IPOH - Tindakan ganas penyokong Perak terhadap penyokong Johor Darul Takzim (JDT) selepas perlawanan Liga Super di Stadium Perak kelmarin disifatkan kekecohan melibatkan penyokong yang terburuk dalam sejarah bola sepak negara.
Ia tercetus selepas perlawanan yang berakhir dengan pasukan pelawat menang 1-0 apabila penyokong Perak memasuki kawasan tempat duduk yang dikhaskan untuk penyokong JDT.
Bagaimanapun, tindakan pantas Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan anggota polis berjaya menghalang kejadian lebih buruk berlaku.
Suasana tegang itu memaksa penyokong pasukan pelawat lari menyelamatkan diri ke tengah padang.
Setelah gagal merapati penyokong JDT di dalam stadium, penyokong Perak menunggu penyokong pelawat di luar pula.
Kemuncak kekecohan menyaksikan anggota FRU terpaksa menggunakan gas pemedih mata dan meriam air bagi menyuraikan penyokong Perak yang menunggu bas pemain JDT keluar dari kawasan stadium.
Malah, bas yang membawa pemain JDT mengalami kerosakan akibat dibaling dengan batu. Namun tiada laporan tentang kecederaan serius yang dialami oleh penyokong kedua-dua pasukan.
Petanda perlawanan bertukar kecoh sudah kelihatan semasa aksi kedua-dua pasukan lagi apabila penyokong tuan rumah bertindak membakar suar dan membaling mercun.
Mengulas insiden tersebut, Presiden Persatuan Bolasepak Perak (Pafa), Datuk Zainol Fadzi Paharuddin melahirkan rasa dukacita dan menyifatkannya kekecohan paling buruk pernah berlaku di Stadium Perak.
Menurutnya, keganasan yang dicetuskan oleh penyokong Perak adalah perbuatan yang melampau, tidak bertamadun dan tidak sewajarnya berlaku.
Pafa turut meminta maaf kepada para penyokong JDT kerana insiden ini.
Sebagai tuan rumah, Pafa telah menyediakan kawalan keselamatan yang sepatutnya, khas untuk perlawanan ini bagi menjamin keselamatan penonton, namun apa yang berlaku di luar jangkaan," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat dua petugas media di sini, jurufoto Kumpulan NSTP, Supian Ahmad, 35, dan wartawan akhbar Sinar Harian, Razif Rosli, 30, yang cedera akibat terkena bata dan mercun yang dibaling oleh penyokong.
Mengulas punca penyokong Perak bertindak agresif, Zainol tidak menolak kemungkinan ia bermotifkan 'balas dendam' ekoran kekecohan ketika skuad Bos Gaurus berkunjung ke Larkin dalam perlawanan Liga Super pada 18 Januari lalu.
Namun, tegas Zainol, sepatutnya tiada lagi istilah balas dendam kerana Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim sendiri sudah menjelaskan bahawa insiden di Larkin itu terpencil dan sudah selesai.
Kekecohan semalam mungkin disebabkan ada pihak yang sengaja membangkitkan dan memainkan semula elemen supaya membalas dendam sejak sebelum perlawanan lagi.
Akibatnya mereka bertindak di luar batasan kerana dikuasai emosi.
Saya juga mendesak pihak berkuasa supaya menyiasat sama ada penyokong yang ditangkap turut dipengaruhi unsur lain seperti pengambilan alkohol dan sebagainya," katanya.
Zainol bagaimanapun menolak andaian kekecohan disebabkan penyokong Perak mahu menunjukkan protes terhadap Pafa ekoran prestasi buruk pasukan itu yang kini menghuni tangga tercorot liga.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140417/su_02/Penyokong-Perak-bertindak-ganas-kerana-dendam#ixzz2z6dRoyHN © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment