Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Tuesday, 29 April 2014

Hari ini catu air, esok catu elektrik, lusa dua-dua dicatu




Oleh Hassan Mohd. Noor





WARGA Lembah Klang amat berharap catuan bekalan air berakhir minggu ini. Air empang­an khabarnya sudah menunjukkan peningkatan. Hujan pula semakin kerap. Biarlah hari ini atau esok tiada lagi catuan. Cukuplah ‘ke­­sengsaraan’ yang dialami. Bukannya tidak bersyukur dengan apa yang ada tetapi sekadar menyelak kembali bagaimana jika manusia mampu merancang untuk mengelak ‘kesengsaraan’ ini dan tidak menunjukkan ‘keangkuhan’. Janganlah mendengar guruh di langit air di tempayan dicurahkan. Masing-masing ada kepakaran. Gunakanlah kepakaran itu sebaik mungkin bagi kepentingan ramai. Contohnya penggunaan air lombong. Tidak dinafikan, air najis pun kalau diproses akhirnya boleh diminum, tetapi biarlah semua itu menjadi pilihan terakhir.

Kalau ada pihak menyatakan tanpa Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) air mencukupi untuk tempoh beberapa tahun akan datang, maka tidak timbullah idea mengepam air lombong. Kalau pakar kata air bekas lombong boleh menimbulkan masalah maka janganlah kebimbangan itu ditolak mentah-mentah. Jangan timbulkan keresahan rakyat. Buatlah kajian kesesuaiannya. Sekarang, air bekas lombong terpaksa dipam dan bukannya percuma. Ada kos di situ. Adakah lebih murah jika dibandingkan dengan Langat 2? Menjelang titisan pertama air Langat 2 dalam tempoh tiga tahun lagi, eloklah kerajaan negeri atau pihak yang bertanggungjawab mencari jalan supaya apa yang dialami tidak berulang. Minggu ini, selepas catuan berakhir, tong, baldi, botol untuk simpanan air yang menjadi rebutan akan terbiar, disimpan di dalam stor atau tidak dipedulikan.

Bagi yang mempunyai tangki air mencukupi, mungkin mereka tidak terasa dengan catuan lebih-lebih lagi jumlah penggunaan atau isi rumah teramat kecil sehingga tidak perlu bayar bil. Seorang sahabat memberitahu, semasa catuan, air tangki masih ada. Dia bersyukur tinggal di Selangor. Itu katanya yang hanya berdua. Bayangkan bagi isi rumah yang ramai. Ahli Parlimen Jelutong dari DAP, Jeff Oii yang sekali sekala pulang ke Selangor dan terpaksa ‘mandi kerbau’ pun marah kepada Menteri Besar yang didakwa gagal menangani isu air. Disebabkan isu ini, beliau juga meminta Khalid Ibrahim meletak jawatan.

Seperkara lagi, sejauh mana catuan air mampu mendidik masyarakat untuk menghargai air? Apa pula langkah yang diambil oleh mereka yang tidak mengalami catuan? Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) baru-baru ini menjelaskan pemilihan kawasan catuan air bukan berdasarkan status sosioekonomi pengguna. Pemilihan berdasarkan pertimbangan teknikal sistem agihan. Pengecualian hanya pada kawasan secara khusus dikecualikan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), iaitu pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan Putrajaya dan kerajaan Selangor serta pusat bandar raya Kuala Lumpur. Ia turut meliputi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Subang, Pelabuhan Klang, Zon Perdagangan Bebas, hospital kerajaan dan swasta, pusat dialisis serta Stesen Janakuasa Salahudin Abdul Aziz di Kapar. Adakah mereka yang tinggal di kawasan pengecualian ini mengambil iktibar masalah yang dihadapi kebanyakan penduduk di Lembah Klang? Adakah selepas ini, bekalan air percuma atau subsidi yang diberi akan ditarik balik untuk mendidik pengguna menjimatkan air? Adakah Kerajaan Selangor akan membuat pusingan U?

Baru-baru ini, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dilaporkan akan mengemukakan cadangan kepada SPAN untuk menaikkan tarif air pada kadar purata 20 peratus. Cadangan itu diluluskan anggota Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Berdasarkan cadangan itu, tarif air bagi 546,749 pengguna air berdaftar di Pulau Pinang akan disemak untuk mempromosikan langkah penjimatan dan mengelakkan catuan air. Kenaikan itu diharap dapat mengurangkan penggunaan air. Dalam cadangan itu, tiada kenaikan bagi penggunaan kadar pertama seba­nyak 20 meter padu air sebulan (bersamaan 1,000 liter). Adakah kita bersetuju kenaikan tarif elek­trik mampu mendidik pengguna? Adakah pengguna bersedia menjimatkan elektrik? Adakah mereka bersedia menghadapi catuan bekalan elek­trik?

Persoalan ini timbul kerana ketika catuan bekalan air, ada pelbagai pendapat. Ada yang berkata, biar tidak ada elektrik asal ada air dan ada pula yang berkata, lebih rela tidak ada air asal ada elektrik. Kata orang, belum cuba belum tahu. Belum rasa belum tahu. Tentunya kita tidak mahu berada dalam situasi kedua-duanya tidak ada - elektrik dan air. Selak kembali situasi yang berlaku apabila bekalan elektrik terputus untuk satu atau dua jam sahaja. Kecoh dibuatnya. Di jalan raya, pergerakan kenderaan kelam kabut; di rumah, restoran dan gerai makan, banyak kerja masak memasak tidak dapat dilakukan; kilang terpaksa menghentikan operasinya dan pelbagai lagi. Begitulah ‘kesengsaraan’ tanpa elektrik.

Jika air masih boleh disimpan di dalam tangki, tong, baldi, botol dan sebagainya, apa pula yang boleh dilakukan untuk mengatasi catuan elektrik? Adakah generator serta alternatif lain semurah baldi atau tong menyimpan air? Berapa ramai yang ketika ini tanpa krisis elektrik sanggup belajar berjimat? Menyelak kebanyakan sikap orang kita, budaya berjimat hanya seketika. Hangat-hangat tahi ayam. Tengok sahaja bagaimana mereka memilih tempat makan minum. Biar papa asal bergaya. Mereka hanya pandai mengkritik mengenai harga yang melambung. Sebagai pengguna, mereka boleh memilih untuk mencari tempat yang lebih murah. Begitu juga apabila harga rokok dan gula dinaikkan. Adakah penggunaannya semakin berkurangan?

Begitu juga dengan air dan elektrik. Dunia semakin pesat membangun. Manusia semakin bertambah. Keperluan semakin meningkat. Berbalik kepada elektrik, adakah kita bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan? Dalam hal ini, ke­perluan Tenaga Nasional Berhad (TNB) perlu dipenuhi. Sebagai pihak yang bertanggungjawab menyediakan bekalan elek­trik, sudah sewajarnya keperluan TNB untuk menyediakan infrastruktur berkaitan bekalan elektrik dipenuhi oleh semua pihak. Mungkin kita boleh menyelak kembali projek sebelum ini yang melibatkan kelulusan kerajaan Negeri Selangor. Tidak pasti apakah kedudukan projek kabel elektrik di Kampung Sungai Terentang. Begitu juga dengan projek Pengukuhan Kawasan Tengah (CAR) yang melibatkan pembinaan menara pencawang elektrik untuk pemasangan kabel bervoltan tinggi. Difahamkan, projek ini bagi memperkukuhkan sistem bekalan elektrik untuk menjamin tahap daya harap pembekalan elektrik bagi Sistem Grid Nasional di Semenanjung khususnya Selangor dan Wilayah Persekutuan. Bekalan elektrik ini juga bagi membantu operasi Langat 2.

Maaflah jika saya tertinggal berhubung perkembangan pembangunan isu ini. Jika semuanya berjalan lancar baguslah tetapi bagaimana jika ia masih terbengkalai atau berlaku ‘tarik tali?’. Tentunya kita tidak mahu disebabkan kegagalan melaksanakan projek seumpama ini, kita akan bergelap pada masa depan dan menghadapi catuan elektrik. Langat 2 tidak bermakna jika tidak ada bekalan elektrik. Begitu juga keupayaan loji lain tanpa elektrik. Bayangkan ketika itu, hari ini tidak ada elektrik, esok tidak ada air atau lebih teruk pada hari yang sama, air tidak ada, elektrik pun tidak ada. Bagaimana agaknya kehidupan kita ketika itu.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140428/re_05/Hari-ini-catu-air-esok-catu-elektrik-lusa-dua-dua-dicatu#ixzz30EjB7ebr  © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments: