KUALA LUMPUR 8 April - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, Dasar Pandang Ke Timur yang diperkenalkan pada 1982 dan terbukti memberi manfaat besar kepada pertumbuhan ekonomi negara, wajar diteruskan dengan memberi fokus kepada pembentukan budaya dan etika kerja tinggi dalam kalangan pekerja tempatan.
Beliau berpendapat, dasar itu yang di awal pelaksanaannya memberi fokus kepada pemindahan teknologi dari Asia Timur khususnya Jepun, perlu diperluaskan melibatkan bidang-bidang lain selain turut mengambil contoh kejayaan negara Asia Timur lain seperti Korea dan China yang muncul sebagai antara kuasa ekonomi dunia.
Katanya, budaya dan etika kerja yang tinggi di negara terbabit menyaksikan rantau Asia Timur telah mencatatkan pertumbuhan ekonomi lebih pantas berbanding negara Barat, selain mampu menghasilkan barangan berkualiti pada harga lebih kompetitif untuk pasaran dunia.
"Masa hadapan adalah untuk Asia Timur, saya percaya Asia Timur akan mengalami pembangunan yang amat hebat sehingga sukar diatasi oleh Barat. Barat sukar untuk membangun kerana mereka tidak mampu menghasilkan barangan dan perkhidmatan berkualiti pada harga kompetitif. Justeru mereka beralih kepada pasaran kewangan dengan memanipulasinya untuk mengaut keuntungan.
"Saya percaya, sekiranya seseorang itu mempunyai budaya dan etika kerja yang baik, mereka akan berjaya," katanya dalam ucapan khas bertajuk Perspektif Dasar Pandang Ke Timur sempena Persidangan Dasar Pandang ke Timur 2.0 anjuran Affin Investment Bank di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah Urusan Affin Investment Bank, Maimoonah Hussain.
Mengulas lanjut, Dr. Mahathir berkata, hasil budaya dan etika kerja rakyatnya yang tinggi, Jepun telah berjaya membina semula ekonominya selepas tamat Perang Dunia, selain mampu menganjurkan Sukan Olimpik pada 1964 dengan jayanya.
Budaya dan etika kerja tersebut jelas beliau, cuba disemai dalam kalangan rakyat Malaysia agar negara ini mampu berkembang dan berdaya saing dengan negara lain.
Menjawab satu soalan, Dr. Mahathir berkata, selain menekankan aspek budaya dan etika kerja tinggi, tumpuan juga perlu diberikan bagi menarik kemasukan lebih banyak pelabur Jepun dalam pelbagai sektor ke Malaysia.
"Kita seharusnya menjadi bangsa yang bebas bukannya bergantung kepada pihak lain, untuk itu kita perlu membina keupayaan sendiri," katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20140409/ek_01/Dasar-Pandang-Ke-Timur-wajar-diteruskan#ixzz2yXR8hPXR © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment