Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Friday 18 April 2014

Masjid institusi penyatuan ummah

MUHYIDDIN Yassin menyampaikan anugerah Tokoh Imam Negeri kepada Mohd. Nor Saod pada Majlis Mesra Bersama Guru-Guru Agama dan Pegawai Masjid negeri Pulau Pinang di Kepala Batas, semalam. Turut kelihatan Zainol Abidin Osman (kiri) dan Dr. Hilmi Yahaya. - BERNAMA

KEPALA BATAS 17 April - Masjid seharusnya berperanan sebagai sebuah institusi penyatuan ummah bagi mengelak perbalahan sesama sendiri dan bukan sekadar menjadi tempat untuk umat Islam melakukan ibadat.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penyatuan ummah yang terbentuk melalui masjid itu secara langsung akan meningkatkan semangat juang dalam kalangan umat Islam agar Islam dihormati dan disegani.

"Kerajaan telah menyediakan semua kemudahan kerana hendak memperkukuhkan umat Islam, mahu umat Islam dihormati kerana kalau umat Islam lemah pasti tidak akan dihormati," katanya di sini hari ini.

Beliau berucap pada Majlis Mesra Bersama Guru-Guru Agama dan Pegawai Masjid negeri Pulau Pinang di Dewan Perdana Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) sini.

Yang turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Zainol Abidin Osman; Ketua Pembangkang, Datuk Jahara Hamid dan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya.

Muhyiddin berkata, segala tindakan yang dilakukan oleh kerajaan dalam pengukuhan umat Islam bertujuan memartabatkan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan negara.

"Macam mana ada orang tuduh kita tak Islam? Kita sediakan banyak tenaga pengajar agama yang dilatih, menyediakan kemudahan seperti Tabung Haji, sistem perundangan syariah, Pusat Pengurusan Zakat dan sebagainya.

"Ini membuktikan komitmen kerajaan Barisan Nasional (BN) meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan. Prinsip perjuangan kita untuk tegakkan yang hak dan jauhkan yang mungkar dan kerana itu kita nak sebarkan dakwah," katanya.

Menurut Muhyiddin, masyarakat Islam di Pulau Pinang perlu bersatu untuk terus maju dan tidak berpecah-belah supaya mereka tidak dipandang rendah.

"Walaupun peratusan orang Islam di Pulau Pinang hanya 40 peratus itu tidak mengapa, kerana ada kumpulan yang lebih kecil tetapi mereka menguasai, untuk menguasai, orang Islam di Pulau Pinang perlu mengukuhkan kedudukan ekonomi mereka dan penguasaan dalam pelbagai ilmu.

"Kalau umat Islam di Pulau Pinang hendak berjaya, jangan berpecah-belah, kalau dah berpecah-belah, orang lain yang akan kuasai, kalau nak letakkan Islam di atas, kita kena jaga jangan bagi orang pintas," katanya.

Muhyiddin berkata, kerajaan Pusat memperuntukkan sebanyak RM16.37 juta bagi membantu sekolah Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di negeri itu membabitkan 255 buah sekolah dengan 34,180 orang murid serta 1,423 guru.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut menyampaikan sumbangan penghargaan dan bantuan kepada para imam, bilal, siak, guru dan sekolah KAFA yang cemerlang.

Sumbangan dan bantuan itu adalah penyuntik semangat untuk mereka terus menyumbang dan berbakti demi agama dan bangsa.

Antara penerima sumbangan tersebut ialah Tokoh Imam Negeri diberikan kepada Mohd. Nor Saod dari Masjid Sungai Kecil, Seberang Perai Selatan; Bilal Unggul (Ahmad Kamaruluddi Mohd. Yusof dari Masjid Bagan Kecil Abdul Kadir); Siak Unggul - Shaharie Majid (Masjid Nurul Hidayah, Sungai Lokan); Tokoh Guru Tahmir (Ahmad Wahab Puteh dari Sungai Bakap) dan Sekolah KAFA Cemerlang (Madrasah Al-Hidayah Addiniah, Barat Daya).

Penerima lain ialah Guru KAFA Cemerlang (Badrinizar Abd. Rahman dari Nahdatul Islah, Kubang Semang) dan enam buah sekolah diberikan geran bernilai RM4,000 setiap satu bagi kategori Sekolah KAFA Harapan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140418/dn_03/Masjid-institusi-penyatuan-ummah#ixzz2zCDYAt3p  © Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: