Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Friday, 18 April 2014

MERS-Cov: 79 orang dipantau rapi

AYUB Rahmat (berdiri, dua kanan) memerhati seorang pegawai perubatan memeriksa penduduk kampung ketika meninjau pusat pemeriksaan khas jangkitan MERS-Cov di Kampung Bintang, Batu Pahat, semalam. Turut hadir Dr. Mohd. Khairi Yakub (kanan) dan Ismail Roslan (tiga, kanan).

KUALA LUMPUR 17 April - Seramai 79 orang diletakkan di bawah pemantauan rapi oleh Kementerian Kesihatan di rumah masing-masing kerana disyaki terkena jangkitan Sindrom Pernafasan Timur Tengah (MERS-Cov).

Mereka yang diletakkan di bawah pemantauan itu terdiri daripada 15 jemaah yang menaiki pesawat bersama-sama seorang jemaah yang meninggal dunia akibat jangkitan tersebut dan 64 orang lagi merupakan penduduk kampung jemaah terbabit.

Di Batu Pahat, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Datuk Ayub Rahmat berkata, seramai 64 penduduk Kampung Bintang, diletakkan di bawah pemantauan selama seminggu di rumah masing-masing berikutan mengalami tanda-tanda awal jangkitan penyakit tersebut.

Kata beliau, mereka terdiri daripada 100 penduduk yang telah membuat pemeriksaan di pusat pemeriksaan khas jangkitan MERS-Cov di kampung tersebut.

Beliau berkata, pusat tersebut dibuka sejak 14 April lalu berikutan kematian seorang penduduk yang baru pulang daripada mengerjakan umrah dan disahkan meninggal dunia akibat jangkitan MERS-Cov.

"Ini kes pertama di negara ini dan kita memandang serius dengan mengambil tindakan membuka pusat pemeriksaan khas agar penyakit ini tidak merebak.

"Kesemua penduduk tersebut dibekalkan dengan topeng penutup mulut manakala sampel lendir hidung dan mulut diambil untuk dianalisis di makmal," katanya selepas meninjau pusat pemeriksaan terbabit di sini.

Yang turut hadir, Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Mohd. Khairi Yakub dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah, Ismail Roslan.

Ahad lalu, seorang penduduk kampung itu dikenali sebagai Kamaruzaman berusia 54 tahun meninggal dunia selepas tiga hari dimasukkan ke Hospital Sultanah Nora Ismail, pada 10 April lepas .

Ayub berkata, pihaknya sedang mengenal pasti kesemua 18 jemaah lain dari negeri ini yang turut mengerjakan umrah bersama mangsa bagi mengetahui tahap kesihatan mereka.

"Enam daripada mereka sudah menjalani pemeriksaan. Dua jemaah dari Johor Bahru menunjukkan tanda awal mengalami MERS-Cov, dua lagi sihat manakala baki dua lagi jemaah dari Kluang juga disahkan sihat," katanya.

Beliau meminta kesemua 1,000 penduduk kampung tersebut termasuk saudara-mara yang menziarahi Kamaruzaman supaya menjalani pemeriksaan segera sekiranya mengalami simptom berkaitan.

"Jabatan Kesihatan amat berharap dan merayu orang ramai agar membuat pemeriksaan di klinik atau hospital berdekatan sekiranya mengalami batuk, selesema, sakit tekak dan tanda-tanda lain.

"Malah, kepada mereka yang bakal ke Tanah Suci diminta membuat persediaan termasuk mengambil langkah pencegahan yang sepatutnya dan pihak agensi pelancongan yang menguruskan pakej umrah perlu bekerjasama dengan kami untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam memberitahu, 15 jemaah umrah dari Malaysia yang menaiki penerbangan Turkish Airlines (TK93 dan TK60) bagi perjalanan dari Jeddah-Istanbul-Kuala Lumpur pada 29 Mac lepas kini di bawah pemantauan rapi.

Menurutnya, mereka kini di bawah pemantauan rapi selama 14 hari sejak minggu lepas.

Jelasnya, mereka tidak ditahan di wad hospital tetapi hanya membuat pemeriksaan kesihatan secara berkala.

"Kementerian akan membuat pengumuman kelak mengenai status MERS-CoV, sama ada ia menular ke negara ini atau tidak. Tumpuan diberi kepada 15 orang ini kerana mereka menaiki pesawat yang sama dengan seorang mangsa, lelaki Melayu berusia 54 tahun berasal dari Batu Pahat, Johor yang meninggal dunia akibat MERS-CoV," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis sumbangan enam mesin hemodialisis kepada Hospital Kajang di sini hari ini. Turut hadir Pengarah Hospital Kajang, Dr. Kuldip Kaur Prem Singh.

Sehubungan itu, Subramaniam menasihati orang awam yang menaiki penerbangan Turkish Airlines (TK93 dan TK60) bagi perjalanan dari Jeddah-Istanbul-Kuala Lumpur pada 29 Mac lepas menghubungi kementerian di talian 03-88810600 atau 03-88810700.

Ditanya adakah sebarang ubat disediakan kementerian untuk mencegah wabak itu, beliau berkata, buat masa ini tiada vaksin disediakan, justeru, orang ramai yang mengerjakan umrah di Tanah Suci atau melawat mana-mana negara di rantau Asia Barat diminta agar mengambil langkah-langkah pencegahan.

"Antara langkah pencegahan ialah mencuci tangan, membawa penutup hidung dan mengelak makan makanan mentah serta mengelak membuat lawatan ke ladang ternakan," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140418/dn_02/MERS-Cov-79-orang-dipantau-rapi#ixzz2zCAtwhkU  © Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: