KUALA LUMPUR - Tok Gajah kembali ke kedudukan pendahulu Liga Super selepas menundukkan T-Team 2-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu semalam.
Pahang kini mengumpul 22 mata untuk kembali berada dua mata di depan Terengganu, yang sempat berada di puncak liga selama 24 jam, selepas 11 perlawanan.
Selain kembali mengungguli carta liga, kejayaan itu sekali gus meleburkan rekod tanpa kalah The Titans di laman sendiri.
Jaringan Matias Conti pada minit ke-60 dan pemain gantian, Zeshan Rehman pada minit ke-88 memastikan skuad Tok Gajah membawa pulang tiga mata berharga.
Selangor pula berkongsi 20 mata dengan Terengganu apabila menewaskan pasukan tercorot liga, Perak 1-0 di Stadium Perak, Ipoh tetapi memerlukan sepakan penalti untuk meraih gol kemenangan.
Sepakan penalti disempurnakan oleh penyerang dari Brazil, Paulo Rangel pada minit ke-21 setelah S. Veenod dijatuhkan pertahanan Perak pasti melegakan jurulatih Red Giants, Mehmet Durakovic kerana pulang dengan tiga mata penuh.
Skuad Bos Gaurus tambah malang apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila Shahrizal Mohd. Saad dilayangkan kad merah pada minit ke-87 selepas melakukan kekasaran terhadap Stilianos Pantelidis.
Aksi di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu menyaksikan tuan rumah, Kelantan turut meraih tiga mata berharga selepas menundukkan ATM 1-0 menerusi jaringan tunggal pemain import, Mohamad Shawky yang menanduk masuk hantaran kapten, Mohd. Badri Radzi pada minit ke-60.
Kemenangan tipis itu bagaimanapun sudah cukup memberi makna kepada The Red Warriors selepas gagal mencatatkan sebarang kemenangan dalam empat perlawanan terakhir sebelum ini.
Sementara itu aksi di Stadium Selayang menyaksikan Lions XII meraih tiga mata berharga selepas menundukkan Sime Darby dengan keputusan 2-0.
Jaringan pasukan pelawat diperoleh menerusi Safuwan Baharudin pada minit ke-54 dan Khairul Amri Kamal sembilan minit kemudian.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140406/su_01/Tok-Gajah-kembali-ke-takhta-Liga-Super#ixzz2yBIeqXMS © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment