Oleh MD. AZRIN ROSLY
dan MUHAMMAD DAYNE AZMIN
sukan@utusan.com.my
KUCHING - Terengganu kembali menerajui Liga Super apabila membelasah Sarawak 3-1 dalam perlawanan manakala Johor Darul Ta'zim (JDT) melepaskan beberapa peluang pada babak kedua untuk hanya seri 1-1 dengan PKNS Selangor yang menamatkan perlawanan dengan 10 pemain malam tadi.
Dengan Pahang hanya akan beraksi pada malam ini di Kuala Terengganu menentang T-Team, Terengganu berada di tangga teratas dengan memungut 20 mata, satu mata mengatasi Tok Gajah namun masih mempunyai kelebihan satu perlawanan di dalam tangan.
Ketua pasukan Terengganu, Zairo Anuar Zailani meletakkan skuad Penyu di hadapan pada minit ke-20 selepas berjaya menyumbat gol melalui sepakan bebas setelah Mohd. Nor Farhan Muhamad dikasari pertahanan lawan di Stadium Negeri, Kuching.
Walaupun dalam keadaan hujan, semangat tuan rumah tidak luntur dan skuad Bujang Senang akhirnya mendapat jaringan hasil hantaran pemain dari Australia, Ryan Griffiths yang menanduk kepada Mohamad Rashid Aya dan bekas pemain Johor FC itu terus menyepak kencang ke arah kiri gawang gol Terengganu untuk menewaskan Mohd. Sharbinee Allawee pada minit ke-28.
Namun babak kedua memperlihatkan kebangkitan pelawat apabila pada minit ke-64, pemain yang baru didaftarkan Moustapha Dabo dari Senegal tidak menunggu lama untuk meledak jaringan sulungnya dalam kancah Liga Malaysia setelah menyambut hantaran lintang Zubir Mohd. Azmi.
Skuad Bujang Senang yang kelihatan hilang fokus sekali lagi dihukum oleh Terengganu menerusi sepakan menarik Nor Farhan pada minit ke-69.
Di Stadium Shah Alam, JDT gagal mengambil kesempatan ke atas PKNS, yang kekurangan seorang pemain pada lima minit terakhir permainan setelah P. Gunalan dibuang padang, untuk membawa pulang tiga mata penuh.
Patrick Ronaldinho meletakkan PKNS di hadapan terlebih dahulu pada minit ke-37 setelah memanfaatkan bola muntah percubaan Mohd. Faiz Isa sebelum Mahalli Jasuli menyamakan kedudukan pada minit ke-57 melalui serangan balas yang direncanakan oleh Norshahrul Idlan Talaha.
Dalam saingan Liga Perdana, Pulau Pinang terus menghimpit PDRM di puncak liga apabila meraih kemenangan 4-1 ke atas JDT II melalui dua jaringan pemain import Angola, Titi Andre Buengo pada minit ketiga dan 79, Lee Gil Hoon pada minit ke-54 dan Shazuan Ashraf Matthews pada minit ke-76 dengan gol saguhati JDT II disumbangkan oleh Shahril Ishak pada minit ke-44 di Stadium Bandaraya.
Bagaimanapun, PDRM semakin kukuh di anak tangga teratas selepas berpesta jaringan ketika mengalahkan SPA Putrajaya 7-1 di Stadium Petaling Jaya dengan Ashfaq Ali dari Maldives menghasilkan gol pada minit ke-20 dan 88 dan Charles Souza Chad juga dengan dua gol (minit 68 dan 80).
Tiga lagi gol disumbang oleh Bobby Gonzales (minit 31), Fazilidin Khalid (minit 83) dan jaringan sendiri oleh pemain SPA, Hafiszuan Salehuddin pada minit ke-89.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140405/su_02/Terengganu-libas-Bujang-Senang#ixzz2yBGpqzsf © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment