KUALA LUMPUR 10 April - Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) perlu terus diwujudkan bagi memastikan tiada sebarang bentuk pertindihan tugas antara pasukan-pasukan keselamatan negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, ketika ini tanggungjawab keselamatan Esscom itu dipikul bersama oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
"Kalau kita tutup Esscom, kita mahu ganti dengan apa? Kita perlu ada koordinasi, kalau tidak masing-masing buat dengan cara kerja masing-masing, sekurang-kurangnya dengan adanya Esscom, tiada pertindihan tugas," katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak) yang bertanyakan langkah kerajaan untuk memantapkan operasi Esscom selaras dengan dasar pertahanan negara.
Tegas Shahidan, kerajaan tidak akan menutup Esscom sebaliknya akan menambah baik keperluan aset keselamatan di kawasan tersebut dari semasa ke semasa.
Katanya, selain daripada pasukan keselamatan, agensi kerajaan lain yang turut terlibat dalam Esscom adalah Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara.
Menurut Shahidan, tahap keselamatan di resort-resort di perairan pantai timur Sabah juga akan terus ditingkatkan bagi mengelak berlaku jenayah rentas sempadan.
"Di semua resort itu kita ada anggota keselamatan termasuk resort di Pulau Singamata, tempat berlakunya insiden penculikan dua wanita termasuk seorang warga China baru-baru ini," katanya.
Katanya, aspek jenayah rentas sempadan diberi perhatian oleh Esscom dengan segala 'lompong-lompong' akan ditutup bagi memastikan kejadian jenayah tersebut tidak berulang.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Parlimen/20140411/pa_01/Esscom-perlu-dikekalkan#ixzz2yYmy95Vy © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment