Manama: Lewis Hamilton menjuarai Grand Prix (GP) Bahrain kelmarin di depan rakan sepasukan dari Mercedes, Nico Rosberg selepas satu perlumbaan sengit sekali gus membolehkannya menyamai rekod 24 kemenangan karier milik Juan Manuel Fangio.
Hamilton yang turut menang dua minggu lalu di Malaysia, menamatkan perlumbaan 1.085 saat di depan Rosberg dalam satu lagi kejayaan buat pasukan Mercedes yang memenangi semua tiga perlumbaan musim ini.
Sergio Perez dengan jentera Force India di tangga ketiga, 24.067 saat di belakang juara, untuk memberikan pasukannya kedudukan podium kali kedua.
Pemandu Red Bull, Daniel Ricciardo yang bermula di petak ke-13, berakhir di tangga keempat, diikuti Nico Hulkenberg dengan jentera Force India dan juara dunia Sebastian Vettel dari Red Bull melengkapkan senarai enam teratas.
Keputusan itu membolehkan Rosberg, juara GP Australia, kekal mengungguli kejuaraan dunia dengan 61 mata. Hamilton mengumpul 50 dengan Hulkenberg di tangga ketiga, 28 mata.
Pemandu Britain itu selesa mendahului dalam perlumbaan GP kali ke-900 dengan lebih sembilan saat apabila kereta keselamatan masuk pada pusingan ke-42 daripada perlumbaan 57 pusingan itu.
Rosberg yang bermula di petak utama, seketika berjaya mengatasi pemandu Britain itu namun Hamilton kembali memintas ketika membrek sekalipun tayar mediumnya kurang cengkaman berbanding tayar lembut pemandu Jerman itu.
Hamilton akhirnya berjaya meraih kemenangan sulung di Bahrain selepas dicabar sengit rakan sepasukan.
“Hebat melihat kami mempunyai ramai pengikut di sini. Saya amat bersyukur kerana pasukan berjaya dan ini kemenangan pertama saya di Bahrain,” jelas Hamilton.
“Ia amat menarik, Nico memandu dengan menakjubkan, amat adil tapi sukar untuk berada di depan, saya mempunyai peluang di hujung perlumbaan dan berjaya menggunakan kelebihan itu.”- AFP
No comments:
Post a Comment