PERTH 7 April - Sebuah kapal milik tentera laut Australia mengesan beberapa isyarat baharu di dasar laut konsisten dengan isyarat kotak hitam pesawat yang disifatkan sebagai 'petunjuk terbaik setakat ini' dalam usaha mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370.
Ketua Penyelaras Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) Australia, Angus Houston berkata, isyarat akustik itu yang dikesan dari dasar laut di Lautan Hindi menunjukkan operasi carian peringkat multinasional menggunakan kapal laut dan pesawat itu semakin hampir dengan lokasi kehilangan.
"Towed Pinger Locator dari kapal pertahanan Australia, Ocean Shield telah mengesan isyarat yang konsisten dikeluarkan oleh kotak hitam.
"Namun, pihak kami belum menemui sebarang serpihan pesawat terbabit, Oleh itu, kami memerlukan pengesahan yang lebih lanjut," katanya sambil menjelaskan maklumat yang diterima dalam tempoh 24 jam lalu amat menggalakkan.
Menurut beliau, isyarat pertama diterima secara berterusan selama dua jam 20 minit diikuti isyarat kedua selama 13 minit, beberapa jam kemudiannya.
"Kedua-dua isyarat yang berbeza itu boleh didengar. Nyata sekali, isyarat ini boleh dianggap konsisten dan dikeluarkan perakam suara kokpit dan perakam data penerbangan. Ini merupakan petunjuk utama dan terbaik dalam operasi pencarian pesawat MH370 setakat ini. Malah, ia mungkin maklumat yang terbaik kita ada.
"Pada masa ini, kami berada di kawasan carian yang sangat jelas dan diharapkan isyarat itu membawa kepada maklumat yang kita perlukan untuk mengesahkan pesawat MH370 terhempas di perairan ini," katanya.
Dalam pada itu, Houston turut menggesa orang ramai untuk melihat maklumat terbaharu itu secara berhati-hati dengan mengambil kira sensitiviti keluarga penumpang yang dianggap telah hilang.
"Maklumat itu dijangka mengambil masa beberapa hari untuk ditentukan sama ada boleh disahkan daripada pesawat MH370 atau tidak. Masyarakat perlu faham dengan keadaan laut yang dalam, tiada apa yang boleh berlaku dengan cepat," katanya.
Sementara itu, Houston berkata, sebanyak sembilan pesawat tentera, tiga pesawat awam dan 14 kapal laut kini berada di lokasi pencarian kira-kira 2,000 kilometer (km) di barat laut Perth.
Isyarat terbaharu itu dikesan selepas kapal laut milik China, Haixun 01 mengesan dua isyarat kira-kira 300 batu nautika yang menyamai frekuensi digunakan untuk data penerbangan pesawat dan perakam suara kokpit.
Pihak berkuasa Australia berkata, kapal Haixun 01 telah mengesan isyarat sebanyak dua kali iaitu isyarat selama 90 saat pada Sabtu lalu dan isyarat elektronik pada Jumaat lalu.
Houston berkata, kapal Haixun 01 berada di perairan dengan kedalaman kira-kira 4.5 km dan operasi itu sangat mencabar dan mengambil masa yang panjang jika pesawat MH370 ditemui di lokasi tersebut.
Tambah beliau, nahas Air France yang terhempas di Lautan Atlantik pada 2009 mengambil masa selama dua tahun untuk menemui kotak hitam pesawat terbabit.
"Pencarian pesawat MH370 telah dilakukan tanpa menemui sebarang serpihan setakat ini, jadi saya fikir ini merupakan perkara yang luar biasa dan apa yang saya harapkan adalah untuk menemui beberapa serpihan," katanya. - AFP
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140408/dn_02/Kesan-isyarat-kotak-hitam#ixzz2yFd5V555 © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment