KOTA BHARU 28 April - Dewan Ulama Pas Kelantan yakin DAP akhirnya akan menyokong pelaksanaan hukum hudud di negeri ini.
Ketuanya, Datuk Hassan Mohamood (gambar) berkata, pada masa ini mungkin DAP menolak undang-undang Islam itu namun dengan penjelasan dan pemahaman yang cukup, mereka pasti akan faham.
Katanya, pimpinan Pas Pusat merancang mengadakan pertemuan dengan DAP bagi memberi penjelasan mengenai hukum hudud supaya mereka dapat memahami dengan jelas.
"Bagi saya insya-Allah DAP akhirnya akan terima (hudud) setelah penjelasan dan penerangan diberikan. DAP juga ingin mencari kebaikan sudah pasti ia akan menerimanya," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar sempena Program Penerangan Hudud pada 30 April ini.
Program tersebut yang akan menghimpunkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat negeri ini akan diadakan di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV.
Tambah Hassan selain DAP, Pas juga sudah merangka bagi memberi penjelasan kepada semua pihak termasuk MCA dan MIC.
Katanya, parti itu juga sedang menyusun rangka kerja untuk memberi penjelasan kepada semua pihak sama ada umat Islam dan bukan Islam mengenai undang-undang Islam ini.
"Insya-Allah akhir bulan ini akan diadakan perjumpaan pimpinan tertinggi pakatan pembangkang. Hasil pertemuan itu, kita cukup optimis menghasilkan natijah yang baik," katanya.
Sementara itu, Dewan Ulama Pas negeri turut menyokong cadangan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar diwujudkan jawatankuasa teknikal khas di peringkat kebangsaan bagi membincangkan mengenai hudud membabitkan wakil kerajaan Pusat dan negeri.
Hassan berkata, sekiranya kewujudan jawatankuasa itu bakal melicinkan pelaksanaan hukum hudud di negeri ini ia merupakan satu perkembangan yang positif.
Dalam pada itu, kata Hassan, Kerajaan Pas Kelantan sudah bersedia daripada prinsip dan teknikal bagi melaksanakan hukum hudud menjelang 2015.
No comments:
Post a Comment