pendidikan Islam negara," katanya.
Dalam majlis itu, Perdana Menteri turut mengumumkan geran sebanyak RM500,000 kepada YPPM bagi usaha mencari, memperoleh dan memulih semula kitab-kitab lama dan muktabar, yang berada di merata tempat di dalam dan luar negara.
Semoga YPPM menjadi pusat rujukan yang penting kepada semua warga pondok dan para pelajar yang melakukan penyelidikan atau penulisan mengenai pondok, malah kepada sesiapa saja yang berminat.
Geran ini tidak tertakluk kepada aktiviti membaik pulih kitab-kitab lama sahaja, malah bahan-bahan ilmiah lain seperti manuskrip, jurnal dan dokumen peribadi," katanya yang juga Penaung YPPM.
Sebagai sebagai menghargai peranan, jasa dan sumbangan pondok selama ini, Perdana Menteri turut mengumumkan akan membuka 100 tempat kepada warga pondok untuk melanjutkan pendidikan dan latihan dalam bidang pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan.
Separuh daripada bilangan ini, iaitu 50 tempat, dikhususkan kepada guru-guru pondok yang layak ke Institut Pendidikan Guru, Kampus Pendidikan Islam di Bangi, Selangor. Manakala bakinya, juga 50 tempat adalah untuk 50 pelajar pondok yang memenuhi kelayakan minimum untuk ke universiti-universiti tempatan seperti Universiti Sains Islam Malaysia di Nilai, Negeri Sembilan.
Insya-Allah, kemasukan pelajar pondok yang berkelayakan ke universiti dan institut perguruan agama dengan pembiayaan sepenuhnya oleh kerajaan akan bermula pada sesi 2015/2016," kata beliau.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140425/dn_01/Martabatkan-institusi-pondok---Najib#ixzz2zrciR700 © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment