Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Monday, 7 April 2014

MH370 - Kini masa menerima - PM

Najib Tun Razak (tengah) beramah mesra dengan rakyat Malaysia di Vietnam selepas majlis makan malam di Hanoi, Vietnam malam tadi. - BERNAMA

HANOI 5 April - Kesediaan 25 negara yang tidak berlengah menyatakan persetujuan apabila diminta membantu dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370, didorong dasar berbaik-baik Malaysia dan sentiasa prihatin serta membantu negara lain ketika dilanda kesusahan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, malah dasar Malaysia itu yang disenangi negara lain itu juga mempengaruhi negara terlibat menghulurkan bantuan tanpa meminta sebarang bayaran walaupun aset udara dan laut yang dikerahkan memerlukan kos pengoperasian yang sangat mahal.

Menurutnya, MH370 adalah pesawat milik Malaysia, oleh itu berdasarkan konvensyen antarabangsa, ia sepatutnya menjadi tanggungjawab Malaysia untuk mencari pesawat tersebut apabila berlakunya tragedi atau kehilangan.

“Jadi kenapa mereka (25 negara terbabit) melakukan ini (setuju membantu) kepada kita? Ini kerana semangat kerjasama, kerana kita ada hubungan baik dengan mereka. Kita sebuah negara yang prihatin.

“Sebelum ini, kita ada di samping mereka ketika taufan Haiyan di Filipina dan tragedi tsunami di Aceh, Indonesia. Di mana saja gempa bumi berlaku di situlah kita hadir membantu, kita membantu dunia. Sekarang masanya kita pula menerima bantuan.

“Apabila saya hubungi mereka, sesetengahnya kata: ‘Beritahu kami apa yang kami boleh bantu anda? Malaysia telah banyak berbudi kepada kami selama ini, ketika kami perlukan Malaysia bantu kami, kerana kami suka anda, kami suka Malaysia’. Itulah sebabnya (mereka tidak berlengah setuju membantu mencari MH370)," katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam bersama rakyat Malaysia di sebuah hotel di sini malam tadi.

Yang turut hadir isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri; Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; dan Duta Malaysia ke Vietnam, Datuk Azmil Zabidi.

Najib menambah, perasaan terhutang budi juga mendorong beliau melakukan lawatan ke Perth, Australia baru-baru ini, bukan semata-mata meninjau operasi SAR, sebaliknya yang lebih utama sebagai tanda penghargaan Malaysia kepada mereka.

“Saya boleh ucap terima kasih dari Kuala Lumpur. Saya boleh buat kenyataan di Kuala Lumpur mengucapkan terima kasih kepada mereka kerana banyak membantu. Tetapi saya ingin juga ke Perth, Australia. Kerana apa?
“Kerana kita mahu mereka selesa bertugas. Juga, kerana saya ingin renung ke dalam mata mereka. Kepada juruterbang-juruterbang dan kapten kapal serta para petugas, saya sendiri ingin berjabat tangan dengan mereka. Saya ingin mengucapkansendiri terima kasih banyak-banyak kerana membantu Malaysia.

“Kita terhutang budi kepada mereka (yang bertugas dalam SAR), kepada negara yang terbabit dan kepada seluruh dunia," jelasnya.

Menurut Perdana Menteri, sepatutnya penerbangan beliau dari Kuala Lumpur ke Hanoi cuma empat jam tetapi tidak menjadi masalah kepadanya untuk terpaksa melalui penerbangan dalam tempoh begitu lama iaitu selama lapan jam dari Perth.

“Itulah harga yang kena dibayar untuk membalas budi, iaitu harga yang tidaklah sebesar mana... untuk secara bersemuka menyatakan rasa terima kasih dan penghargaan kita kepada mereka," tambahnya.

Sementara itu, Najib berkata, amalan berbaik-baik dan berbudi ini seharusnya turut menjadi asas amalan kepada usahawan-usahawan Malaysia di negara asing bagi memastikan hubungan mereka dengan kerajaan terbabit baik dan akrab.

“Dengan memahami sistem ini, kita akan lebih berjaya dalam perniagaan kerana apabila anda membina hubungan baik, anda memahami bagaimana menjayakan sistem itu dan sama ada anda mampu mengatasi sebarang halangan," katanya. - MINGGUAN


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140406/dn_01/Kini-masa-menerima---PM#ixzz2yB1kmmmp  © Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: