Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Friday 11 April 2014

MH370 - Zon mencari kotak hitam diperkecilkan

Anggota tentera laut Australia, Richard Brown (kiri) menggunakan teropong di atas kapal HMAS Perth dalam usaha mengesan serpihan pesawat MH370 di selatan Lautan Hindi, baru-baru ini. - AFP

PERTH 10 April - Zon mengesan isyarat kotak hitam pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 telah dikecilkan di Lautan Hindi hari ini, selepas dua isyarat baharu dikesan oleh kapal Ocean Shield.

Ketua Penyelaras Pusat Koordinasi Agensi Bersama (JACC), Angus Houston berkata, zon carian di barat Australia kini dikecilkan kepada 57,923 kilometer (km) persegi, kira-kira 20,000 kilometer persegi berkurangan berbanding semalam.

"Bagaimanapun, kapal Ocean Shield akan tertumpu di kawasan Lautan Hindi kira-kira 2,280 kilometer dari barat daya Perth yang mana lokasi dua isyarat getaran baharu dikesan pada Selasa lalu.

"Tiada serpihan pesawat MH370 dikesan setakat pencarian semalam. Pasukan mencari mengesan sejumlah besar objek di permukaan laut semalam, namun hanya beberapa objek kecil ditemukan.

"Tetapi semua objek yang dijumpai itu tiada kaitan dengan pesawat MH370," katanya.

Jelas Houston, beliau berharap serpihan kapal terbang itu akan ditemui dalam beberapa hari walaupun jangka hayat bateri kotak hitam itu mula berkurangan.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihak­nya khuatir beberapa isyarat yang dikenal pasti pada awalnya, mungkin tidak dapat dikesan lagi berikutan jangka hayat bateri kotak hitam MH370 hanya mempunyai kira-kira 30 hari sahaja.

"Isyarat semalam akan membantu dalam menentukan kawasan pencarian yang lebih jelas dan memudahkan operasi kesan MH370 di kawasan dasar laut.

"Saya percaya, kami sedang mencari di kawasan yang betul namun, perlu mengenal pasti secara visual pesawat itu sebelum mengesahkan bahawa itu merupakan lokasi terakhir MH370," katanya.

Katanya, operasi mengesan isyarat kotak hitam pesawat MH370 akan berterusan.

"Mudah-mudahan dengan banyak isyarat yang diperoleh, kami akan mempunyai kawasan pencarian yang jelas dan kecil. Malah, dalam beberapa hari lagi, kita jangkakan dapat mencari sesuatu benda di bawah laut yang mungkin boleh disahkan lokasi terakhir MH370," katanya.

Semalam, Australia mengesahkan isyarat pertama yang dikesan adalah konsisten dengan isyarat yang akan dikeluarkan oleh sebuah perakam kotak hitam.

"Analisis ini menunjukkan bahawa isyarat yang diterima sangat stabil, berbeza dan jelas dikesan pada frekuensi 33.31 kilohertz (kHz) serta ia berdenyut secara konsisten pada selang 1.106 saat," katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa frekuensi boleh berubah mengikut masa dan keadaan.

"Bagaimanapun, pakar percaya isyarat berkenaan konsisten dengan spesifikasi dan gambaran perakam data penerbangan," katanya.

Lebih 10 pesawat tentera, empat pesawat awam dan 13 kapal terlibat dalam operasi mencari pesawat MH370 yang membawa seramai 239 penumpang bersama anak kapal yang hilang ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur menuju ke Beijing, China. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140411/dn_02/Zon-mencari-kotak-hitam-diperkecilkan#ixzz2yXwtzIHh  © Utusan Melayu (M) Bhd


No comments: