Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Friday 11 April 2014

MANC. U - United main macam budak sekolah - Moyes

Thomas Mueller (tiga kanan) meraikan jaringannya bersama rakan-rakan sepasukan ketika membantu Bayern Munich menewaskan Manchester United 3-1 pada perlawanan suku akhir kedua Liga Juara-juara di Munich, Jerman semalam. Bayern layak ke separuh akhir menerusi agregat 4-2. - REUTERS

MUNICH - Pengurus Manchester United, David Moyes mengakui, pasukannya bertahan seperti budak sekolah ketika mereka mensia-siakan gol pembukaan pada babak kedua, sekali gus membawa kepada penyingkiran di tangan Bayern Munich pada suku akhir Liga Juara-juara, semalam.

Bayern yang turun sebagai pe­nyandang juara, mencatat kemenangan 3-1 di depan penyokong sendiri pada suku akhir kedua semalam, sekali gus mara menerusi agregat 4-2.

United mendahului 1-0 hasil jaringan cantik pemain pertahanan, Patrice Evra pada minit ke-57, namun Bayern berjaya menyamakan kedudukan hanya 69 saat kemudian menerusi Mario Mandzukic, iaitu gol pertama mereka dalam tempoh 30 minit terakhir.

Thomas Mueller menampan bola masuk untuk meletakkan tuan rumah di depan pada minit ke-68, sebelum Arjen Robben menambah gol ketiga tuan rumah pada minit ke-76 bagi menyingkirkan pasukan bimbingan Moyes.

Kemenangan ini meletakkan Bayern di landasan untuk mempertahankan kejuaraan pada final yang akan diadakan di Lisbon pada 24 Mei ini.

"Saya rasa pemain telah me­lakukan tugas dengan baik malam ini (semalam), kesalahan mereka hanyalah membiarkan gol penyamaan beberapa saat selepas mendahului.

"Saya memiliki pasukan yang berpe­ngalaman dan sesuatu yang kami perlu belajar sebagai budak sekolah adalah me­numpukan perhatian serta melakukan tugas selepas lawan menjaringkan gol.

"Beberapa kesilapan kecil memberi kesan kepada kami sehingga tamat perlawanan. Sebelum itu kami telah bertindak cemerlang dengan menghalang dan mengikat pergerakan mereka, jadi saya memang kecewa selepas melepaskan gol," kata Moyes.

Ketika saingan Liga Perdana Inggeris ha­nya berbaki lima perlawanan dan mereka sudah pun tersingkir daripada Piala FA, Moyes berkata, beliau telah melihat peningkatan ditunjukkan pemain United selepas pemergiaan Alex Ferguson.

"Kami telah menunjukkan pe­ningkatan dalam permainan, kerja-kerja untuk membangunkan semula pasukan sangat menarik. Kami berada di peringkat yang kami mahukan. Saya rasa beberapa perkara positif telah dapat dilihat malam ini.

"Patrice menjaringkan gol yang sangat menarik, ia pasti lebih baik jika kami dapat mengekalkan kedudukan 1-0," kata Moyes.

Moyes turut mengakui, bintang pe­nyerang England, Wayne Rooney beraksi di Munich dengan menggunakan ubat penahan sakit kerana mengalami lebam teruk di bahagian ibu jari kaki. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140411/sl_02/United-main-macam-budak-sekolah---Moyes#ixzz2yYoga3Go  © Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: