Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Wednesday 16 April 2014

Permohonan pinda pembelaan UMMB ditangguh





Oleh NORAZLITA MOHD. SIES
pengarang@utusan.com.my









KUALA LUMPUR 15 April - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menangguhkan pendengaran permohonan Utusan Melayu (M) Bhd. (UMMB) untuk meminda pernya­taan pembelaan dalam kes saman RM100 juta oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap syarikat akhbar itu berhubung isu pencerobohan rakyat asing di Lahad Datu, Sabah.

Pesuruhjaya Kehakiman, Rosilah Yop menyatakan, penangguhan tersebut adalah lebih wajar sementara menunggu keputusan beliau sama ada mahu menarik diri ataupun akan tetap mendengar kes saman berkenaan.

Beliau membuat ketetapan sedemikian setelah peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin tidak dapat memberi akujanji atau jaminan tidak akan membangkitkan alasan di peringkat rayuan bahawa Rosilah masih mahu mendengar permohonan meminda pernyataan pembelaan sedangkan beliau sedar UMMB telah mengemukakan permohonan supaya beliau menarik diri.

Terdahulu, peguam Datuk S. Ambiga yang mewakili Anwar melahirkan kebimbangan sekiranya permohonan UMMB itu didengar hari ini namun Rosilah pada Jumaat ini memutuskan menolak permohonan UMMB supaya beliau menarik diri daripada mendengar kes saman itu, isu tersebut akan dibangkitkan di peringkat rayuan.

Ambiga sehubungan itu mahu Firoz Hussein memberi akujanji, isu tersebut tidak akan dibangkitkan di peringkat rayuan jika mahkamah mendengar permohonan tersebut hari ini.

Rosilah bagaimanapun berkata, oleh kerana Firoz Hussein tidak dapat memberi akujanji maka beliau berpendapat, adalah lebih wajar permohonan UMMB tidak didengar dan ditangguhkan sementara.

Ambiga mewakili Anwar selepas Rosilah pada 8 April lalu membenarkan permohonan UMMB untuk mengetepikan peguam N. Surendran daripada mewakili Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu setelah syarikat akhbar tersebut mendakwa terdapat berkemungkinan berlaku konflik kepentingan berikutan kedudukan Surendran sebagai Naib Presiden PKR.

Anwar, 67, yang memfailkan saman itu terhadap UMMB dan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak pada 8 Mac tahun lalu, turut menamakan TV3; Pengarang Urusan Kumpulan, Berita dan Ehwal Semasa, Rangkaian Televi­syen dan Radio, Media Prima Bhd., Datuk Shaharudin Abd. Latif dan Pengarang Berita Buletin Utama, Ing Boon Seng sebagai defendan ketiga hingga kelima.

Dalam pernyataan tuntutannya, Anwar menyatakan, Utusan Malaysia bertarikh 2 Mac 2013 di muka hadapannya, menyiarkan artikel bertajuk Ketua Pembangkang dikaitkan dengan pencerobohan? dan di muka surat sembilan pula bertajuk, Tiga kumpulan jadi dalang.

Ketua Pembangkang itu menyatakan, defendan ketiga hingga kelima, antara pukul 8 dan 9 malam, hari yang sama dalam Buletin Utama, TV3 turut menyiarkan berita mengenai pencerobohan di Lahad Datu.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu mendakwa berita di rangkaian televisyen swasta itu adalah berdasarkan laporan berita yang dikeluarkan oleh defendan pertama dan kedua.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140416/ma_02/Permohonan-pinda-pembelaan-UMMB-ditangguh#ixzz2z10NBNGl  © Utusan Melayu (M) Bhd



 





No comments: