KUALA LUMPUR 4 April - Pembangkang berterusan memutar belit fakta mengenai keupayaan kapal selam jenis diesel elektrik negara apabila membuat perbandingan tidak adil dengan kemampuan kapal selam berkuasa nuklear milik Britain, HMS Tireless bagi membangkitkan kebencian rakyat kepada kerajaan.
Tanpa mengambil kira jurang keupayaan antara kapal selam jenis nuklear dan kapal selam diesel elektrik, pembangkang mempersoal mengapa kerajaan tidak mengerahkan KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Abdul Razak menyertai operasi mencari pesawat MH370 di Lautan Hindi dengan mengemukakan fakta songsang serta tidak tepat.
Malah, ketika seluruh rakyat bersatu dan mendoakan keselamatan penumpang MH370, pembangkang pula bermain politik murahan menerusi laman sosial Facebook apabila bertindak memberi gambaran jahat kononnya kapal selam negara tidak boleh menyelam, menyebabkan kerajaan terpaksa meminta bantuan Britian untuk menghantar HMS Tireless.
Selain itu, pembangkang juga mengemukakan fakta songsang mengenai kos pembinaan sebuah HMS Tireless apabila mendakwa aset canggih itu cuma berharga 200 juta Euro berbanding kapal selam negara, sedangkan fakta sebenar ialah 200 juta Pound Sterling dan dibina pada 1981 (kos yang cukup tinggi untuk waktu itu)
Kecewa dengan tindakan tidak bertanggungjawab itu, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata, segala tuduhan yang dilemparkan pihak pembangkang menerusi laman sosial sehingga merendah-rendahkan keupayaan kapal selam serta kemampuan pertahanan negara adalah tidak benar dan fitnah semata-mata.
Jelasnya, beliau tidak mengerti mengapa masih ramai rakyat Malaysia yang cuba mempertikai kemampuan KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Razak walaupun keupayaan membunuh aset strategik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu sudah dibuktikan beberapa kali dalam siri latihan sebelum ini.
"Keputusan untuk tidak menghantar kapal selam dibuat atas dasar profesional saya selaku Panglima Tentera Laut kerana keupayaan kapal selam untuk mencari dan menyelamat SAR terhad. Saya tidak boleh menghantar kapal selam semata-mata untuk show off (tunjuk kehadiran), sedangkan langkah tersebut langsung tidak efektif daripada segi kos.
"Tentera Laut Australia juga sependapat dengan TLDM sebab itu mereka tidak mengatur gerak kapal selam diesel jenis Collins mereka. Namun, sudah tentu kita menghargai dan berterima kasih kepada Britain kerana menghantar HMS Tireless. Kapal selam nuklear memiliki keupayaan berbeza berbanding kapal selam diesel.
"HMS Tireless boleh menyelam sehingga 90 hari bergantung kepada bekalan makanan tanpa perlu timbul pada kedalaman melebihi kapal selam diesel elektrik tetapi persoalan sama ada ia dapat membantu mencari serpihan atau kotak hitam MH370 adalah perkara kedua," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata, KD Tunku Abdul Rahman serta KD Tun Razak adalah kapal selam tercanggih dalam kategori diesel elektrik yang berperanan sebagai aset cegah rintang bagi pertahanan negara dan langkah kerajaan membeli kapal selam jenis Scorpene itu adalah keputusan tepat.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140405/dn_07/Panglima-TLDM-selar-pembangkang-putar-belit-fakta#ixzz2yAub72FH © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment